MENTERI Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli memikul tugas dan tanggungjawab cukup mencabar dalam menangani, mengurus dan mengawal selia pellbagai isu melibatkan ekonomi negara ketika kedudukan ekonomi global tidak menentu. Sudah tentu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan Mohd. Rafizi untuk membantu ‘menggemilangkan semula’ ekonomi negara.
Ekonomi dan kewangan merupakan dua elemen cukup penting, umpama aur dengan tebing bagi sesebuah negara. Kekuatan, kecemerlangan dan kelemahan negara bergantung kepada pengendalian terancang, tersusun dan terkawal ekonomi serta kewangannya.
Setelah genap sebulan memimpin kementerian, Mohd. Rafizi menyifatkan tempoh itu memberikannya satu gambaran mencukupi untuk berlari lebih pantas mulai Januari ini.
“Ada yang kesannya dapat dirasai segera, ada yang hasilnya hanya dapat dituai dalam setahun, dua tahun dan tahun-tahun akan datang. Insya-Allah, kalau 10 kami usahakan, kalau pun tidak semua membuahkan seratus peratus hasil seperti dirancang, sebahagian besarnya akan mempunyai impak jangka masa sederhana dan panjang kepada negara,” katanya di Facebook, minggu lepas.
MENJADI TUMPUAN
Mohd. Rafizi, seorang personaliti yang sering menjadi tumpuan, perhatian termasuk sasaran dalam kancah politik negara. Perjalanan, perjuangan dan penglibatan karier politiknya dalam PKR serta Pakatan Harapan (PH) boleh disifatkan cukup berwarna-warni. Tidak dapat dinafikan, Timbalan Presiden PKR itu memiliki pengaruh yang konsisten di dalam dan luar parti.
Setiap kali ‘jentikannya’ di media sosial, pasti menjadi nilai berita. Pembongkarannya berhubung pelbagai isu semasa sering menjadi perhatian pemimpin politik dan rakyat. Kelantangan dan ketangkasannya menangani segala bentuk isu termasuk hal-ehwal politik juga sentiasa menjadi perhatian dan kontroversi.
Tegurannya juga agak berbisa berpandukan fakta. Tapi bagi Mohd. Rafizi, itulah karakternya demi berani kerana benar. Walaupun hampir lima tahun ‘berehat’ daripada arena politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan membuat semula kemunculan tahun lalu, dirinya sentiasa rapat bersama ahli-ahli akar umbi PKR.
Penampilan semula Mohd. Rafizi ke kancah politik khususnya buat julung kali menganggotai jemaah menteri amat dinanti-nantikan terutama dalam percaturan politik negara selepas PRU15 melalui pembentukan kerajaan perpaduan.
Mohd. Rafizi bukannya pemain politik baharu. Beliau sudah melalui pelbagai sepak terajang sepanjang karier politiknya. Beliau juga merupakan seorang pengurus dan penganalisis politik yang tajam. Beliau dan pasukannya mampu membuat dan melakukan pembacaan politik yang bersih dan benar. Buktinya sudah ada. Saya tidak perlu membuktikannya.
Mohd. Rafizi bukan lagi bergelar ahli Parlimen pembangkang. Kini beliau perlu memainkan peranan sebagai penggerak utama ekonomi negara bersama bosnya, Anwar. Ramai pemerhati politik dan ekonomi menaruh keyakinan tinggi dan positif dengan gandingan mereka berdua dalam menjayakan misi proses pemulihan dan penambahbaikan ekonomi negara.
Justeru, pembentangan Bajet 2023 oleh Anwar yang dijadualkan 24 Februari ini di Dewan Rakyat akan menjadi pembuka tirai kepada segala perancangan ekonomi untuk mensejahterakan rakyat dan negara. Inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat. Peranan Kementerian Ekonomi amat rapat sekali dalam pengubalan Bajet 2023 .
ISU SEMASA
Tidak dinafikan juga, Kementerian Ekonomi perlu menangani segala isu berkaitan ekonomi rakyat dengan lebih kreatif dan cermat. Skop ini bukannya sesuatu yang asing buat diri Mohd. Rafizi. Beliau kerap menyuarakan isu-isu berkaitan rakyat sebelum ini. Cuma kali ini beliau berada di posisi untuk melakukan pembaharuan dan penyelesaian yang diharapkan oleh rakyat.
Saya tertarik dengan isu kawalan harga barang yang dijawab oleh Mohd. Rafizi, bulan lalu. Beliau menyatakan dengan cukup jelas bahawa pengguna perlu berperanan untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal termasuk tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.
Beliau memberikan satu justifikasi cukup jelas bahawa seandainya pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.
Itulah realitinya. Kuasa di tangan pengguna. Kementerian Ekonomi bersama agensi lain yang berkaitan boleh bergerak sebagai pasukan memantau segala perkembangan seperti ini. Jangan ada pula yang mengambil kesempatan dalam isu seperti ini dan menjadikannya serangan politik semata-mata. Jangan pula nak spin dan kaitkan dengan ‘makan ayam tak’ atau ‘tak makan ayam.’
Bacalah keterangan, penjelasan Menteri Ekonomi itu berpandukan isu kawalan harga dengan lebih mendalam selepas ini. Jangan jadikan petikan penjelasan menteri sebagai satu lagi isu baharu di media sosial pula. Yang rugi akhirnya rakyat juga. Cukup-cukuplah. Kalau ada sebarang kemusykilan, tanyalah menteri dan pegawai-pegawainya.
Mungkin juga Kementerian Ekonomi perlu melakukan follow up yang pantas dan segera sekiranya berlaku sebarang kekeliruan fakta seperti ini dan jangan sesekali membiarkannya berleluasa. Kita perlukan fahaman naratif yang positif. Isu ekonomi tidak sama seperti politik. Terlalu kompleks. Tiada istilah magik dalam menangani isu ekonomi. Politik bolehlah.
Justeru, semua pihak termasuk rakyat perlu berikan segala kerjasama, sokongan dan harapan kepada Mohd, Rafizi dan Kementerian Ekonomi untuk melakukan tugas dan tanggungjawab mereka. Masa tidak akan menanti kita. Kita kesuntukan masa. Sepertimana disebut Mohd. Rafizi sendiri, Kementerian Ekonomi dan pasukannya perlu berlari dengan lebih pantas lagi bagi menjamin harapan rakyat.
Kita sama-sama tunggu pencapaian 100 hari nanti! – UTUSAN
DATUK Anbumani Balan ialah penganalisis politik.










