KALAU ikut cakap orang senanglah, “Ha, jika dalam perut ada harimau, keluarkan sahaja bunyi kambing.”
Tapi bagi seorang pemimpin politik, yang dirinya ‘pengamal politik, bukannya peramal politik’ – seperti banyak dilagukan oleh para penganalisis politik dalam mengamati sesuatu isu dan krisis – hal mahu membisu sedemikian rupa lantas meluahkan ‘aksi kedua-dua haiwan itu’ tidaklah semudah pelakon sinetron, teater atau pelawak pentas.
Iaitu dalam banyak keadaan, dirinya terpaksa membuat keputusan tidak popular demi untuk memberi nafas kepada partinya sendiri.
Dilihat daripada mana-mana sejarah keretakan sesebuah parti politik, puncanya bukanlah pun dari luar. Tetapi dari dalam parti itu. Konon ‘ribut dalam cawan’ tetapi geloranya mengakibatkan parti punah dalam pilihan raya. Hanya kecekalan, keberanian hati kering daripada kepemimpinannya sahaja yang boleh melawan tekanan-tekanan dihadapinya dan parti.
MEMOIR
Itu sebabnya selepas seseorang pemimpin itu bersara atau telah kembali ke rahmatullah, barulah kita tahu cerita sebenar. Ini setelah menatap dan membaca memoirnya. Dari situ kita tiba-tiba mengagumi kekuatan dirinya menempuh onak dan duri semasa berdepan krisis politik yang terjadi semasa hayat atau waktu perjawatan partinya. Masa itu tiada siapa tahu dia difitnah atau menjadi mangsa pembunuhan karektor. Nasibnya ibarat melukut di tepi gantang. Tiada siapa ambil peduli, menjadi bahan kutukan, bahkan faktor yang memenangkan parti lawan.
Barulah, hanya selepas menelaah memoirnya, kita tersedar begitu berat penanggungannya. Terpaksa pendam perasaan, biarpun akhirnya parti berjaya bangkit bernafas semula. Dan kalaulah ahli-ahli partinya tahu waktu itu demikian rupanya kedudukan drama itu, tidak akan ada yang memandang rendah atau hina terhadapnya.
Kisah-kisah keperitan jatuh bangun politik yang melanda ramai pemimpin, antaranya Allahyarham Datuk Seri Harun Idris, Allahyarham Tun Salleh Abbas, Allahyarham Tun Ghazali Shafie hanya diketahui lebih jelas selepas pemergian mereka.
Cucu Harun (1925-2003) yang juga bekas menteri besar Selangor iaitu Dr. Ashaari Azman Shah misalnya pernah berusaha mencuba membuat penilaian semula terhadap reputasi Harun. Dr Ashaari, yang merupakan seorang doktor perubatan dalam temu bual dengan Malaysiakini, Jun tahun lalu menyatakan arwah datuknya menyimpan satu set diari bermula 1977 sehingga 1981. Ia merangkumi kemuncak perbicaraan rasuahnya dan tempohnya menjalani hukuman di Penjara Pudu.
“Dia (Harun) mungkin tidak meninggalkan sebarang bangunan pencakar langit yang menghiasi Kuala Lumpur tetapi saya rasa antara legasinya dirakamkan melalui PKNS, yang membantu membina rumah mampu milik (masih sehingga hari ini), dan Yayasan Selangor, yang kini mempunyai 20,000 alumni.
“Melalui PKNS, Shah Alam dibangunkan bersama-sama kawasan hijau di beberapa kawasan, kebanyakannya dibangunkan selepas dia disingkirkan sebagai MB dan sehingga menyebabkan bencana seperti banjir yang melanda KL dan Selangor sekarang.
“Dia juga adalah pengurus bola sepak terbaik Malaysia dan Selangor, turut terlibat dalam sukan berbasikal, golf dan membawa Muhammad Ali bertanding di KL pada 1975, maka sekurang-kurangnya dia seorang tokoh yang menarik dalam sejarah Malaysia. Lihat sahaja (kejayaan) pasukan bola sepak Olimpik negara pada 1972, yang seolah-olah diabaikan, sebaliknya, mereka membuat filem Ola Bola mengenai pasukan 1980 yang tidak pergi ke Sukan Olimpik pun,” demikian kongsi Dr.Ashaari.
Kata beliau kepada portal itu lagi: “Malangnya, banyak kisahnya telah lenyap. Pendapat peribadi saya ialah ini sengaja dilakukan kerana politik dalaman UMNO antara Harun dan (perdana menteri kedua) Abdul Razak (Hussein).”
BERBAKUL FITNAH
Demikianlah cakap orang, sesiapa mahu masuk politik, daya tahan amat penting sekali. Tahan kalah, tahan kena kritik dan tahan sabar. Telinga pun tak boleh terlalu nipis, apabila ditegur, mudah melenting.
Cabarannya melaut. Amat malang sekali sekiranya dilanda musibah putar belit dan persepsi, ia ‘melekat’ bagaikan gam dalam fikiran sebilangan orang. Damage has been done.
Apa yang pasti, bakul-bakul fitnah akan bermaharajalela. Putarannya macam roller coaster. Yang dituju serta akibatnya ialah pembunuhan karakter. Ada ketikanya pula keikhlasan dan kerja yang betul di mata orang perlu didukungi sama perjuangan untuk memenangi perang saraf.
Kalau pergi ke perang saraf dimainkan juru propaganda Nazi Jerman di era Perang Dunia Kedua, Joseph Goebbels, dia pernah mengungkapkan: “Inform, inform and when they are interested, misinform.”
Kejayaannya, walaupun dalam konteks pencapaian negatif, lantaran kebolehan putar alam dan putar belitnya, ‘harus diterima’ kerana dia berjaya mempakari semua aspek hearts and minds (hati dan pemikiran) rakyat Jerman sekali pun jiwa Yahudi tidak berjaya dikuasai pemerintahan Nazi. Kisah Goebbels patut menjadi teladan di kemudian hari.
Buat seseorang ahli politik profesional, sesuatu itu perlu dihadapi secara bersahaja. Sesuatu yang malang atau malapetaka mesti diimbasi secara sabar dengan pemikiran yang berfalsafah tinggi.
Dalam perjuangan, seseorang mesti tahan lasak sama ada yang direjam melalui malapetaka mahupun melalui kejadian yang menyeronokkan.
Begitulah tekanan dan perasaan terpaksa ditanggung jika anda mahu berkilat dalam politik – dalam perut ada rimau, luahkan sahaja bunyi kambing. – UTUSAN











