Wujudkan Kabinet bayangan untuk semak dan imbang

Wujudkan Kabinet bayangan untuk semak dan imbang

PEMBENTUKAN Kabinet bayangan diketuai ketua pembangkang bertujuan melakukan proses semak dan imbang terhadap perjalanan pentadbiran kerajaan sedia ada. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH Kabinet bayangan yang dianggotai oleh pembangkang perlu dibentuk di negara kita. Kewujudan Kabinet bayangan adalah penting supaya dapat melakukan proses semak dan imbang dengan baik serta berkesan terhadap segala tindakan diambil oleh kerajaan memerintah.

Sudah sampai masanya Malaysia melakukan perubahan drastik terhadap sistem politik dan pentadbirannya. Proses demokrasi yang telah lama diamalkan di negara ini perlu dimantapkan untuk kebaikan semua pihak.

Antara proses penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap proses demokrasi negara kita ialah dengan membenarkan dan mengiktiraf Kabinet bayangan oleh pembangkang. Dalam proses pilihan raya, akan terdapat pihak yang menang dan pihak yang kalah. Pihak yang menang akan mewujudkan kerajaan dan mentadbir negara ini. Pihak yang kalah pula menjadi pasukan pembangkang.

Pihak kerajaan akan membentuk Kabinet mereka dengan melantik beberapa orang menteri bagi mengetuai kementerian-kementerian tertentu dan menjalankan tugas serta tanggungjawab yang ditetapkan. Bagi pasukan pembangkang pula, mereka boleh mewujudkan sebuah Kabinet juga yang diberi nama Kabinet bayangan. Kabinet bayangan ini akan diketuai oleh ketua pembangkang.

Kewujudan Kabinet bayangan ini bukanlah suatu perkara baharu dalam sistem demokrasi. Ia telah pun lama wujud dan berfungsi di beberapa negara maju seperti United Kingdom, Kanada, New Zealand dan Australia.

Kewujudan Kabinet bayangan ini tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, ini tidak bermakna pembangkang tidak boleh mewujudkan Kabinet bayangan mereka sama sekali.

Pembentukan Kabinet bayangan perlu dilihat sebagai satu usaha atau inisiatif positif yang diambil oleh pembangkang dengan tujuan utamanya untuk melakukan proses semak dan imbang terhadap perjalanan pentadbiran kerajaan sedia ada. Proses semak dan imbang ini tidak boleh dilakukan secara keseluruhannya oleh ketua pembangkang atau mana-mana individu pembangkang sendiri. Proses semak dan imbang ini perlu dilakukan secara pasukan melalui Kabinet bayangan.

Pembangkang perlu melantik mana-mana individu dalam kalangan mereka khusus untuk memantau seseorang menteri dan sesebuah kementerian secara dekat supaya proses semak dan imbang ini dapat berjalan dengan baik serta berkesan. Misalnya, Menteri dan Kementerian Kewangan akan dipantau oleh Menteri Kewangan bayangan, Menteri dan Kementerian Pendidikan akan dipantau oleh Menteri Pendidikan bayangan, Menteri dan Kementerian Dalam Negeri akan dipantau oleh Menteri Dalam Negeri bayangan, dan seterusnya.
PRU15

Setiap individu yang dilantik sebagai anggota Kabinet bayangan perlu memastikan setiap menteri dan kementerian yang mereka pantau menjalankan segala tugas dan tanggungjawab dengan betul dan tidak melanggar sebarang peruntukan undang-undang sedia ada. Individu yang dilantik sebagai anggota Kabinet bayangan ini juga boleh memastikan tiada menteri atau kementerian menyalahgunakan kuasa diberikan kepada mereka. Sekiranya terdapat penyalahgunaan kuasa berlaku, anggota Kabinet bayangan ini boleh memberi teguran atau mengambil tindakan lanjut dengan membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa berkaitan.

Kewujudan Kabinet bayangan tidak seharusnya dipandang negatif atau dihalang oleh kerajaan memerintah. Kerajaan juga boleh mendapat manfaat daripada kewujudan Kabinet bayangan. Segala kesilapan atau salah laku oleh mana-mana anggota pentadbiran mereka dapat dikenal pasti secara dekat dan tindakan susulan dapat diambil dengan segera. Tiada manusia yang tidak melakukan kesilapan dan prinsip ini juga terpakai kepada anggota pentadbiran serta menteri kerajaan memerintah.

Oleh demikian, kewujudan Kabinet bayangan penting bagi membetulkan kesilapan atau salah laku oleh mana-mana anggota pentadbiran atau menteri. Penting untuk diketahui juga dengan adanya Kabinet bayangan, penyediaan awal dapat dilakukan sekiranya terdapat perubahan kedudukan kerajaan sedia ada. Negara kita tidak perlu menunggu lama untuk melantik Kabinet baharu sekiranya kerajaan sedia ada jatuh atau bertukar tangan seperti pernah berlaku pada awal 2020.

Landskap politik dalam negara kita juga adalah tidak kukuh akibat kegagalan mana-mana parti politik utama memperoleh majoriti mudah bagi membentuk sebuah kerajaan dan melantik Perdana Menteri selepas proses Pilihan Raya Kali Ke-15 (PRU15) baru-baru ini. Oleh itu, adalah penting Kabinet bayangan oleh pembangkang ini wujud dan dimantapkan supaya mereka dapat siap siaga untuk mengambil alih pemerintahan sekiranya terdapat perubahan politik terhadap kerajaan sedia ada.

Kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk menyalurkan wang peruntukan secara tahunan kepada anggota Kabinet bayangan supaya mereka dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik dan berkesan. Segala wang peruntukan yang diberikan kepada mereka ini perlu dipantau supaya tidak disalahgunakan untuk tujuan lain yang tidak berkaitan dengan fungsi Kabinet bayangan. – UTUSAN

DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×