SESUDAH acara mengangkat sumpah jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada 24 november lalu, ramai tertanya-tanya serta menunggu penuh debaran, bila pula senarai menteri Kabinet diumumkan?
Pastinya ia bukan suatu perkara mudah mengambil kira kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong bersama Majlis Raja-Raja mempunyai paling banyak parti dalam sejarah negara dengan kepelbagaian etnik serta ideologi politik berbeza. Namun, negara perlu bergerak maju ke hadapan. Lebih-lebih lagi pelbagai masalah negara perlu ditangani dan diselesaikan demi kesejahteraan hidup rakyat, di samping memenuhi permintaan Seri Paduka selaku tonggak negara.
Semestinya harapan pengundi dan rakyat amatlah tinggi kepada Anwar termasuk beberapa pemimpin tertinggi luar negara. Malah kita hampir tidak percaya apabila secara tiba-tiba, Sultan Brunei berada di negara ini tanpa sebarang tatacara protokol untuk memberi ucapan tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri kita yang pastinya dianggap sebagai seorang sahabat dengan memandu keretanya sendiri manakala Anwar sebagai penumpang.
Ucapan tahniah datang mencurah-curah daripada pemimpin-pemimpin luar negara. Ada yang menelefon secara langsung seperti Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Tanpa banyak bersabar, pihak atau kumpulan tertentu secara memandai-mandai mengeluarkan senarai Kabinet ramalan mereka sendiri. Paling teratas yang kemudiannya menjadi persoalan penuh kontroversi ialah jawatan dua Timbalan Perdana Menteri (TPM). Dua nama paling popular dilontarkan ialah Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS). Ada juga meletakkan nama Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Parti Warisan) mewakili kedua-dua negeri (Sabah dan Sarawak) digandingkan dengan Mohamad mewakili UMNO selaku parti gabungan kedua terbesar dalam kerajaan.
Apabila diumumkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO adalah salah seorang TPM, ia di luar jangkaan sama sekali. Paling lantang menentang ialah Tan Sri Rafidah Aziz yang turut tidak bersetuju dengan tiga orang lain yang kalah dalam pilihan raya umum, baru-baru ini menyertai Kabinet iaitu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melalui lantikan sebagai Senator manakala lantikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia tidak dipertikaikan.
Malah dilaporkan dalam media arus perdana dan media sosial bahawa Ahmad Zahid yang asalnya nempunyai 87 pertuduhan rasuah tetapi dibebaskan 40 daripadanya, masih terpaksa berhadapan 47 lagi pertuduhan.
Dalam perkara ini, memang pernah terdengar suara bayangan daripada Anwar sendiri apabila ditanya oleh wartawan sebelum senarai Kabinet diumumkan, “Adakah kluster mahkamah juga akan menyertai Kabinet?”Secara spontan Anwar menjawab menggunakan prinsip bahawa seseorang itu belum bersalah sehingga mahkamah sendiri mengesahkan bahawa dia didapati bersalah.
MURID
Dari sudut politik dan perspektif serta hati budi Anwar sendiri, Ahmad Zahid selain ‘seorang murid yang amat setia kepada guru politiknya’, juga adalah individu dan pemimpin tertinggi UMNO yang memainkan peranan utama dalam meletakkan Anwar di atas kerusi empuk Perdana Menteri ke-10. Tanpa usaha Ahmad Zahid yang bekerja keras menarik sokongan 28 daripada 30 ahli Parlimen Barisan Nasional menyokong Anwar dan Pakatan Harapan, disusuli ahli-ahli Parlimen dari GPS, Gabungan Rakyat Sabah dan lain-lainnya, jawatan itu sudah pasti terlepas ke tangan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau seorang lain pilihan gabungan pimpinan Perikatan Nasional yang berpegang kepada prinsip No Anwar, No DAP.
Bagi Anwar, dia lebih rela mengetepikan prinsip tetapi memilih lebih mengutamakan nilai membalas budi kepada seseorang yang amat berjasa kepadanya walaupun keputusan yang terpaksa dibuat paling tidak popular sekali dan sedikit menjejaskan kredibiliti di mata umum dan antarabangsa. Ibarat pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa, Anwar memilih untuk menelannya walaupun ia terasa amat pahit dan tidak mungkin bertukar menjadi penawar.
Seperkara lagi yang dikira kontroversi ialah lantikan Anwar sendiri memegang kementerian yang amat strategik, iaitu Kementerian Kewangan.
Namun kita berkeyakinan, daripada laungan suara lantangnya pada ‘zaman reformasi’ yang menentang rasuah secara habis-habisan, kita berharap Anwar hari ini sama juga seperti Anwar dahulunya, punya prinsip dan integriti tinggi. Pun, asas kepada penubuhan dan kewujudan PKR yang didukung beliau sejak sekian lama, antara lainnya penentangan terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mungkin salah satu tanggungjawab perlu dipikul oleh seorang Perdana Menteri seperti Anwar adalah mencari dana antarabangsa untuk pembangunan negara. Namun begitu, kita juga tidak mahu negara yang dicintai ini terikat kepada mana-mana badan atau tabung kewangan dunia seperti Tabung Kewangan Antarabangsa yang berpotensi untuk mendominasi sesebuah negara.
Akhirnya, terdapat juga beberapa sisi menarik Kabinet Anwar. Paling ketara ialah penambahan menteri dalam kalangan wanita. Empat daripadanya buat pertama kali dipegang oleh wanita iaitu porfolio-portfolio Kesihatan, Undang-Undang, Pendidikan, serta Belia dan Sukan.
Juga, buat pertama kali wujud Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, diperkukuh oleh salah seorang daripada dua TPM dalam kalangan komponen parti-parti di Sabah dan Sarawak, sesuatu yang amat dialu-alu serta dinantikan. Agihan antara parti-parti komponen dalam kerajaan serta Sarawak dan Sabah juga seimbang, menepati penggunaan istilah kerajaan perpaduan.
Semoga pelayaran kapal besar Kabinet perpaduan dinahkodai tokoh reformis radikal ini tidak bergelumang dilanda ribut taufan dan selamat tiba ke destinasi sepanjang lima tahun akan datang. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).











