SECARA umumnya, perilaku ahli politik kita kini khususnya yang bernama besar adalah amat mengecewakan sebagai hasilan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ini kerana semasa berkempen malah lama sebelum itu, mereka ini bukan sahaja selalu tetapi banyak bercakap tentang integriti dari pelbagai sudut.
Antaranya termasuklah prinsip tegas untuk tidak berkompromi langsung dengan perkara mungkar yang berlaku dalam negara. Ia dijanjikan sebagai tidak akan sesekali bekerjasama dengan pihak yang didapati ada isu integriti, apatah lagi bersekali untuk membentuk kerajaan selain pemberhentian sebilangan cara urus tadbir negara tidak baik yang diguna pakai sebelum ini.
Namun sebagai ahli politik, lebih-lebih lagi yang terlalu taasub dengan politik sehingga keterlibatan mereka bukan sahaja amat aktif tetapi sarat pula dengan taktik politik yang keji sifatnya, didapati mereka ini sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk kelangsungan diri dan parti. Dengan ini, banyak sekali perkara yang dilakukan mereka ini didapati bukan sahaja amat tidak selari tetapi sangat bertentangan de-ngan segala apa yang mereka tarbiahkan kepada khalayak sebelum ini.
Ini termasuklah keburukan bagi ketua kerajaan untuk ikut memegang portfolio kewangan yang didapati boleh membawa kepada pemusatan kuasa yang terlalu kuat. Amalan politik ini yang bukan sahaja dikutuk keras setelah berlakunya skandal kewangan dalam lingkungan sebegini sebelum ini, juga dijanjikan secara lantang bahawa ia tidak akan diulangi apabila mereka ini berkuasa nanti. Sebaliknya perkara sama ikut dilakukan mereka ini. Ini menunjukkan sama ada itulah caranya yang tidak dapat dielakkan dalam politik agar pemerintahan keseluruhannya menjadi lebih berkesan ataupun itulah daya pemerintahan yang boleh mempertingkat kekuasaan ketua kerajaan.
Begitu juga dengan janji untuk tidak sesekali bekerjasama dengan mereka yang ada isu integriti. Malangnya ia juga didapati tidak terjadi. Beberapa alasan mudah diberikan untuk hal ini. Antara yang umum adalah kedinamikan politik semasa memerlukan penjajaran baharu manakala yang khusus berupa saranan tertentu wajib dipatuhi.
Sebenarnya semua ini memperlihat bahawa politik itu satu bidang yang amat tidak bermaruah. In kerana segala apa yang diperkata terdahulu boleh menjadi lain sama sekali kemudiannya tanpa perlu ada kebertanggungjawaban selain kehormatan diri. Selain ini, politik juga bersifat sangat tidak serius, yakni banyak bermain-main dalam melakukan sesuatu itu kerana dianggap tidak penting. Justeru, ia tidak ikhlas selain tidak rinci dan tuntas.
Dalam hal ini, ahli politik didapati bersikap selamba, tidak memperlihat rasa segan langsung walaupun melakukan perkara mengaibkan dan tiada emosi bersalah pun terhadap perkara tidak betul yang dilakukan mereka.
KELIRU, BINGUNG
Sehubungan ini, rakyat jelata khususnya yang mengundi pada PRU 15, menjadi keliru, antaranya bingung, serba salah dan menghadapi kesukaran memahami gelagat politik sedang berlaku. Ini kerana perkara yang dicanangkan secara mati-matian sebelum ini adalah hal baik-baik tentang integriti dan urus tadbir yang bukan sahaja disokong kuat rakyat tetapi sangat ingin dilihat dilakukan oleh ahli politik. Akan tetapi yang berlaku sekarang ialah penerusan perkara mungkar yang kuat dikutuk oleh mereka sendiri sebelum ini.
Dengan ini, ia memang mengesahkan hakikat bahawa semua ahli politik sama sahaja walaupun berlainan parti yang dianggotai, iaitu cakap tidak serupa bikin selain munafik orangnya.
Seperkara lain yang dikaitkan dengan gelagat mengelirukan itu ialah kebarangkalian dunia sudah hampir dengan akhir zamannya seperti dipercayai dalam Islam yang banyak diperkata kebelakangan ini oleh golongan ulama. Ini kerana tandanya begitu nyata apabila pelbagai helah yang berlaku itu dapat dengan mudah dikaitkan dengan gejala utamanya, iaitu yang batil diterima sebagai benar dan yang benar pula dianggap sebagai batil. Sesungguhnya kekeliruan yang wujud kini memang boleh membawa kepada kehancuran negara. Ini kerana bukan sahaja kita kembali kepada cara lama yang terbukti amat tidak baik itu sehingga telah pun membawa banyak kemudaratan kepada negara, ia masih mahu diteruskan lagi tanpa ada sedikit pun kekesalan di kalbu, apatah lagi perasaan kesalahan yang meruap-ruap di jiwa.
Dengan ini, sejarah pasti berulang kembali. Nampak-nya tidak banyak yang dapat dilakukan oleh rakyat dalam hal ini selain meluahkan rasa kecewa dan marah kerana ditipu hidup-hidup oleh ahli politik yang mengamalkan politik sempit, iaitu semata-mata untuk kelangsungan diri dan parti politik sendiri sahaja.
Dalam pada ini, didapati untuk sekian lamanya adalah menjadi perkara amat sukar untuk ahli politik kita mengamalkan politik sebaliknya, iaitu mementingkan negara yang sudah tentu baik sekali untuk rakyat.
Selama-lamanya kita akan berada di takuk lama, iaitu politik sempit yang hanya baik untuk ahli politik, selagi ahli politik kita bersikap rakus untuk cuma menjaga kepen-tingan diri dan parti politik masing-masing. Ini bukan sahaja amat tidak baik untuk pembangunan negara, ia akan menghancurkan Malaysia.
Oleh itu, sangat perlu ada keinsafan pada ahli politik untuk segera mengubah sikap rakus ini. Ini bukan sahaja penting sekali untuk negara, juga untuk mereka agar tidak terus-terusan berperangai buruk kerana semata-mata mementingkan diri dan parti sahaja dan juga dianggap bajingan, yakni penjahat sebab tidak henti-henti mahu melakukan perkara tidak baik.
Untuk ini, mereka hendaklah segera menyesal akan semua perbuatan buruk laku mereka itu dan berazam untuk tidak akan melakukannya lagi demi negara tercinta ini. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










