Keabsahan Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

Keabsahan Kerajaan Perpaduan

Parti-parti politik akan memeterai perjanjian menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK Seri Anwar Ibrahim secara rasminya telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 (PM10) pada 24 November 2022. Lantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menurut Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu pada hemat baginda, Anwar memperoleh sokongan majoriti.

Kerana itu pergolakan politik yang berlaku sejak tahun 2020 wajar diredakan supaya cabaran yang rumit lima tahun ke hadapan mampu diharungi oleh Malaysia.

Usul undi percaya yang dicadangkan oleh pihak kerajaan Isnin ini juga sewajarnya tidak diteruskan. Dewan Rakyat sebaliknya perlu memanfaatkan sebaik-baiknya dengan memikirkan mekanisme untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup, pemulihan ekonomi, ancaman bencana alam dan peluang pekerjaan.

Ahli Parlimen juga seharusnya pada 19 Disember hanya memberi fokus untuk meluluskan bajet khususnya bagi kelangsungan emolumen untuk penjawat awam. Rakyat kini menghadapi suasana pasca pandemik. Ekonomi negara belum dapat pulih sepenuhnya lagi. Jadi, hentikanlah berpolitik. Sekarang adalah masanya untuk kerajaan baharu bekerja selesaikan isu rakyat.

Realiti memimpin dalam Kerajaan Perpaduan diakui rumit. Harus ada formula-formula dipersetujukan bersama ahli gabungan PH-BN-Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan serta beberapa parti lain meskipun tiada perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan blok pembangkang setakat ini.

Cabaran Perdana Menteri adalah tidak akan dapat puaskan hati semua orang. Jadi, perlu elakkan sepanjang masa berunding atau tolak ansur. Memasuki tahun baharu 2023, semua pihak khususnya parti-parti yang bernaung di bawah Kerajaan Perpaduan perlu meredakan suhu politik panas. Jika tidak, lompang Kerajaan Perpaduan akan banyak masa terbuang untuk berunding sesama sendiri bagi penuhi hasrat parti masing-masing.

Jangan sesekali menjadikan Dewan Rakyat umpama ‘sarkas’. Wakil rakyat itu jantung. Parlimen itulah jantungnya. Jika sering diugut-ugut, digertak-gertak, Parlimen tiba-tiba terhenti kerana tidak ada persefahaman bagaimana? Matilah tubuh badan. Cabut larilah pelabur. Yang hendak masuk sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pun tarik hand brake, dibimbangi yang sedia ada, berpindah pula ke negara tetangga.

Semua pihak seharusnya menghormati keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong yang membuat pelantikan Perdana Menteri. Di samping ekonomi, persetujuan Agong merealisasikan perpaduan kaum nampak lebih baik dengan kerajaan pimpinan Anwar. Malah, tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sudah diputuskan Seri Paduka sendiri.

Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Agong untuk melantik Perdana Menteri yang dipercayai bukan sahaja mempunyai sokongan majoriti mudah 112, malah melepasi 148 majoriti dua pertiga. Ahli Parlimen juga sudah menghadap baginda bagi menyatakan sokongan dan dalam masa singkat tidak mungkin melihat mereka akan mengubah pendirian.

Menempuh 2023 serba getir nanti, para menteri dan pegawai kerajaan bukan sahaja perlu cekap dan kreatif, tetapi harus mahir kendalikan isu-isu serantau dan antarabangsa. Semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk pastikan pacuan Malaysia yang pantas, pulih dan mengaum kembali.

Politik dalaman yang berkecamuk dan Laut China Selatan serta Selat Melaka yang turut bergelora perlukan fikiran kritis, tepat dan matang menanganinya. Kalau tiada strategi ampuh, nescaya tidak banyak yang kita boleh pertahankan.

BERANI

Kejayaan untuk Malaysia tidak datang dengan mudah. Kejayaan tidak jatuh bergolek ke kaki dan anda cuma perlu mengutipnya. Itu semua hanyalah angan-angan di siang hari.

Meskipun ada pihak menganjurkan tidak perlu usul undi percaya Isnin ini, namun keterbukaan Anwar jelas menunjukkan beliau mahukan kerajaan pimpinannya mendapat keabsahan di Dewan Rakyat. Tindakan Perdana Menteri ini merupakan satu keberanian yang luar biasa.

Dengan adanya undi percaya, ahli Parlimen selepas itu seharusnya menghormati proses demokrasi dan berhenti berpolitiking serta fokus kepada isu yang membelenggu kehidupan rakyat. Kata Perdana Menteri, usul undi percaya kepadanya adalah bertujuan membolehkan beliau memimpin negara dengan mandat yang jelas dan berdasarkan sokongan majoriti ahli Parlimen.

Beliau menjelaskan perkara itu semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini. “Dari segi undang-undang, ia tidak diperlukan. Pendapat Peguam Negara juga tidak perlu sebab majoritinya jelas dan kuasa Yang di-Pertuan Agong juga jelas.

“Saya jawab ampun Tuanku, ini bukan soal peraturan dan undang-undang sahaja. Perkara ini dibangkitkan dan patik mahu memimpin dengan mandat jelas, dukungan ahli-ahli Parlimen yang majoriti. Patik yakin akan memperoleh (sokongan), andai kata tidak peroleh, patik akan tunduk kepada suara rakyat,” katanya pada Program Pertemuan Mahabbah bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana, Putrajaya, Ahad lalu.

Ahli-ahli politik negara hendaklah berpolitik secara matang dan budiman. Budaya politik sepatutnya membawa kepada kematangan dan kesejahteraan, bukan sebaliknya. Apabila itu berlaku, barulah negara dapat bergerak ke hadapan.

Memang setiap parti ada pandangan yang berbeza dan ia harus diraikan melalui pertarungan di pilihan raya. Dan kita telahpun meraikan pertarungan ini semasa PRU15 yang lalu. Sepatutnya seusai pilihan raya semua pihak hendaklah bekerjasama memainkan peranan bagi memastikan pentadbiran negara berfungsi dengan baik dan lancar. Bukannya berbalah dan mencari kesalahan masing-masing sehingga terlupa peranan dan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.

Tindakan PM10 menubuhkan kerajaan bersama-sama parti lawan adalah jalan ke arah politik matang dan budiman di Malaysia. Apakah semua itu berlaku dengan secara tiba-tiba? Jawapannya sudah tentu tidak. Hal itu terjadi disebabkan adanya perasaan mendahulukan negara dalam setiap perkara. Beliau sanggup mengetepikan perbezaan dan persengketaan untuk memacu kemajuan negara.

Mungkin beliau sedar bahawa negara kita sudah lelah dan lesu dengan pertempuran politik yang tidak berkesudahan yang menyebabkan kemajuan terencat. PM10 berjiwa besar, sekurang-kurangnya meraikan perbezaan pendapat dan melakukan anjakan paradigma dalam berpolitik dalam konteks matang dan budiman. Beliau melantik seteru politik di dalam Kabinet beliau menjawat jawatan timbalan perdana menteri (TPM) dan beberapa menteri portfolio kanan.

Tindakan beliau ini ialah untuk melakukan perubahan drastik sistem pemerintahan dan pendekatan baharu menggantikan cara lama mengubah hala tuju politik negara ini yang sinonim dengan amalan korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN) kepada ketelusan dan keberhasilan. Seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa fahaman politik patut menyokong pendekatan politik matang dan budiman PM10. – UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×