Dakwah Piala Dunia Qatar ‘menjadi’ - Utusan Malaysia

Dakwah Piala Dunia Qatar ‘menjadi’

PASUKAN Maghribi melakukan sujud syukur selepas tewas 0-2 kepada Perancis dalam saingan separuh akhir di Stadium al-Bayt, Doha, semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QATAR berjaya membuktikan segala tohmahan negatif yang meragui kemampuan negara itu menganjurkan kejohanan bola sepak paling berprestij, Piala Dunia 2022 sebagai tidak benar. Tahniah dan syabas kepada negara Islam pertama yang menjadi tuan rumah Piala Dunia kali ke-22 itu.

Walaupun Piala Dunia hanya akan melabuhkan tirainya Ahad ini, Qatar berjaya mencipta sejarah bukan sahaja sebagai tuan rumah yang berjaya. Lebih penting lagi menjadikan kejohanan bola sepak itu sebagai medan dakwah memperkenalkan Islam kepada jutaan ribu umat manusia.

Acara pembukaan rasmi Piala Dunia telah dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Qatar dalam menonjolkan imej Islam sebagai agama perdamaian dan sejahtera. Pelancaran temasya juga unik dan berbeza dengan Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini.

Pembukaannya bermula dengan dialog yang sangat ringkas tetapi padat dengan mengangkat ayat suci al-Quran. Ia melibatkan aktor terkenal Hollywood, Morgan Freeman dengan ikon pemuda Qatar iaitu Ghanim Al-Muftah yang berdialog tentang bagaimana kepelbagaian manusia boleh hidup harmoni di bawah satu bumbung?

Ghanim menjawab dengan membaca firman Allah SWT yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris. Firman Allah itu bermaksud: Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu daripada lelak dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.

Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti. (al-Hujurat: 13)

Menurut FIFA, jumlah penonton yang menyaksikan Piala Dunia kali ini mencecah 2.45 juta dalam 48 perlawanan peringkat kumpulan. Jumlah itu jauh mengatasi bilangan penonton dalam Piala Dunia 2018 Rusia iaitu 2.17 juta.

Peluang ini turut digunakan semaksimum mungkin oleh Qatar menyampaikan mesej Islam sehinggakan ramai pengunjung ke negara itu membuka mata kepada keindahan agama berkenaan.

Kesungguhan Qatar melaksanakan misi dakwah ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik.” (Sunan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman)

Sebenarnya, bukan mudah untuk Qatar dipilih menjadi tuan rumah. Banyak halangan dan tohmahan termasuk didakwa merasuah semasa proses pengundian sehingga berjaya menewaskan Amerika Syarikat.

Lebih utama, kemampuan kewangan Qatar yang membelanjakan RM925 bilion untuk menganjurkan Piala Dunia pada tahun ini. Jumlah itu adalah 20 kali ganda daripada jumlah yang dikeluarkan Russia bagi menganjurkan edisi 2018.

Ini membuktikan Islam tidak pernah menghalang umatnya mencari kekayaan asalkan ia diperolehi dengan cara yang halal dan dibelanjakan juga dengan cara yang dibenarkan syarak.

Ternyata, strategi dakwah Qatar menjadi. Sebahagian pihak menyatakan, Piala Dunia 2022 mengubah persepsi buruk jutaan manusia termasuk orang Barat yang mempunyai Islamofobia terhadap Islam.Pihak penganjur mewajibkan laungan azan lima kali sehari di stadium dan menyediakan kemudahan tempat solat tidak seperti Piala Dunia FIFA sebelum-sebelum ini.

AZAN

Tempat solat yang banyak memudahkan para pelancong Muslim mengakses ruangan tersebut untuk berwuduk dan solat. Sebelum ini, ada peminat bola sepak terpaksa berjalan ke luar stadium untuk menunaikan kewajipan solat.

Tidak mustahil, ini mungkin kali pertama bagi majoriti penonton bukan Islam mendengar secara langsung bacaan al-Quran dan laungan azan. Terutama bagi mereka yang datang dari negara penganut Islam minoriti.

Jangan kita lupa peristiwa bagaimana Saidina Umar al-Khattab mendapat hidayah memeluk Islam usai mendengarkan ayat-ayat Allah dari surah Taha (ayat 1 hingga 5).

Ini yang dijelaskan oleh Allah tentang hidayah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat hidayah, akan tetapi Allah-lah yang memberi hidayah (memberi taufiq) kepada siapa yang Dia kehendaki. (al- Baqarah: 272)

Qatar juga tidak bertolak ansur dengan penjualan arak kepada para penyokong dan pelancong. Minum arak bukan diharamkan sepenuhnya cuma ia dihadkan. Ia masih dibenarkan diminum di hotel atau bar dan lokasi yang dilesenkan. Selain itu, pelbagai jualan makanan halal menjadi hidangan dan pilihan sepanjang pertandingan.

Satu lagi mesej tegas oleh Qatar adalah menolak One Love iaitu gejala homoseksual iaitu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Sama ada kebetulan atau sebaliknya, dengan kalahnya England kepada Perancis dalam suku akhir Piala Dunia 2022 lengkaplah kesemua pasukan yang menyokong One Love tersingkir daripada Piala Dunia kali ini selepas Wales, Jerman, Denmark, Belgium, Switzerland dan Belanda tersingkir lebih awal.

Dari segi persepsi antagonis yang sering mengaitkan Islam dengan keganasan, Qatar disifatkan berjaya membetulkan tanggapan itu. Ia melalui pelbagai pendedahan tentang Islam sepanjang temasya tersebut.

Stesen penyiar antarabangsa, Voice of America melaporkan pengakuan pasangan dari Kanada, Dorinel dan Clara Popa yang melalui pengalaman pertama mereka mendengar azan di Masjid di Daerah Katara di Doha. “Kami memang prejudis dengan budaya dan orang Islam sebelum ini,” kata Dorina, seorang akauntan.

Para pendakwah Islam dari pelbagai platform dipanggil membuat pameran bagi menerangkan imej sebenar Islam kepada para pelancong terutama yang bukan Islam. Hasil usaha dakwah ini, dikatakan lebih 1,000 orang memeluk Islam setakat ini.

Ditakdirkan juga, pasukan Maghribi mencatat sejarah apabila melangkah ke separuh akhir. Pasukan dari benua Afrika itu menewaskan Portugal 1-0. Mereka kebal di peringkat kumpulan.

Walaupun Maghribi bukan pasukan pilihan, ia sebenarnya dibarisi pemain-pemain hebat seperti Achraf Hakimi, bek kanan yang bermain dengan kelab Paris Saint-Germain.

Selain itu, pasukan giant killer ini dibarisi oleh Hakim Ziyech, sayap kanan yang bermain untuk Chelsea dan Youssef En-Nesyri iaitu penyerang kelab Sevilla. – UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×