Baik rakyat, baiklah pemimpinnya

Baik rakyat, baiklah pemimpinnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN pengabsahan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri melalui usul undi percaya di Dewan Rakyat baru-baru ini, kita mengharapkan negara akhirnya dapat mempunyai sebuah kerajaan yang lebih stabil demi kemakmuran hidup semua. Rakyat akan tersepit jika para pemimpin lebih sibuk berpolitik daripada memimpin negara dan membela nasib rakyat.

Atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, parti-parti politik yang dahulunya bermusuhan perlu belajar duduk semeja dalam satu entiti demi semangat Persekutuan. Saya sifatkan ini adalah antara semangat yang mahu ditanam ke dalam diri pemimpin-pemimpin politik semasa Seri Paduka menitahkan supaya kerajaan perpaduan ditubuhkan setelah Parlimen tergantung. Rakyat sudah teruk berpecah sehinggakan kita semua sudah tidak lagi mampu bersatu hati memilih sebuah parti politik yang mampu membentuk kerajaan seperti dahulu.

Kami, anak muda cuba memahami keadaan politik semasa dan apabila ada peluang, kami turut menonton persidangan Parlimen. Sudah tentu kami kecewa apabila melihat masa persidangan disia-siakan dengan hal-hal yang tidak patut. Malah isu sama diulang-ulang dengan ayat berbeza disulami kata-kata tidak wajar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dewan Parlimen bukanlah kedai kopi mahu pun pentas ceramah politik. Ia merupakan tempat menggubal undang-undang dan mempunyai peraturan yang harus dihormati oleh setiap ahli Parlimen. Pemimpin harus menunjukkan teladan yang baik. Realitinya, mahasiswa yang mengambil bahagian dalam Parlimen universiti lebih beretika dan berintegriti ketika berbahas berbanding cara sesetengah ahli Parlimen yang tidak menghormati tata susila Dewan Rakyat.

Kerajaan perpaduan dibentuk oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain dan calon Bebas. Ia mirip pakatan di antara Perikatan Nasional (PN), BN, GPS dan GRS yang membentuk dua kerajaan setelah berlakunya ‘Langkah Sheraton.’ Persoalannya, mampukah anggota Kabinet kerajaan baharu ini bekerjasama secara profesional dan kolektif tanpa suasana tegang seperti keadaan dua kerajaan campuran sebelum ini? Sudah tentu tidak mudah, tetapi mereka harus usahakan untuk kekal sebagai sebuah kerajaan.

Malah, inilah asas kepada pembinaan negara kita. Namanya juga sebuah Persekutuan, maka apa ertinya Persekutuan jika anggotanya tidak mampu bersekutu? Hayatilah sejarah dan semangat yang membara semasa usaha pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Begitu besar pengorbanan dilakukan oleh raja-raja kita pada ketika itu. Baginda rela berkorban melepaskan sebahagian daripada hak dan kuasa demi menubuhkan sebuah negara Persekutuan agar Tanah Melayu bebas daripada campur tangan British. Maka semangat Persekutuan ini harus disemarakkan oleh semua parti politik pada saat kita berusaha memulihkan keadaan negara yang rosak akibat kemelut politik berpanjangan.

 

ANGGOTA jemaah menteri yang berasal daripada gabungan parti berlainan sepatutnya memastikan ada langkah semak dan imbang semasa merangka dasar serta pelaksanaan tugas sehari-hari. – IHSAN JABATAN PENERANGAN 

Rakyat mengharapkan anggota Kabinet serta ahli politik akan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan penuh dedikasi. Mereka tidak boleh menjadikan kepentingan politik atau diri sendiri sebagai wadah perjuangan dan agenda tersirat semasa berkhidmat. Justeru, anggota jemaah menteri yang berasal daripada gabungan parti berlainan sepatutnya memastikan ada langkah semak dan imbang semasa merangka dasar serta pelaksanaan tugas sehari-hari.

Pemimpin ialah cerminan rakyatnya. Baik rakyatnya, baiklah pemimpinnya. Maka, berusahalah menjadi rakyat yang bertanggungjawab kepada negara agar kita mendapat pemimpin bertanggungjawab. Negara tidak akan harmoni jika rakyat gagal menghormati hak masing-masing seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan terus menerus mencabar hak orang lain. Jangan buta sejarah dan termakan hasutan musuh yang mahu memporak-perandakan negara kita. Jika kita asyik berkelahi sesama sendiri, musuh negara akan bertepuk tangan. Hentikan suara-suara sumbang bagi membangkitkan provokasi dalam kalangan rakyat agar tidak berlaku huru-hara yang kelak hanya merugikan kita.

Sistem demokrasi bukanlah satu sistem yang sempurna serta mampu memuaskan hati dan adil kepada setiap rakyat. Kita semua tahu bahawa dalam sistem demokrasi, tidak semua pihak boleh mendapat apa yang mereka inginkan kecuali jika setiap orang membuat pilihan yang sama. Dan jika ia berlaku, kita tidak perlu turun mengundi kerana setiap calon akan menang tanpa bertanding. Maka, kita mesti berlaku adil apabila keadaan tidak menyebelahi kita seperti mana kita mahukan jika kita berada di tempat mereka.

Kita tidak mahu krisis politik yang melanda negara selama lebih empat tahun berulang kembali. Ekonomi negara akan terus merudum jika keadaan politik kita berterusan bergolak tanpa ada kesudahannya. Jangan sampai, sudah terhantuk baru tergadah. Yang menjadi mangsa tentunya rakyat. Dalam suasana dunia tidak menentu serta jangkaan ketidakstabilan ekonomi dunia pada tahun hadapan, rakyat akan lebih menderita jika keadaan negara tidak tenteram. Suasana tegang di Thailand harus dijadikan pedoman dan lihatlah juga apa yang berlaku di Ukraine.

Dalam berpolitik kita harus bersikap cermat dan tidak bertindak mengikut nafsu. Lihatlah bagaimana negara-negara di serata dunia yang jatuh akibat perpecahan dalaman berpunca daripada masalah yang sebenarnya boleh diatasi jika semua pihak tidak mengikut perasaan dan hanya mementingkan diri sendiri. Ketidakstabilan negara hanya akan membuka pintu kepada campur tangan kuasa luar yang hanya ingin mengaut keuntungan daripada kelemahan kita. Jangan sekali-kali perjudikan keamanan negara. Jika negara hancur, mudaratnya kepada kita akan lebih besar kerana kita akan hilang segala-galanya.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×