fbpx

Perang strategi undi Melayu PRU15

AHMAD Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim semasa di bangunan Parlimen pada November tahun lalu. – MINGGUAN MALAYSIA

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan banyak pertembungan dan berlakunya per­pecahan undi sesama sendiri di kawasan majoriti pengundi Melayu. Parti politik berasaskan Melayu Islam seperti UMNO-BN, Perikatan Nasional (PN – Bersatu, Pas) dan Gerakan Tanah Air (GTA – Pejuang, Putra dan lainnya) ‘merebut’ dan ‘berperang’ melaksanakan strategi bagi menambat hati pengundi Melayu terutamanya di luar bandar.
BN bergerak bersama rakan komponennya UMNO-MCA-MIC dan rakan strategik dari Sabah dan Sarawak. Usaha merealisasikan Muafakat Nasional (MN) tidak kesampaian namun BN yakin memenangi PRU15 walaupun bergerak secara ‘solo’.
Secara asasnya BN atas kertas mampu ‘memenangi’ beberapa parlimen di Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak berdasarkan kejayaan cemerlang di pilihan raya negeri-negeri itu sebelumnya. Tiada jalan singkat kecuali all out jika mahu memenangi PRU15 ini.
Namun BN perlu me­rangka strategi menawan ha­ti pengundinya dengan pendekatan lebih mesra dan melaksanakan pemasaran politik bersistematik. Barang diingat bahawa kemenangan mana-mana calon juga ber­gantung sejauh mana mampu me­ngawal dan menanggani per­sepsi dan sentimen yang melingkari parti politik.
Maka pendekatan BN perlu lebih berstrategik, berstruktur kerana semua parti politik mahu ‘menghentam’ parti berkenaan. Asasnya mudah, kerana parti-parti politik lain dapat menghidu kekuatan jentera dan solidariti yang ada pada BN yang meletakkan BN mendahului dalam mendapat sokongan berbanding lain.
Sejauh mana BN mampu memenangi PRU15 pada kali ini? Persoalannya adakah PH, PN, GTA dan lainnya ‘menyerang’ sesama mereka?
Sejauh mana pula parti berkenaan memfokuskan propaganda dan strateginya pada BN semata-mata? Sebenarnya pertembungan empat penjuru dilihat memberi kelebihan kepada BN memenangi PRU15.
Namun ini bukanlah perkara yang menjamin kemenangan selagi BN tidak bertungkus lumus berkempen dan berjaya menambat hati pengundi sehingga hari mengundi.
Kalau PRU14 dahulu jelas wujud pertembungan dua penjuru iaitu BN dan PH namun PRU15 menyaksikan peperangan strategik yang lebih ketara berbanding sebelumnya. Bukan sahaja melalui media sosial namun strategi dapat dikesan melalui penamaan calon khususnya di peringkat parlimen.
Tiada lagi istilah ‘deposit tetap’ atau ‘status-quo’ dalam kebanyakan strategi parti politik. Konsep ‘asalkan menang’ merupakan strategi yang lebih penting untuk merebut Putrajaya dan pembentukan kerajaan.
Sekurang-kurangnya ter­dapat 22 kerusi panas yang dianggap menjadi tumpuan ba­gi parti politik di dalam negara untuk mempertaruhkan nama-nama besar pada PRU15 kali ini.
PRU15 juga menyaksikan 945 calon akan bertanding jumlah teramai dalam sejarah pilihan raya di negara ini. Menjadikan Malaysia pentas demokrasi yang memberi ruang dan peluang warganya menampilkan diri sebagai pemimpin di Parlimen dan DUN. Paling mencuri tumpuan, pertempuran sokongan di Parlimen Gombak apabila penyandangnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan kawasan tersebut daripada dirampas oleh calon bekas partinya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala PKR seolah-olah ingin ‘membalas dendam’ dek adegan Langkah Sheraton apabila meletakkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi bertanding di kawasan berkenaan.
Persoalannya kenapa tidak Datuk Seri Anwar Ibrahin sendiri bertanding di Gombak? Jika ini berlaku baru lah wujud gentleman dalam menentukan sokongan.
Namun percaturan PKR-PH seperti sebelumnya meletakkan Presidennya, Anwar berhijrah dari Port Dickson ke Tambun, Perak, yang dianggap selamat. Semuanya ini berkaitan dengan strategi politik.
Jelas strategi utama PH adalah untuk memecahkan undi PN dan BN dengan meletakkan calon Melayu yang memiliki jawatan utama dan dikenali di dalam parti. Keadaan ini akan membuatkan calon Melayu berpecah tiga dan lebih malahan turut memberi peluang kepada PH mendapat sebahagian undi daripada kumpulan berkenaan.
Sebelum ini BN lebih gemar meletakkan calon anak tempatan di parlimen masing-masing. Kini nama besar seperti Khairy Jamaluddin (KJ) berhijrah dari Rembau ke Sungai Buloh, Selangor. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asraf Wajdi sebagai calon di Grik, Perak walaupun berasal dari Kelantan. Begitu juga beberapa calon Pas bertanding dan diberi laluan atas tiket BN khususnya di Kelantan.
Namun beberapa kawasan bandar dan pinggir bandar parlimen yang majoriti Melayu seperti Shah Alam dan Bangi pula berlaku pertembungan sesama calon Melayu ditambah dengan beberapa calon Bebas.
Apabila berlaku perpecahan dalam undi Melayu yang mana kita lihat PN dan BN turut bertanding, ia secara tidak langsung menjadi strategi PH untuk mendapatkan sebahagian daripada undi Melayu yang berpecah manakala DAP di PH lebih cenderung meletakkan calon Melayu bagi meraih sokongan pengundi Melayu.
Strategi digunakan PH itu turut digunakan dalam PRU14 lalu memandangkan gabungan itu diketahui ‘lebih digemari’ pengundi bukan Melayu.
PH juga menampilkan calon popular dan terkenal bagi menentang nama-nama besar daripada parti lawan merupakan strategi gabungan itu untuk mengambil kesempatan daripada pertembungan parti-parti Melayu lain.
Pertembungan di beberapa kawasan majoriti Melayu itu secara langsung akan menyaksikan berlakunya perpecahan undi dan dijangka turut memberi kelebihan kepada gabungan berkenaan mendapatkan sebahagian undi kelompok berkenaan.
Begitu juga beberapa nama besar dicaturkan dan berpindah ke merata tempat tanpa memikirkan lagi konsep ‘calon payung terjun’.
Persoalannya, sejauh mana calon payung terjun diterima pengundi? Sejauh mana juga pemimpin yang ‘lompat parti’ akan diterima pengundi?
Bagi nama-nama besar, mereka berkemungkinan lebih berpotensi untuk memenangi kerusi, namun banyak juga keputusan sebelum ini nama besar atas tiket payung terjun kecundang dengan calon yang tidak ternama.
Jelas kuasa penentu kemenangan lebih tertumpu kepada tangan pengundi. Kuasa pengundi dianggap mahal bagi menentukan siapa dan parti politik mana yang layak dipilih.
Oleh itu, dalam tempoh berbaki, semua parti politik dan calon perlu berkempen secara berhemah, memberi tawaran melalui manifesto yang boleh dilaksanakan bukan sekadar di atas kertas seperti mana pernah berlaku sebelum ini.
Apa pun strategi politik tidak dapat mengatasi pemilihan pengundi. Oleh itu, pengundi adalah raja bagi menentukan pembentukan kerajaan dan masa depan negara. Pengundi mestilah memenuhi tanggungjawabnya dengan turun mengundi pada 19 November ini, bagi memperbaiki landskap politik negara agar lebih stabil dan gemilang.

Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN