Jangan ulangi pilih calon suka ‘hilang’ - Utusan Malaysia

Jangan ulangi pilih calon suka ‘hilang’

KELUARLAH mengundi dan bersikap jujurlah dalam membuat pilihan. Jangan padamkan pelita jika mahu hidup disinari cahaya. - GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI-HARI berlalu dengan pelbagai kempen dan promosi. Itu memang lumrah pada setiap kali tibanya musim pilihan raya. Kalau tiada kempen di khalayak dan berkunjung ziarah ke sana ke mari, suasana tidak menjadi meriah. Malah, itu bukan musim pilihan raya namanya.

Gerakan berkempen itu perlu supaya ramai tahu tentang visi dan misi perjuangan parti, juga calon yang bertanding. Lalu, terserlahlah semangat demokrasi dan suburnya percambahan pendapat serta pandangan masyarakat tentang ehwal politik tanah air.

Namun, apa pun cara dan pendekatan kempen, kejujuran perlu menjadi paksi utama. Biarpun sering disebut, dalam politik mana ada kejujuran mutlak tetapi yakinlah, perjuangan atas nilai kejujuran memberi natijah terbaik kepada rakyat dan negara. Kesannya nanti membawa impak lebih bermakna, menepati harapan dan pilihan pengundi.

Kejujuran boleh ditelusuri dalam beberapa sudut dan aspek. Seseorang calon yang menawarkan diri bertanding misalnya, perlu jujur mengukur keupayaan diri sebenar-benarnya untuk berkhidmat kepada rakyat apabila terpilih nanti.

Ini termasuk latar belakang kelulusan akademik, pengalaman berpolitik, kemahiran berkomunikasi dan banyak lagi. Dunia politik bukan semudah boleh terjun secara sekelip mata.

Tegasnya, calon yang bertanding bukan sekadar memenuhi kuota parti atau ‘ditaja’ oleh mana-mana pihak atas sebab-sebab tertentu yang tersirat. Ini termasuk percaturan di dalam parti sendiri atau pengaruh dari luar parti. 

Rakyat perlu pandai menilai kehadiran calon-calon yang bertanding sama ada benar-benar mahu memperjuangkan nasib dan kebajikan bangsa dan memelihara kedaulatan agama, atau hanya diperalat oleh pihak-pihak tertentu bagi memancing sokongan terutama golongan muda.

Kejujuran calon perlu juga dilihat pada sejauh mana kesanggupan mereka memberi kecaknaan kepada rakyat di kawasan ditandingi. 

Elak berulang kes-kes di mana ada calon-calon yang sudah dipilih, kemudiannya terus menghilang, mungkin atas sebab tempat tinggalnya di ibu negara atau berada jauh di luar kawasan. Ada juga calon-calon yang suka berpindah kawasan.

Mungkin tidak bersedia menghadapi cemuhan atau penolakan pengundi di kawasan yang pernah dimenangi kerana rekod perkhidmatannya tidak memuaskan.

Awas dengan lidah yang bertutur manis kerana lidah itu juga akan mengeluarkan seribu alasan dan melempar pelbagai hasutan dan kecaman.

Apa yang dimaksudkan ialah ramai yang mudah menabur janji untuk memenuhi permintaan rakyat, namun tindakannya berbeza apabila sudah diberi mandat.

Begitu juga dengan tutur kata berbaur hasutan, seolah-olah dia sahaja yang baik dan pihak lawan langsung tiada unsur kebaikan.

Sering disebut, sebaik-baik cara berkempen ialah menyakinkan umum terhadap keupayaan diri atau parti sendiri, bukan mahu bersandar di atas kelemahan pihak lain.

JEJAKA, DARA

Lebih mudah untuk menilai kejujuran seseorang adalah melalui sikapnya yang suka memburuk-burukkan orang lain. Ini lebih-lebih lagi terhadap sahabat atau rakan terdekat.

Sikapnya yang lain di depan, lain di belakang menggambarkan nilai kejujuran yang amat disangsikan. Kononnya, biasalah dalam politik. Sesetengah ahli politik sanggup bertindak begini. Jadi, pandai-pandailah rakyat ‘membacanya.’

Selain aspek calon, soal kejujuran juga perlu dilihat pada manifesto parti. Isu manifesto sering menjadi tumpuan umum di musim pilihan raya.

Ada manifesto yang dianggap lebih munasabah, bersifat logik dan objektif, sebaliknya ada yang disifatkan sebagai janji bulan dan bintang. 

Justeru, para pengundi diingatkan supaya jangan mudah terpesona dengan janji manifesto yang berlebih-lebihan, bimbang nanti kekecewaan akan berulang.

Digunakan istilah ‘berulang’ kerana rakyat sendiri pernah mengalami janji manifesto yang begitu memberangsangkan, namun penghujungnya berakhir dengan bermacam alasan.

Hari ini menang, esok harga minyak turun. Dan, segala hutang pelajar dengan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) akan dihapus dan banyak lagi janji-janji diberi. Jujurkah dengan janji-janji manifesto yang tidak tertunai? Tentu ramai masih ingat semua ini.

Teringat pada kata kiasan masyarakat. Semasa memikat dara, seorang jejaka sanggup berjanji menyediakan pelbagai kemewahan jika kasihnya diterima.

Jejaka itu sanggup membuat janji ‘tinggi di awan’ sebab dia sendiri sedar bahawa agak mustahil baginya diterima si dara memandangkan dia tiada pekerjaan tetap, berpelajaran tidak seberapa, sedangkan si dara sudah disunting oleh jejaka berjawatan tinggi dan sudah lengkap persediaan mendirikan rumah tangga.

Tidak kurang pentingnya juga, sikap jujur yang perlu diterjemahkan oleh para pengundi. Memilih beralaskan sentimen benci, marah, tidak belago angin dengan seseorang atau sekadar mahu ‘mengubah selera’ tidak menjanjikan kesan kebaikan kepada rakyat dan negara.

Politik adalah sesuatu yang berkaitan dengan pegangan kuasa pemerintahan baik di peringkat negeri atau negara. Kuasa boleh mewarnai kehidupan dan kuasa menentukan survival bangsa, agama dan tanah air atas nama ikhtiar siasah manusia.

Keluarlah mengundi dan bersikap jujurlah dalam membuat pilihan. Jangan padamkan pelita jika mahu hidup disinari cahaya. – UTUSAN ONLINE

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya