Bulan purnama penuh kembali - Utusan Malaysia

Bulan purnama penuh kembali

GELOMBANG yang dibawa oleh Pas bersama PN telah berjaya menumbangkan BN secara total di bumi Serambi Mekah. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FENOMENA bulan purnama penuh yang berlaku pada 1990 kembali melanda Kelantan atau Serambi Mekah apabila Pas menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Keputusan itu menyaksikan sejarah yang dilakar 32 tahun lalu semasa PRU9 menerusi gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) bersama Pas kembali berlaku.

Menariknya PRU15 kali ini, Pas membentuk gandingan baharu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN) telah berjaya menumbangkan ‘dacing’ secara bergaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Gelombang yang dibawa oleh Pas bersama PN iaitu ‘bersih dan stabil’ telah membawa impak cukup besar apabila berjaya ‘memikat’ hati rakyat negeri ini untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) secara total di bumi Serambi Mekah.

REBAHNYA KU LI

Rebahnya jagoan politik terkemuka negara dari BN, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li disifatkan ‘kejutan yang mengejutkan’ dalam arena PRU di negeri ini.

Mana tidaknya, Ku Li yang sudah lebih 10 penggal menjadi Ahli Parlimen Gua Musang dilihat sudah ‘akrab’ dengan penduduk di kawasan tersebut sehingga masih ada dalam kalangan masyarakat Orang Asli tidak dapat menelan kepahitan sebaik sahaja mengetahui veteran politik itu tumbang.

Pada PRU15 itu, Ku Li tewas tipis iaitu 163 undi di tangan muka baharu dari PN yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang, Mohd. Azizi Mohd. Naim.
Walaupun jumlah majoriti itu ‘tipis’, namun kejayaan yang dilakar oleh Mohd. Azizi tidak boleh dipandang enteng kerana dia adalah muka baharu dalam arena politik di negeri ini.

PUNCA BN DITOLAK

Kekalahan BN pada PRU15 turut dipengaruhi oleh calon ‘kitar semula’ dan mengetepikan individu boleh menang selain dakwaan rasuah melibatkan pucuk pimpinan tertinggi parti berkenaan.

Dakwaan itu ada asasnya apabila Parlimen Ketereh yang merupakan kerusi deposit BN selama dua penggal tumbang selepas pucuk kepimpinan tertinggi parti tidak menamakan Tan Sri Annuar Musa sebagai calon.

Hasilnya, BN ditolak teruk apabila calonnya, Marzuani Ardila Ariffin hanya memperoleh 17,435 undi sementara lawannya, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd. Nor meraih 40,542 undi.

Pada masa sama, isu rasuah turut menjadi punca kepada penolakan dacing di negeri ini apabila ada dalam kalangan penyokong tegar BN termasuk pengundi berusia 18 tahun dan saluran tiga serta empat mengambil keputusan untuk memberi undi kepada pihak lawan sebagai tanda protes terhadap parti.

BERLAPANG DADA

Keputusan PRU15 ini wajar direnungi oleh BN jika mereka tidak mahu ‘terkubur’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, tahun hadapan. Oleh itu, BN perlu kembali memenangi hati rakyat dalam tempoh berbaki sebelum PRN negeri dengan menyusun semula strategi dan menimbang calon-calon yang akan diangkat selepas ini.

Jika BN gagal melakukan transformasi ini, berkemungkinan besar mereka akan ‘ditidurkan’ secara total oleh rakyat Kelantan.

PAS, BN JADI PILIHAN

Politik di negeri ini boleh disifatkan berada pada takuk lama apabila rakyat lebih sinonim dengan Pas dan BN sahaja sekali gus memberikan kesukaran gabungan parti lain seperti Pakatan Harapan (PH). Keputusan PRU15 menyaksikan hanya dua calon PH iaitu di Parlimen Kota Bharu dan Kubang Kerian tidak hilang wang deposit.

Justeru, jika PH mahu bertapak di negeri ini, perlu bekerja lebih keras dari sekarang dengan merekrut lebih ramai ahli dan penyokong untuk membantu memenangkan mereka pada masa hadapan.

Jika gagal, PH berkemungkinan tidak menjadi pilihan bagi menggantikan dua parti dominan di negeri ini kerana pemikiran rakyat masih belum dapat menerima kehadiran mereka.

PARTI LEBIH MOLEK

Pola pemikiran pengundi di negeri ini dilihat lebih selesa memilih parti berbanding batang tubuh seseorang calon yang masuk ke gelanggang PRU15. Ia terbukti apabila bekas calon BN pada PRU14 lalu, Datuk Seri Ikmal Hisyam Abdul Aziz yang bertanding menggunakan simbol bulan pada PRU15 menang.

Mengejutkan, Ikmal Hisyam menang dengan undian sebanyak 44,485 manakala calon BN, Mohd. Bakri Mustapa sekadar meraih 9,781 undi. Situasi itu mengatasi undi yang diperoleh semasa bertanding pada PRU14 lalu iaitu 28,152.

Perkara sama turut berlaku di Tumpat apabila Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang bertanding atas tiket Pas pada PRU14 kalah teruk apabila sekadar meraih 30,633 undi selepas menggunakan tiket BN, Sabtu lalu berbanding wakil bulan, Datuk Mumtaz Md. Nawi (65,426 undi).

SUDAH BOLEH BEKERJA

Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat perlu terus bekerja dan tidak boleh berpeluk tubuh. Hal ini kerana rakyat sudah memberi mandat menerusi undi kepada mereka.

Kini tibalah masanya mereka membalas undi yang diberikan oleh rakyat dengan berkhidmat sebaik mungkin. Jangan hanya tunjuk cakna semasa berkempen, sebaliknya bekerjalah untuk rakyat.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kalian; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; khadam pula diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Kor guano?

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×