‘Sorak’ media sosial tak ke peti undi

‘Sorak’ media sosial tak ke peti undi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PENGARUH anak muda dalam menentukan hala tuju sesebuah negara tidak boleh dinafikan. Di Amerika Syarikat misalnya, pergerakan haluan kiri yang didominasi anak muda iaitu Antifa dan Black Lives Matter (BLM), menjadi faktor kekalahan Presiden Donald Trump yang konservatif pada 2020.

Di Asia Barat, revolusi yang menjatuhkan kerajaan sewaktu Arab Spring, juga merupakan gerakan massa dimonopoli anak muda yang termakan umpan propaganda pihak tertentu. Kumpulan inilah yang mengangkat senjata mencetuskan peperangan saudara atas nama perubahan rejim.

Malah, jika ditelusuri sejarah peradaban dunia, anak muda dalam kumpulan judeo-masonic ‘Turki Muda’ merupakan kumpulan yang bertanggungjawab meletakkan titik noktah kepada empayar Islam terakhir, Uthmaniyah dengan menumbangkan Khalifahnya, Sultan Abdul Hamid II.

Bagaimana keadaan di Malaysia? Wartawan Utusan Malaysia, FAHMI FAIZ menemu bual empat tokoh kepimpinan muda, iaitu Ketua Pemuda UMNO, DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI; Pengarah Strategik Komunikasi PKR, FAHMI FADZIL; Ketua Pemuda DAP (DAPSY), DR. KELVIN YII LEE dan Ketua Pemuda Pas, AHMAD FADHLI SHAARI untuk mendengar pandangan masing-masing.

——————————————————————————————————————————————————————-

UTUSAN: Bagaimana PKR melihat anak muda sebagai segmen penting dalam menentukan hala tuju negara?
FAHMI: Asasnya, seseorang warganegara berusia 18 tahun ke atas tidak semestinya minat kepada parti politik, tapi seharusnya celik kepada proses politik. Juga, harus celik kepada konsep demokrasi. Itu termasuk hak bersuara dan menyampaikan pandangan serta hak untuk membuat pilihan.

Selepas kita faham tugas, tanggungjawab sebagai warganegara, jika kita berminat menceburi parti politik atau menjadi sukarelawan, itu langkah kedua. Jadi, saya harap lebih daripada sekadar anak muda keluar mengundi, tapi mereka mula celik proses politik dalam erti demokrasi sebenar.

Macam mana PKR tarik anak muda?
Kita ada sayap-sayap anak muda. Malah Bagi PKR, yang menariknya ialah pimpinan utama dalam parti kami rata-rata usianya sekitar 40-an. Rafizi Ramli, 45. (Datuk Seri) Amirudin Shari, 42. Nurul Izzah Anwar, 42. Saya, 41. Nik Nazmi Nik Ahmad, 41 dan Chang Lih Kang, 41. Parti mana yang ada pimpinan tertinggi purata usianya awal 40-an? Kecuali parti MUDA (Ikatan Demokratik Malaysia) sebab memang betul-betul freshies.

Adakah media sosial memainkan peranan?
Media sosial memainkan peranan, tapi saya rasa kadang-kadang kita salah faham, menang sorak kampung tergadai. Hanya sebab orang bersorak di media sosial, tak bererti mereka akan beratur keluar mengundi.

Jadi, akhirnya media sosial, ceramah dan pergi bertemu di kedai kopi bukan jaminan yang akan menangkan calon parti. Sebaliknya, pengundi yang beratur untuk mengundi. Jadi bagi saya, media sosial adalah salah satu saluran mendapatkan maklumat.

Macam mana PKR tarik pengundi supaya pergi ke peti undi?
Kami ada strategi, tak perlu saya ulas kepada media, ini lebih kurang resipi rahsialah. Semua parti ada cara tersendiri. Tapi kami tak menggunakan apa-apa cara tak halal, kami tak guna politik wang, tak terlibat dengan perkara sebegitu dan kami tiada duit pun.

Berapa ramai anak muda akan keluar mengundi?
Hampir tujuh juta pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik termasuk yang berusia 18 tahun ke atas. Saya harap kalau trend nasional, peratusan keluar mengundi anak muda ini tinggi.

——————————————————————————————————————————————————————-

UTUSAN: Pentingkah undi anak muda sebagai penentu hala tuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?
ASYRAF: Sudah pastinya undi anak muda sangat penting dalam menentukan bukan sahaja hala tuju pilihan raya, tetapi hala tuju negara secara keseluruhannya. Lebih kurang 10.8 juta pengundi anak muda (18-40 tahun) merangkumi 51 peratus daripada jumlah keseluruhan 21 juta pengundi akan menentukan parti mana bakal memimpin negara ini selepas hari pengundian nanti.

Sejauh mana UMNO beri tumpuan untuk menarik sokongan anak muda berpolitik seterusnya menyokong parti?
Selain Pemuda yang sentiasa meneruskan perjuangan UMNO yakni tradisi membela dan menjadi jurubicara rakyat dalam pelbagai isu, Pemuda meneruskan strategi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan mendampingi anak muda melalui cawangan-cawangan.

Apa kaedah dibuat?
Setiap cawangan diberikan tanggungjawab untuk bukan sahaja mengenal pasti anak-anak muda di lokaliti-lokalit dalam cawangan tetapi juga mendampingi mereka berasaskan kecenderungan seperti sukan, e-sukan, riadah dan pelbagai lagi.

Macam mana pula UMNO tarik sokongan mahasiswa?
Selain itu meman­faatkan beberapa platform di bawah Pemuda seperti UMNO Siswa untuk fokus kepada pengundi dalam kalangan mahasiswa; Putera UMNO mem­fokuskan pengundi berumur 18 hingga 25 tahun; BN Youth Volunteer memfokuskan pengundi muda profesional dan Sukarelawan Sabil untuk bersiap siaga membantu mangsa banjir.

Semua jentera Pemuda ini akan memastikan setiap anak muda di bawah jagaan dan pemantauan mereka keluar pada hari mengundi nanti.

Berkesankah?
Pendekatan ini ternyata berkesan dalam PRN Johor apabila semua saluran pengundi muda dimenangi Barisan Nasional (BN) kecuali dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

——————————————————————————————————————————————————————-

UTUSAN: Adakah undi anak muda penting?
KELVIN: Saya rasa undi anak muda sangat penting kerana kalau kita lihat kepada jumlah pengundi yang kurang dari umur 30 tahun, ia merangkumi hampir satu pertiga daripada jumlah undi sedia ada. Jadi, undi dan suara mereka memang akan menentukan landasan dan hala tuju negara kita.

Sejauh mana DAP mendekati kumpulan anak muda?
Memang sejak dahulu lagi kita sudah buat beberapa program untuk bersemuka dengan anak muda. Sama ada secara fizikal atau dalam talian bagi mendidik dan memperkasa anak muda tentang proses demokrasi, pilihan raya dan sebagainya.

Masa kempen kali ini, memang kita akan mengeluarkan bahan bagi memastikan anak muda memahami dasar yang akan dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH). Kita mahu memberikan solusi kepada isu yang dekat dengan anak muda.

Apa isu-isu itu?
Pertama, peluang pekerjaan dan pekerjaan berkualiti. Kita tahu sekarang anak muda susah mencari pekerjaan, atau kalau dapat kerja tapi tak sepadan dengan taraf pendidikan. Kedua, isu rumah mampu milik.

Ketiga, isu pendidikan. Banyak anak muda yang mahu ke universiti dan mahukan peluang untuk itu. Contohnya, untuk mendapatkan bantuan biasiswa dan sebagainya. Ini untuk mendapatkan pendidikan lebih baik.

Keempat, isu alam sekitar. Sebab di peringkat anak muda, jika kita tak menjaga alam sekitar dan perubahan iklim, kesannya sangat buruk. Pihak yang akan menerima kesannya adalah anak muda sebab 30 dan 40 tahun selepas ini, siapa yang akan mewarisi bumi ini? Anak muda juga.

Daripada satu pertiga anak muda berbanding semua pengundi, berapa peratus DAP sasarkan keluar mengundi?
Memang saya berharap, sasaran kita mahu 100 peratus undi. Tapi memang tak akan dapat. Saya tak boleh menjangkakkan berapa peratus yang akan keluar, tapi saya menyeru dan mendorong anak muda untuk keluar mengundi.

Macam mana kaedah libat urus DAP dengan anak muda?
Kami banyak buat program untuk mendekati mereka. Kita mendengar aspirasi mereka. Kita tak hanya berceramah kepada mereka, tapi kita nak beritahu mereka apa yang perlu dilakukan. Kita juga nak mendengar suara hati mereka.

Apa strategi libat urus?
Kita berikan peluang kepada anak muda untuk menyuarakan impian dan tuntutan mereka, sebab kita nak melibatkan mereka dalam proses membuat dasar. Apabila mereka memberikan pendapat seperti dalam empat perkara yang saya nyatakan, kita tanya mereka. Apa aspirasi mereka? Apa impian dalam hati mereka? Apa isu yang anak muda mahu kita perjuangkan?

Ini satu proses di mana kita melibatkan semua orang. Kita dengar, kita ambil pendapat dan kita terjemahkan dalam bentuk manifesto anak muda berdasarkan input yang telah diterima daripada program jelajah kami.

——————————————————————————————————————————————————————-

UTUSAN: bagaimana Pas melihat kepentingan anak muda dalam menentukan hala tuju politik negara?
AHMAD FADHLI: Saya berpendapat, penglibatan anak muda dalam arena politik negara semakin meningkat pada waktu ini dan ia merupakan satu perkara positif serta perlu dikembangkan dengan lebih meluas lagi.

Kita lihat perkembangan media sosial yang semakin pantas dalam menjadi platform menyuarakan pendapat, golongan muda adalah paling cakna dan ambil peduli tentang situasi isu semasa. Mereka terdedah kepada pelbagai berita dan isu tanpa sekatan masa berbanding zaman media bercetak yang mana ketika itu kebanyakan berita dikawal dan direncanakan oleh pihak pemerintah.

Bahkan, majoriti daripada golongan muda sangat benci kepada elemen rasuah dan penyelewengan yang berlaku di negara kita melalui komen dan pandangan yang dilontarkan oleh mereka di media sosial.

Bagaimana proses libat urus Pas dengan anak muda?
Pertama, kami di Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mempunyai pelbagai jabatan atau lajnah yang berfungsi mendekati anak muda serta banyak aktiviti sepanjang tahun.

Contohnya, kami mempunyai Jabatan Amal yang terdiri daripada anak muda yang terlibat dengan pelbagai aktiviti fizikal melibatkan usaha operasi bantuan kepada rakyat diduga dengan musibah bencana alam seperti banjir. Kami juga mengadakan program lapangan untuk berjumpa dan berdiskusi dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan sisi pandangan mereka dalam pembinaan negara yang diimpikan oleh anak muda. Sebagai contoh, pada 2018, Sekretariat Pemuda Gagasan Sejahtera yang dipimpin oleh Pas menganjurkan program DIALOGS 2018.

DPPM mempunyai visi dan misi agar kami tidak berada di kayangan semata-mata, namun kami seharusnya berdiri bersama rakyat terutama anak muda bagi menyelesaikan permasalahan yang banyak di negara kita pada waktu ini.

Parti lain sangat agresif mendekati anak muda. Bagaimana pula Pas?
Saya berpendapat, tidak pelik kalau parti lain menjalankan kempen secara agresif bagi menarik minat anak muda ke parti mereka. Kami di Pas lebih berminat menarik minat anak muda yang bukan sahaja ramai bilangannya tapi penyertaan mereka haruslah disertai dengan tekad bahawa perjuangan ini bukan sekadar ke arah kemenangan bersiasah atau berpolitik. Namun, ia juga harus menyumbang kepada membina keperibadian jati diri Muslim yang patriotik kepada negara dan tahap ibadah yang tinggi terhadap Allah SWT.

Kami di DPPM masih menerima penyertaan secara beramai-ramai sehingga kini tanpa melakukan usaha politik yang membelakangkan nilai moral dan integriti. Saya ingin memberi contoh, Dewan Pemuda Pas Sabah menyerahkan borang permohonan keahlian Pas sebanyak 500 orang beberapa hari lalu sebagai tanda perjuangan Pas masih relevan pada waktu ini.

Apa yang penting, kami berharap penyertaan anak muda dinilai dari segi kualiti mereka yang menyertai, bukan sekadar bilangan kuantiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya