BARU-BARU ini, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein menyarankan individu yang bakal bersara dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM900,000 ke RM1 juta.
Beliau menegaskan, jumlah caruman setinggi nilai itu bertujuan menjamin pesara dapat hidup selesa dan aman selepas bersara daripada kerja pada usia 60 tahun nanti.
Warganegara mungkin terkejut dengan jumlah caruman sebanyak itu untuk bersara. Namun, ia sebenarnya bukan perkara baharu memandangkan nilai ringgit kita sentiasa menyusut mengikut masa.
Dalam kajian kewangan, terdapat ilmu tentang nilai masa wang (time value for money). Sebagai contoh, sepinggan nasi lemak berharga RM5 dengan andaian kadar inflasi semasa pada empat peratus, maka selepas tiga tahun harganya akan melonjak kepada RM5.62 (RM5 x 1.04 x 1.04 x 1.04).
Sekiranya, kadar kenaikan harga nasi lemak ialah lapan peratus setahun ekoran kadar inflasi pasaran yang tidak terkawal, maka selepas empat tahun, harga sepinggan nasi lemak akan menjadi RM6.80.
Kini, kebanyakan negara di dunia sedang dilanda masalah inflasi yang serius. Kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) ialah peratus sekarang dan sudah berlanjutan untuk satu ketika yang agak lama.
Masalah inflasi di negara-negara Eropah juga amat membimbangkan. Harga petrol di United Kingdom (UK) mencatatkan rekod tertinggi dalam 10 tahun kebelakangan, seterusnya mendorong kepada inflasi terburuk di negara itu dalam beberapa tahun.
Ekoran tercetusnya perang Russia-Ukraine, negara-negara Barat mengenakan sekatan import ke atas bahan api dari Russia. Sekatan ini mengakibatkan kenaikan harga bahan api dan bijirin di pasaran dunia.
Oleh itu, tidak sukar untuk kita memahami kesungguhan Rizab Persekutuan AS yang beberapa kali menaikkan kadar faedah untuk memerangi masalah inflasi di negara tersebut.
Ahli ekonomi percaya apabila pinjaman wang menjadi mahal di pasaran kewangan, pengguna akan tertekan dan kurang berbelanja. Apabila perbelanjaan menurun, permintaan agregat akan jatuh dan akhirnya harga barangan harian kembali stabil.
Kenaikan kadar faedah juga membawa kesan negatif. Kita terpaksa membayar ansuran rumah dan kereta dalam jumlah lebih tinggi berikutan pihak bank mengenakan kadar pinjaman yang tinggi.
Sebaliknya, warga emas yang bergantung kepada pendapatan faedah daripada simpanan tetap di bank juga risau pengenalan kadar bunga rendah kerana bayaran bunga yang diterima oleh mereka akan menjadi sedikit. Sekiranya inflasi berlaku serentak, maka kehidupan golongan ini akan terus terhimpit.
PERATURAN 72
Faktor masa sentiasa mempengaruhi kuasa beli mata wang atau nilai mata wang. Terdapat Peraturan 72 dalam ilmu kewangan yang mana kita dapat menganggarkan tempoh wang pelaburan untuk menjadi dua kali ganda.
Formulanya begini, andaikan kadar inflasi ialah lapan peratus, maka masa harga melambung satu kali ganda bersamaan dengan sembilan tahun (72 bahagi lapan peratus).
Kembali kepada contoh harga nasi lemak tadi, dengan kadar kenaikan harga tahunan sebanyak lapan peratus, tambahan kenaikan harga sepinggan nasi lemak ialah 40 sen. Akan tetapi selepas sembilan tahun, ia akan menjadi RM10, iaitu satu kali ganda dan seterusnya RM20 selepas 18 tahun.
Sepanjang 69 tahun lalu (ditubuhkan pada 1951), KWSP pada puratanya berjaya membayar kadar pulangan (dividen) sebanyak enam peratus ke atas baki caruman ahli-ahlinya.
Dengan andaian setiap pencarum mempunyai baki caruman sebanyak RM1 juta dalam KWSP, apabila dia mencapai usia persaraan, maka dia akan menerima pulangan sebanyak RM60,000 setiap tahun. Dengan kata lain, pendapatan bulanan pencarum ialah RM5,000.
Oleh demikian, setiap warganegara perlu mempunyai simpanan mencukupi dalam KWSP atau bank yang menjanjikan kadar pulangan yang mampu mengatasi kadar inflasi semasa. Ini penting supaya kita mempunyai duit yang secukupnya untuk memelihara taraf hidup yang sedia ada.
Kita bersyukur, sepanjang 60 tahun lalu, kadar inflasi di negara ini terkawal pada paras tiga peratus, maka keadaan hidup masyarakat umum tidak terlalu tertekan.
Akan tetapi, kini seluruh dunia sedang memasuki era berpisah dengan kadar inflasi rendah ekoran pelbagai masalah sekatan ekonomi dan konflik geopolitik. Maka, rakyat perlu menabung dengan bijak bermula dari awal usia agar mempunyai simpanan mencukupi pada waktu tua kelak.
Tambahan lagi, kita sedang menghala ke arah masyarakat warga tua seperti negara-negara lain kerana penjagaan kesihatan dan kemajuan perubatan yang lebih baik.
Rakyat Malaysia kini lebih panjang hayatnya, maka kita sangat terdesak agar mempunyai simpanan mencukupi untuk terus menikmati kehidupan persaraan yang memuaskan.
Skim KWSP sememangnya bertujuan membantu kehidupan warga emas pada hari-hari tua. Justeru, kita diseru agar tidak mengeluarkan simpanan caruman sewenang-wenangnya.
Dengan berpandukan Peraturan 72, cuba bayangkan RM145 bilion yang telah dikeluarkan lebih awal oleh pencarum menjelang pandemik Covid-19. Jikalau amaun ini dibiarkan ditambah nilai untuk 12 tahun lagi dalam akaun KWSP, maka ia akan menjadi RM290 bilion. Amaun itu lebih menguntungkan para pencarum.
Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Caruman yang mantap dalam akaun KWSP akan menjamin masa depan pencarum pada waktu tua.
Kefahaman tentang kuasa nilai wang pada masa hadapan juga dapat membantu pencarum menambah kekayaan mereka untuk hari tua. – UTUSAN
PENULIS ialah siswazah Program Sarjana Media & Komunikasi di Universiti Malaya (UM).










