Minta, terima suapan serta akibatnya - Utusan Malaysia

Minta, terima suapan serta akibatnya

Di Malaysia bukan sahaja Akta SPRM 2009 menyatakan kesalahan-kesalahan rasuah tetapi di bawah Kanun Keseksaan juga terkandung kesalahan itu. – MINGGUAN/ FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apakah definisi suapan? Di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM) tidak memberikan definisi suapan secara jelas tetapi maksud suapan boleh ditafsirkan seperti di bawah ini:
Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang kerana melakukan sesuatu perbuatan berkaitan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah dan diskaun.
Di bawah Seksyen 2 hanya menyatakan ‘suapan” bermaksud perkara seperti berikut: Wang, derma pinjaman, fi, hadiah cagaran berharga kepentingan harta atau apa-apa manfaat, juga termasuk jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak atau perkhidmatan, bukan itu saja malah termasuk mana-mana perbuatan menahan daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang dan sebagainya.
Di Malaysia bukan sahaja Akta SPRM 2009 menyatakan kesalahan rasuah tetapi di bawah Kanun Keseksaan juga terkandung kesalahan itu.
Kesalahan rasuah di bawah Kanun Keseksaan lebih kepada kesalahan dilakukan oleh penjawat awam.
Seksyen 161 adalah kesalahan penjawat awam menerima imbuhan dalam menjalankan tugas rasmi.
 Seksyen 162 menerima suapan bagi tujuan mempe­ngaruhi penjawat awam.
 Seksyen 163 mengambil suapan bagi tujuan meng­gunakan pengaruh peribadi terhadap penjawat awam.
 Seksyen 165, menerima barangan berharga tanpa apa-apa balasan berkaitan transaksi dan urusan berkaitan penjawat awam.
Hukuman yang boleh dikenakan adalah denda dan penjara namun ia tidak sekeras hukuman kesalahan di bawah Akta SPRM 2009. Kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dapat dilihat di bawah Seksyen 16, 17, 18 dan 23. Kesalahan di bawah Seksyen 16 dan 17 (a) adalah berkaitan meminta dan juga menerima rasuah.
Penerimaan rasuah tidak semestinya meminta atau menerima secara sendiri malah penerimaan juga salah jika melalui orang tengah. Di dalam kes seperti ini perlu ada pembuktian ada tindakan serta usaha daripada tertuduh untuk mendapatkan suapan secara langsung atau tidak langsung.
Persoalan selalu timbul kenapa kadang kala si pemberi rasuah tidak dituduh bersama-sama yang menerima rasuah?
Pemberi rasuah boleh dibahagikan dua kategori:
Sengaja menawarkan dan memberi rasuah
Dipaksa memberi rasuah
Di dalam satu kes di India, Bhupinder Singh Patel lawan CBI yang mana perlindungan untuk si pemberi rasuah hanya pada mereka yang dipaksa atau diugut untuk memberi rasuah. Seseorang yang diugut atau dipaksa memberikan rasuah seharusnya diberikan perlindungan tetapi tiada perlindungan harus diberikan kepada yang secara sukarela memberikan rasuah.
Walaupun konsep ini secara terang dan bertulis tidak terdapat di mana-mana undang-undang di Malaysia tetapi secara tidak langsung ia diamalkan di Malaysia dalam kebanyakan kes terutamanya di dalam kes-kes perangkap.
Kesalahan di bawah Seksyen 18 adalah berkaitan tuntutan palsu terhadap principal atau majikannya. Contohnya: Pada September 2022 di Kuala Lumpur, seorang pensyarah universiti didakwa di mahkamah sesyen atas sembilan pertuduhan membuat tuntutan palsu, membabitkan bayaran sewa kenderaan dan pembelian peralatan geologi berjumlah RM12,488. Lelaki itu didakwa memperdayakan Jabatan Bendahari universiti dengan menggunakan tujuh tuntutan perjalanan palsu berkenaan bayaran sewa tiga kenderaan.
Kesalahan di bawah Seksyen 23 pula adalah menggunakan jawatan dan kedudukan sebagai penjawat awam untuk suapan bagi diri atau saudara. Maksud saudara meliputi berikut:
 isteri atau suami;
 adik atau abang atau kakak orang itu;
 adik atau abang atau kakak isteri atau suami orang itu;
 orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke atas atau ke bawah dengan orang itu;
 orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke atas atau ke bawah dengan isteri atau suami orang itu;
 orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke bawah dengan orang yang disebut dalam perenggan (b);
 bapa saudara, emak saudara atau sepupu orang itu; atau menantu orang itu;
Contohnya pada Ogos 2020 di Terengganu, seorang pegawai bomba mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen atas dua pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan dengan mencadangkan sebutharga dua syarikat milik ahli keluarga untuk kerja-kerja pembekalan.
Kesalahan di bawah Seksyen 25(1) dan (2) pula adalah berkaitan gagal melaporkan pemberian, janji atau tawaran rasuah dan Seksyen 25(3) pula gagal melaporkan permintaan atau memperoleh suapan.
Contohnya, pada Mac 2021, bekas pekerja sebuah syarikat telekomunikasi mengaku bersalah di mahkamah sesyen atas lima pertuduhan gagal melaporkan suapan berjumlah RM15,000 yang diberikan kepadanya kepada SPRM.
Bagi kelima-lima pertuduhan itu, dia didakwa diberikan suapan RM15,000 daripada wakil syarikat melalui akaun bank milik isterinya, kerana memberikan bilangan aduan pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi kepada syarikat terbabit. Dia didakwa melakukan kesalahan itu yang melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 untuk melaporkan kesalahan pemberian wang itu.
Kesalahan bagi Seksyen 16,17,18 dan 23 menetapkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 atau 5 kali ganda jumlah suapan mengikut mana lebih tinggi (Seksyen 24 Akta SPRM 2009).
Di atas adalah kesalahan-kesalahan yang sering digunakan SPRM walaupun ada beberapa kesalahan lain termaktub di dalam akta itu.
Akta SPRM 2009 ini mempunyai ciri-ciri khas yang tidak banyak di dalam akta lain. Contohnya,
 Kuasa untuk memintas perhubungan telekomunikasi (Seksyen 43)
 Peguambela dan Peguamcara boleh di kehendaki mendedahkan maklumat(Seksyen 46)
 Keterangan rakan sejenayah dan keterangan ajen provokasi boleh diterima walaupun tanpa apa apa keterangan sokongan.(Seksyen 52) serta penggunaan wang perangkap.
 Perlindungan pemberi maklumat (Seksyen 67)
 Sebelum perbicaraan perlu tertuduh menyerahkan satu penyataaan pembelaan (Seksyen 62)
 Andaian di bawah Seksyen 50 yang mana sekiranya dibuktikan oleh pendakwaan andaian maka tertuduh perlu menjawab andaian tersebut.
Demikian adalah garis panduan ringkas bagi kesalahan rasuah di bawah undang-undang sedia ada.
Pengetahuan berkaitan perkara ini adalah sangat perlu bagi masyarakat faham dan tidak terjebak di dalam kegiatan rasuah. Pencegahan adalah lebih baik daripada penguatkuasaan.

Datuk Syed Azimal Syed Abu Bakar ialah Pengamal undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN