JANGAN terlampau seronok melihat penderitaan insan lain kerana setiap daripada kita ada hitam putih garisan takdirnya. Sewajarnya kita bermuhasabah diri dan bersyukur dengan nikmat kebebasan yang dikecapi selama ini.
Kurang seminggu lagi kita akan menyambut ulang tahun Hari Malaysia ke-59 pada 16 September ini. Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya mempunyai pentadbiran yang mantap sejak kita mengecap kemerdekaan.
Walaupun siapa yang memimpin, sewajarnya kita mengenang jasa pemimpin dahulu yang menumpahkan seluruh tenaga dan minda untuk memastikan ekonomi terus mantap. Hari ini kita hidup dalam kemodenan hingga sensitiviti antara satu golongan dengan golongan lain sering diusik di media sosial.
Alangkah elok jika media sosial digunakan untuk mengeratkan perpaduan dan bukannya menjadi medan mengkritik pihak yang tidak disukai seperti kumbang terputus tali.
Hari ini media sosial seperti medan perang sebenar disebabkan masing-masing ingin menegakkan benang basah tanpa segan silu.
Berpijaklah di bumi nyata, bahawa sesungguhnya negara kita ini kecil sahaja, yang mana pusing kanan pusing kiri muka yang kita kritik pasti akan ditemui.
Ingatlah keamanan adalah nyata dan fitnah demi kuasa dan harta akan merosakkan agama, bangsa dan negara. Pesanan pujangga harus diingat, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Patuhi undang-undang dan pelihara kesopanan dan kesusilaan. Berpijak dengan penuh kesedaran bahawa ini negara kita yang perlu dipertahankan kebebasan, keamanan dan kemerdekaannya.
Cuma jangan sampai terpijak jerangkap samar fitnah dan jangan sesuka hati memijak pokok bunga bernilai ratusan ribu ringgit. Itu memang salah. – UTUSAN