Kekuatan luar bandar melalui kuasa belia - Utusan Malaysia

Kekuatan luar bandar melalui kuasa belia

Belia luar bandar memerlukan sektor-sektor dan inisiatif baharu bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita harus akui dunia pada hari ini semakin ‘muda’. Di Malaysia sahaja, hampir 41 populasinya berumur bawah 25 tahun. Sebilangan besarnya berasal atau secara relatifnya membesar di kawasan luar bandar.
Maka, membangunkan potensi golongan belia amat penting bagi pembangunan dan kesejahteraan luar bandar. Sebab itu, Kerajaan Keluarga Malaysia lebih fokus terhadap pembangunan potensi belia luar bandar.
Terdapat tiga paradigma utama dalam pembangunan belia luar bandar. Paradigma pertama adalah responsif. Dalam mengemudi konteks semasa dunia yang saling terangkum, masyarakat luar bandar terutama sekali belia amat perlukan penguasaan kemahiran yang pelbagai serta rentas bidang, seperti ilmu matematik, sains serta kemahiran kognitif dan bukan kognitif. Kemahiran ini bakal memperkasa kebolehan diri masyarakat bagi mendepani cabaran sosio-ekonomi yang unik di zaman ini. Maka, penting bagi belia luar bandar menguasainya menerusi pelbagai program peningkatan kemahiran dan peluang pendidikan agar sifat responsif mereka menjadi lebih terarah dan tidak sekadar ‘responsif’ melulu.
Paradigma kedua adalah kesalinghubungan, bukan sahaja dari aspek digital, tetapi juga dari aspek fizikal.
Seperti contoh, bagi memboleh pembangunan potensi belia luar bandar dilakukan dengan lebih holistik, akses kepada infrastruktur fizikal seperti jalan raya amat perlu selain teknologi digital. Kesalinghubungan aspek fizikal dan digital tidak patut dipisahkan dalam konteks pembangunan belia luar bandar jika mahu menjadikan ‘luar bandar, luar biasa’.
Seperti di China, kejayaan Taobao Village dalam melibatkan lebih 90 peratus penduduk kampung itu dalam perniagaan atas talian adalah kejayaan yang boleh ditiru. Keupayaan menjual produk-produk ke pasaran domestik dan antarabangsa boleh direalisasikan kerana wujudnya kesalinghubungan infrastruktur fizikal dan digital yang lengkap.
Paradigma ketiga pula adalah ‘Sense of Agency’ atau rasa kepunyaan. Bagi belia luar bandar, cabaran utama adalah menaikkan taraf ekonomi tanpa bergantung kepada sektor tradisional seperti pertanian dan perladangan. Kebergantungan kepada kedua-dua sektor itu, antara lain adalah penyebab utama penghijrahan pesat belia luar bandar ke bandar.
Belia luar bandar memerlukan sektor-sektor dan inisiatif baharu bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka, seperti ekonomi digital atau pertanian moden.
Adalah lebih ideal jika belia luar bandar dapat terus kekal di luar bandar dan mengusahakan sektor ekonomi baharu dan mencurahkan bakat dan tenaga untuk perubahan di luar bandar. Ia sejajar dengan semangat ‘belia’ itu sendiri sebagai agen perubahan.
Bercakap mengenai sektor ekonomi dan perniagaan, tidak dapat tidak ia berkait rapat dengan modal teroka yang mungkin sering menjadi halangan besar kepada belia yang berhasrat menceburinya.
Di sini suka saya berkongsi maklumat iaitu di peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) khususnya di Majlis Amanah Rakyat (MARA) misalnya mempunyai pelbagai kemudahan pembiayaan untuk dimanfaatkan.
Ramai yang sudah dibantu MARA dan menjadi usahawan contoh. Dalam hal ini, belia perlu berani meneroka peluang tersedia. Carilah mentor dan belajar untuk mengembangkan idea perniagaan yang hendak dice­buri. Saya suka mengambil ins­pirasi daripada gerakan Saemaul Undong di Korea. Se­mangat ditanamkan ke da­lam nurani rakyat Korea melalui gerakan ini berkesan merekayasa masyarakat men­jadi terhebat dan dalam masa kurang dari 50 tahun menjadi kuasa besar ekonomi dunia.
Kesenjangan Peluang
Melihat dari sudut lebih jauh, globalisasi dan digitalisasi telah memaksa belia luar bandar untuk mencari peluang baharu bagi membina kehidupan lebih baik daripada ibu bapa mereka. Ditambah pula dengan arus digitalisasi, lambakan informasi menjadikan kehendak mereka melebihi peluang dan ruang yang wujud di luar bandar.
Oleh itu, dasar pembangunan luar bandar haruslah mengurus dilema antara kehendak dan keinginan belia luar bandar dengan peluang dan ruang yang ada untuk mereka memajukan diri sendiri.
Bagi menjayakan hasrat itu, polisi yang lebih inklusif harus dilaksanakan. Antara langkah yang boleh diambil:
Pertama, masa depan belia luar bandar memerlukan tujahan yang serius dengan bersandarkan data terkini.
Ia harus mengambil kira perubahan semasa seperti perubahan demografi dan digital serta perubahan sosial belia luar bandar.
Kedua, kolaborasi utuh antara pelbagai pemegang taruh amat diperlukan bagi memastikan seluruh ekosistem sosio-ekonomi luar bandar dapat diubah dan mesra kepada aspirasi belia.

Rintis Transformasi
KPLB sedang mengusahakan transformasi luar bandar menerusi sektor pekerjaan. Sebagai contoh, dalam sektor tradisional seperti pertanian, kebergantungan kepada manual labour atau buruh kasar, terutama sekali buruh asing sedang giat dikurangkan. Selain itu, menerusi pelaburan terarah terhadap pertanian moden, belia luar bandar akan mendapat laba daripada lebih banyak peluang pekerjaan yang diwujudkan dalam pelbagai kapasiti untuk mengisi pelbagai kekosongan rantaian bekalan sektor itu.
Untuk masa mendatang, KPLB akan memberi perhatian kepada trend masa hadapan atau future trends bagi memastikan setiap dasar berkenaan luar bandar juga merupakan dasar probelia luar bandar.
Belia Luar Bandar, Belia Terhebat; Setiap cabaran yang wujud di kawasan luar bandar tidak akan menghalang pemerkasaan belia luar bandar.
Itu adalah premis utama atau ‘the main premise’ kita. Setiap cabaran akan turut datang bersama peluang bagi pembuat dasar melakukan yang terbaik kepada pemegang taruhnya yang pelbagai.
Dalam fasa pasca pandemik Covid-19, kita melihat kecenderungan belia Malaysia yang dahulunya berhijrah ke bandar untuk kembali ke luar bandar. Maka, trend ini harus disambut dengan memastikan pelbagai peluang ekonomi dalam sektor baharu dapat disuburkan. Belia luar bandar harus kekal di luar bandar dan menerobos pelbagai cabaran semasa agar the next big growth bagi Malaysia dipacu oleh luar bandar.
Bagi memastikan dasar yang dilaksanakan terarah dan berkesan, sinergi antara pelbagai kementerian seperti Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan lain-lain lagi akan digembleng.
Tuntasnya, saya percaya dan yakin, belia luar bandar adalah kunci yang dapat membongkar kekuatan terpendam luar bandar Malaysia. Belia luar bandarlah katalis utama kepada luar bandar yang luar biasa.

Datuk Seri Mahdzir Khalid adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya