Jangan sampai khat hilang di dunia

Jangan sampai khat hilang di dunia

YUSUF LIU BAOJUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

“KALAU saya tiada pun, sekurang-kurangnya ada sumbangan kepada anak bangsa dan masa depan negara.”

Itu luahan wakil Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), YUSUF LIU BAOJUN ketika ditanya mengapa beliau begitu berminat mengkaji dan menulis tentang sejarah Cina Muslim Melaka dan seni kaligrafi (khat).

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, WAN REDZA WAN SHARMADI di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Yusuf berharap keindahan seni khat dan sejarah negara perlu sentiasa dimartabatkan sebagai tanda cinta kita pada tanah air.

Yusuf telah menulis 32 buku, menghasilkan hampir 20 seni khat dan menerima empat anugerah buku.

Beliau berharap Pameran Seni Khat @ Sejarah Cina Muslim Melaka yang sedang berlangsung sehingga 27 Oktober ini di Muzium DMDI, Melaka akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mencintai seni khat yang begitu indah.

UTUSAN: Bagaimana boleh terlibat dalam bidang ini?
YUSUF: Sebenarnya sudah lama saya belajar seni khat. Kira-kira 20 tahun mendalami ilmu seni ini tetapi tiada keyakinan untuk menghasilkan karya sendiri.

Saya menyedari seni khat yang terdiri daripada khat Arab, Jawi, Uighur, Cina dan Jepun mempunyai nilai dan potensi sangat besar sebagai koleksi, pendidikan, kreativiti, seni hiasan dalaman sama ada di kediaman atau surau mahupun masjid.

Sejak 35 tahun dahulu, saya mendalami al-Quran. Saya belajar maksud dan membaca kitab suci tersebut. Mana-mana ayat yang saya suka, saya akan tulis khat di dalam buku nota sebagai pengajaran dan pedoman.

Selalunya kata-kata ini amat menyentuh hati dan membuatkan saya berasa dekat dengan Allah SWT. Jadi, saya lihat tulisan khat dapat mempromosikan kecantikan ayat al-Quran melalui satu seni sangat menarik dan indah. Saya selalu berasa gembira setiap kali membaca al-Quran. Jadi, saya menulis secara khat petikan yang mempunyai maksud menarik.

Saya mula menulis khat semasa pandemik Covid-19, iaitu pada 2020. Ketika itu tiada buat apa, jadi saya gunakan masa melatih diri menulis khat. Antara petikan yang saya tulis dalam Jawi adalah peribahasa, enggang sama enggang, pipit sama pipit. Ada juga kata-kata motivasi dan hikmah.

Saya boleh tulis khat dalam lima bahasa iaitu Cina, Arab, Jepun, Jawi, Uighur tetapi yang paling saya suka adalah Arab dan Cina.

Perbezaan seni khat anda dengan khat sedia ada?
Jika kita lihat, banyak seni khat hari ini menyalin daripada Arab tetapi bukan itu yang kita mahukan. Kita mahu cipta identiti sendiri. Kita tidak mahu seni khat negara sama seperti Arab, Indonesia ataupun Brunei. Negara-negara ini semua pattern (corak) sama.

Ia perlu ada perbezaan dan ini akan memberi nilai tambah terhadap seni khat negara. Jika negara mampu melahirkan anak bangsa yang kreatif, ia sudah menunjukkan tamadun negara ini juga tinggi. Kita perlu gunakan kesenian ini sebagai manifestasi tamadun Islam dengan indentiti tersendiri yang unik.

Boleh ceritakan tentang Pameran Seni Khat @ Sejarah Cina Muslim Melaka?
Ia pertama kali dalam sejarah. Idea ini bagi memperkenalkan dunia kepada Melaka yang penuh dengan sejarah Cina Muslim, iaitu sejak kedatangan Laksamana Cheng Ho ke negeri itu pada 1405, sekali gus merupakan era pertukaran budaya yang rancak.

Malah Melaka mempunyai sejarah dan tamadun yang kaya dan warna-warni termasuk penemuan arkeologi serta kewujudan dan perkembangan awal orang Cina Muslim. Ia boleh dilihat melalui masjid-masjid purba yang agak unik dan berbeza dengan negeri-negeri lain. Jadi, pameran ini amat sesuai bagi memperkenalkan sejarah Cina Muslim di Melaka dan warisan seni khat negara.

Bagaimana maklum balas pelancong atau pelawat?
Pameran ini bertujuan mempromosi bahasa dan sejarah. Jadi, mereka amat menghargai usaha ini. Ramai pelancong antaranya dari Australia, Amerika Syarikat dan China melawat sebuah pameran yang kaya dengan sejarah tamadun Islam secara eksklusif. Mereka juga baru menyedari kronologi Cina Muslim di Melaka amat berbeza dengan negeri-negeri lain.

Terdapat 30 muzium dan galeri di Melaka tetapi tidak sama dengan pameran ini kerana ia lebih eksklusif, unik dan sesuai untuk semua.

Ia satu penghormatan apabila pelancong sama ada tempatan atau luar negara menghargai dan cuba mempelajari sebahagian daripada sejarah negara. Mereka melihat kecantikan Islam itu secara dekat.

Jadi, usaha selama empat tahun ini amat berbaloi dan saya gembira dengan maklum balas daripada mereka.

Apa lagi sumbangan seni khat kepada negara selain sebagai faktor pelancongan?
Kita boleh memperkenalkan keunikan dan kekayaan sumber kayu negara. Kerana itu saya menggalakkan penggiat khat mengukir menggunakan kayu. Ia lebih berkualiti malah merupakan cenderahati istimewa untuk pelancong bawa pulang.

Dalam era moden hari ini, ramai menggunakan komputer untuk menghasilkan seni khat tetapi saya mahukan sesuatu yang mempunyai unsur-unsur tradisional seperti ukiran kayu.

Walaupun menggunakan komputer lebih murah tetapi Malaysia banyak kayu. Jika gunakan kayu, secara tidak langsung kita mempromosikan kayu-kayu negara sebagai seni kraftangan berkualiti.

DAKWAH

Adakah dakwah melalui cara ini berkesan?
Saya berdakwah bukan untuk orang lain tetapi diri sendiri dan orang Islam. Lukisan dan kesenian juga adalah cabang dakwah. Ia lebih dekat kerana hati ke hati. Pengaruhnya jauh lebih baik dan berkesan. Malah cara ini juga boleh mengelak salah faham ketika menyampaikan dakwah.

Banyak saya jumpa penulis khat berbangsa Cina tersentuh dengan ayat-ayat yang diukir mereka dalam Jawi. Itu juga dakwah. Jadi, kita perlu terus promosi khat.

Benarkan tulisan Jawi semakin dilupakan generasi muda?
Ibu bapa perlu memainkan peranan untuk tunjukkan kecantikan khat. Selitkan seni khat dalam aktiviti harian. Jadi, masa-masa kosong dapat diisi dengan aktiviti berfaedah.

Ramai ibu bapa memilih menghantar anak mempelajari bahasa ketiga tetapi tidak melihat khat sebagai sebahagian sumber ilmu. Komen?
Kita jangan sempitkan pemikiran dengan mengatakan khat Jawi hanya untuk Islam. Khat ini seni, sama seperti bahasa Cina atau Arab. Kita boleh mula dengan belajar peribahasa yang mudah dalam bahasa Jawi. Cara ini mungkin dapat membantu menarik minat generasi muda mendalami ilmu khat.

Bagaimana mahu popularkan semula Jawi?
Melalui media sosial kita boleh menambah baik kemahiran membaca dan menulis. Gunakan potensi yang ada dalam diri agar dalam mewarisi satu seni yang sangat indah dan tinggi nilai estetikanya. Usaha memartabatkan seni khat perlu diteruskan agar ia tidak hilang di mata dunia.

Kita juga boleh membentuk golongan muda yang berbakat untuk menjadi pelukis khat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×