Rafizi usah ‘sembang kencang’

Rafizi usah ‘sembang kencang’

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA pernah menulis sebelum ini tentang pemilihan PKR dengan tajuk Rumah siap pahat berbunyi. Waktu itu PKR belum melaksanakan kongres tahunannya lagi. Namun, ketika itu sudah diketahui umum mengenai beberapa kelemahan yang berlaku dalam pemilihan PKR.

Hal ini sekali gus menimbulkan persoalan, adakah keputusan pemilihan daripada jawatan ketua-ketua cabang, naib-naib presiden sehinggalah timbalan presiden pada Mei lalu suatu yang legitimate (sah)?

Pelbagai dakwaan penyelewengan dalam proses pengundian dianggap serius sebab ia dikatakan melibatkan angka puluhan ribu. Tentunya angka ini mempengaruhi keputusan pemilihan yang telah diumumkan.

Apa pula tindakan PKR untuk menghadapi situasi itu? Apa kesan politik jika PKR menghadapi nasib sama seperti DAP jika keputusan pemilihan dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS)? Saya boleh menulis panjang tajuk ini, namun memadai saya fokuskan kepada beberapa perkara pokok.

Pertama, sudah jelas pemilihan PKR kali ini bermasalah. Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam ucapan penutup kongres tahunan ke-16 ada menyebut, parti telah menerima perintah daripada RoS untuk menjawab beberapa perkara akibat aduan dibuat ahli. Sejauh mana serius perkara tersebut tidaklah diketahui. Namun, tidak terlalu sukar untuk kita mengagak tindakan RoS adalah titik permulaan kepada masalah bakal dihadapi PKR.

DAP telah melalui hal sama yang membawa kepada RoS membatalkan keputusan pemilihan pada 2013. Pemilihan yang sah hanya berlangsung pada 2022 menyaksikan Anthony Loke menang dan dilantik Setiausaha Agung DAP yang baharu.

Kedua, apakah status pemilihan PKR sekarang? Benar, kongres PKR telah berlangsung dengan jayanya. Pemilihan dan kongres adalah dua perkara berbeza, namun saling terkait. Pemilihan yang cacat boleh membawa kepada kongres tahunan menjadi cacat. Pemilihan PKR mengundang banyak aduan. Media melaporkan hampir 2,000 aduan dibuat.

Barangkali kecacatan yang timbul tidak menghairankan memandangkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti PKR, Dr. Zaliha Mustafa bukanlah player atau masak pengalaman dalam proses pemilihan. Prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan olehnya menjadi bahan polemik. Bila pengundian dilakukan menerusi gajet, jangka masa buka dan tutup disyaratkan mesti lebih tiga minit. Kalau kurang dari itu, pengundian batal.

KLIK

Sedangkan kebiasaannya sebelum mengundi, ahli pasti sudah tahu calon di kotak fikirannya yang mahu dipilih. Lagipun pemilihan hanya melibatkan jawatan ketua-ketua cabang, seorang timbalan presiden dan kuota empat naib presiden untuk diisi. Bahkan, sejumlah 63 ketua cabang sudah pun diisytihar menang tanpa bertanding. Bakinya sedikit lagi untuk dipilih. Jadi, hendak klik masuk untuk memilih cuma perlukan tidak sampai dua minit. Dikatakan ada lebih 40,000 pengundian dibatalkan atas kesalahan ‘mengundi bawah tiga minit.’

Hal ini semua memaksa PKR melantik pasukan audit forensik. Melalui proses audit forensik, diberitakan penemuan pelbagai masalah dan penyelewengan.

Ketiga, PKR sebuah parti yang lahir atas prinsip keadilan sebab yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1998. Siang malam ‘zikirnya keadilan.’ PKR juga paling lantang mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), badan pengendali pilihan raya di Malaysia. Apa sudah jadi dengan PKR sekarang?

Isu lebih besar, apakah PKR bersedia akur dengan penemuan audit? Perkara ini sangat fundamental (asas) sebab barisan kepimpinan baharu yang terpilih dianggap pelapis yang akan mengungguli parti setelah suatu hari hari nanti Anwar berundur. Apakah PKR mahu dilihat oleh rakyat sebagai sebuah parti yang mengabaikan prinsip keadilan, ketelusan dan integriti?

Keempat, belum terlambat saya hulurkan tahniah kepada Rafizi Ramli yang menang timbalan presiden. Sosok yang sangat popular dalam kalangan pimpinan PKR sekarang. Kepada beliau diletakkan harapan untuk membawa PKR kembali gagah.

Sementara saya akui kehebatannya, ujian sebenar yang perlu dihadapi ialah apakah Rafizi bersedia membetulkan keadaan sekarang bahawa pemilihan parti ada masalah? Masalah itu pula sangat serius. Jika tidak mana mungkin RoS menghantar notis untuk parti menjawabnya. Apakah Rafizi sedia mengakui wujudnya masalah ini? Kemenangan beliau boleh menjadi kemenangan yang tertangguh sekiranya RoS membatalkan keputusan pemilihan seperti mana dilalui DAP.

Selagi Rafizi berdiam diri dalam isu pemilihan ini, selagi itulah ia menjadi persoalan ahli PKR. Adakah sekiranya keputusan sebaliknya, barulah beliau akan mencanangkan pemilihan tidak telus? Tetapi bila kena keputusan memihak kepada beliau, diam seribu bahasa. Di mana prinsip keadilan dilaung-laungkan selama ini? Berkokok bila tiada kuasa, membisu bila berkuasa.

Retorika Rafizi kini lebih terserlah dengan kepincangan pemilihan PKR kali ini.

Apakah Rafizi bersedia menjadi Timbalan Presiden yang menang lewat jalan pemilihan parti yang didakwa berlaku penyelewengan?

Rafizi jangan ‘sembang kencang,’ Bola di kaki anda. Tepuk dada tanya selera! – UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN