Lumba rali suram, kembalikan semula kegemilangan - Utusan Malaysia

Lumba rali suram, kembalikan semula kegemilangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
KIRA-KIRA lebih 20 tahun lalu, sukan perlumbaan rali seringkali menjadi tumpuan bersama sukan permotoran lain termasuk kejohanan Malaysia Cub Prix.
Namun, sukan ini semakin tenggelam dari tahun ke tahun. Paling malang, tiada lagi nama-nama besar kedengaran dan berita mengenai sukan ini juga semakin sendu.
Malah, nasib pelumba yang satu ketika dahulu pernah menjadi juara dunia dan mengharumkan nama di negara kini menghilang sepi.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan jurugambar FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR menemu ramah pelumba rali negara yang juga juara dunia KARAMJIT SINGH atau digelar Flying Singh bagi mendapatkan perspektif beliau.

 

MINGGUAN MALAYSIA: Apa perkembangan terbaru anda dan perlumbaan rali selepas pandemik Covid-19 lebih-lebih lagi banyak pihak melihat sukan ini ‘mati’ ?
KARAMJIT SINGH: Sukan perlumbaan rali sebenarnya masih dipertandingkan di peringkat tempatan. Saya sendiri akan menyertai satu perlumbaan di Maran, Pahang pada minggu depan. Ia adalah perlumbaan pertama selepas hampir tiga tahun ditutup dan kali terakhir diadakan pada November 2018.
Kalau semua berjalan lancar dijangkakan ada empat perlumbaan untuk tahun ini. Berdasarkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), kita perlu menganjurkan enam kejohanan tempatan setahun sebelum boleh menganjurkan kejohanan untuk peringkat antarabangsa yang berprestij.

Sukan perlumbaan rali tidak seperti tahun 80-an dan 90-an dan dilihat semakin tenggelam. Anda setuju?
Itulah, memang sudah tenggelam pun jika dibandingkan zaman dahulu. Malah kita pernah menjadi nombor satu dalam sukan ini pada satu ketika dahulu sehinggakan banyak orang luar negara datang ke Malaysia semata-mata untuk belajar serta menimba pengalaman.
Tapi selepas 2003, sukan ini semakin ‘jatuh’ menjunam setiap tahun. Dari enam kejohanan turun kepada lima, empat atau tiga sahaja dalam setahun. Paling sedih, pelumba luar negara juga semakin kurang datang ke Malaysia. Begitu juga dengan penganjur yang sering kali bertukar sehingga menyebabkan tajaan susah nak dapat.
Sebab apa? Seperti saya katakan tadi, kalau kurang daripada enam kejohanan, kita tidak boleh buat acara bertaraf dunia berdasarkan syarat FIA. Penaja besar pun lari.

KETANDUSAN PELUMBA
Hanya anda dan beberapa nama lain yang menyinar dalam sukan ini. Adakah sukan rali ketandusan pelumba?
Bakat baharu sebenarnya ada. Tapi apabila sukan perlumbaan rali semakin tenggelam merosot dan penajaan kurang, ada pelumba tinggalkan terus perlumbaan atau dalam erti kata lain bersara. Perlu diingat, apa sahaja sukan permotoran memang memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi termasuklah perlumbaan rali.
Tambahan pula sukan ini semakin kurang mendapat pendedahan, jadi ramai tidak tahu. Hanya peminat tegar sahaja tahu sebab mereka memang ikut perkembangan sukan ini.

AKADEMI KHAS
Adakah perlu diwujudkan satu akademik khas untuk melahirkan pelumba rali negara?
Memang perlu diwujudkan usaha ke arah ini. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu ada satu program pencarian bakat setiap negeri. Maknanya, bakal-bakal pelumba akan dipilih yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Ia tidak mustahil.
Trek tetap dan sekolah perlumbaan rali boleh dibuat di Selangor. Lagipun saya sendiri pernah mengajar pemandu rali luar negara dan sewa estet untuk mengajar mereka selama dua hari. Pemanduan mereka terus bertukar. Kereta pun saya bagi dalam tempoh kursus.
Sebenarnya jika akademik itu dapat direalisasikan, ia bukan sahaja boleh dibuka untuk pemandu dalam negara, tetapi kepada pemandu luar. Secara tidak langsung ilmu dikongsi. Ada pelajar saya yang sudah jadi juara di Amerika Syarikat (AS).

BANTU ISU MAT REMPIT
Adakah pendedahan sukan perlumbaan rali dengan lebih meluas secara tidak langsung boleh membantu menangani masalah ‘mat rempit’?
Ya. Sudah tentu. Kalau seseorang ‘mat rempit’ ada jiwa suka berlumba, mengapa tidak mencuba di trek perlumbaan rali? Mereka ada bakat dan keberanian. Tapi sayang dekat mana mereka mahu mencurahkan kedua-duanya itu kalau bukan di trek?
Sebab itu, sekiranya ada diwujudkan akademik untuk melahirkan pelumba kereta rali, ia sedikit sebanyak dapat membantu melahirkan lebih banyak bakat baharu. Kita mungkin boleh mencontohi negara seperti Finland. Mereka ada akademik dan turut diberikan biasiswa.
Malah, mereka sudah biasa dalam pembangunan pemandu kereta rali terbaik daripada kerajaan. Sama ada yang sudah berpengalaman atau tidak, kerajaan akan bagi dana dan kemudahan. Pelumba yang menjuarai dalam satu-satu kejohanan juga boleh pilih dan kenal pasti bakat untuk menjadi pelapis. Kita sepatutnya buat macam itu. Sekolah rali semua ada di sana untuk pelbagai kategori. Tapi kita kemudahan seperti trek tetap pun tiada.

KOS F1 TINGGI
Adakah sukan permotoran dipandang sepi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terutama selepas keputusan menghentikan penganjuran Formula Satu (F1) sebelum ini?
Keputusan tersebut mungkin dibuat kerana kos penganjuran yang agak mahal. Namun sukan permotoran seperti rali tidak. Kalau hendak sertai kejohanan rali di lapan pusingan peringkat Asia Pasifik anggaran dalam RM3 juta sahaja. Itu termasuk kereta, mekanik dan kru lain yang keseluruhannya lebih kurang 12 orang.
Sekiranya kereta masih dalam keadaan baik, perbelanjaan tersebut semakin berkurangan sebab jentera sudah ada. Paling penting kereta tidak terbabit kemalangan.
Penganjuran sukan permotoran ini sebenarnya ada banyak manfaat yang bukan hanya pada satu sektor sahaja. Sebagai contoh semasa saya mewakili pasukan Proton, saya bawa nama negara. Begitu juga dengan penganjuran F1. Walaupun menelan kos tinggi, ia memberi impak kepada sektor pelancongan negara.
Jadi kalau diadakan semula perlumbaan F1 pun ia wajar dipertimbangkan. Tapi paling penting ia perlu bergerak seiring. Kalau sebelum ini perlumbaan kereta rali kurang menonjol selepas adanya F1. Maknanya, semua sukan permotoran naik bersama-sama dengan F1.
Kita tidak mahu bakat-bakat baharu yang menonjol dalam setahun atau dua tersekat disebabkan tumpuan yang lebih kepada F1. Selepas mulanya F1 habis pelumba kereta rali terperap dirumah.

Mungkin ada pihak melihat sukan perlumbaan rali tidak memberi banyak manfaat secara keseluruhan termasuk melahirkan kru dan pakar kejuruteraan?
Tidak sama sekali. Banyak kru dan mekanik yang sudah berhijrah ke luar negara dalam bidang jentera. Kita mempunyai banyak kepakaran dan bakat bukan sahaja daripada segi pelumba. Tambahan pula kalau di Eropah, mereka banyak peringkat perlumbaan seperti F1, F2 dan F3.

KURANG TREK RALI
Adakah negara kita sebenarnya kekurangan trek perlumbaan rali atau litar bagi sukan permotoran lain?
Sepatutnya litar Batu Tiga, Shah Alam dikekalkan untuk lahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran. Lagipun harga murah berbanding di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi bakat muda menceburkan diri dalam sukan ini.
Anak-anak muda daripada golongan berpendapatan rendah (B40) kurang berkemampuan. Kos di SIC tinggi. Kita faham sebab penyelenggaraan.Tapi kalau ada litar sebagaimana Litar Batu Tiga, dapatlah buka ruang kepada anak muda di sana.
Mungkin sudah tiba masanya litar yang lebih berkemampuan untuk pelumba dibina bagi memberi mereka peluang menunjukkan bakat masing-masing. Penglibatan mereka juga penting dalam satu-satu perlumbaan untuk menarik lebih banyak penyertaa nanti.

Dalam sukan perlumbaan rali, adakah bakat atau kemahiran menjadi keutamaan ?
Dalam sukan rali boleh dikatakan 60 atau 70 peratus bergantung kepada bakat manakala selebihnya kemahiran. Pemandu F1 pun pernah cuba perlumbaan rali tapi mereka tidak biasa dan boleh memahirkan diri dengan trek rali ini. Malah, pemandu rali yang berbakat boleh tahu kekuatan jentera selepas hanya lima minit duduk dan memandu jentera berkenaan.
Tapi apa yang paling penting dan menjadi kunci utama adalah kesungguhan dan ketabahan serta kesabaran. Saya menyertai perlumbaan rali ketika berumur 24 tahun selepas menonton satu perlumbaan. Kemudian saya beritahu ayah saya mahu menjadi juara. Mula-mula hanya menjadi marsyal sahaja untuk tiga tahun. Pada 1985, saya mula menyertai perlumbaan dengan menggunakan kereta ayah. Bagaimana saya dapat duit? Saya ‘kutip’ duit daripada kakak dan abang serta rakan-rakan selain bos saya. Tayar pun saya pakai yang celup sahaja. Malah ada satu ketika saya beli kereta yang terlibat dengan kemalangan.
Selepas itu dari tahun ke tahun saya mencatatkan kemenangan sehinggalah pasukan Petronas EON Racing Team melamar saya menyertai pasukan mereka. Jadi apa yang saya nak ceritakan di sini, setiap orang tidak kira mahu menceburi bidang apa sekalipun perlu tekad dan berusaha keras.
Ini tidak. Belum pun jadi juara sudah minta macam-macam sehinggakan ada yang berhubung dengan saya minta kereta. Sepatutnya buktikanlah dulu kesungguhan dan potensi diri, bukannya tahu meminta sahaja.

Apa harapan terhadap sukan perlumbaan rali yang semakin malap?
Kita mahu kembalikan semangat seperti mana tahun 80-an dan 90-an serta menjadikan Malaysia sebagai tumpuan dalam sukan perlumbaan kereta rali. Kita ada trek dan penajaan juga boleh dapat.Justeru perkara tersebut tidak mustahil.

Ada rancangan mahu bersara?
Sukan rali sudah jadi darah daging saya. Kalau bersara cepat tua. Ada rakan-rakan pelumba lain di luar negara yang masih berlumba walaupun sudah berumur lebih 70 tahun. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN