Siapa dalam bilik mandi itu? - Utusan Malaysia

Siapa dalam bilik mandi itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Assalamualaikum kepada seluruh pembaca budiman. Pada keluaran kali ini saya rasa terpanggil untuk berkongsi satu pengalaman misteri yang pernah saya alami satu ketika dahulu.
Kisah ini berlaku lebih kurang 10 tahun lepas yang mana ketika itu saya ditugaskan di luar daerah untuk menjaga projek pembinaan di selatan tanah air. Saya bertolak dari ibu kota lebih kurang pukul 9 malam selepas menunaikan solat Isyak serta menguruskan beberapa hal keluarga. Rasa kasihan juga kerana terpaksa meninggalkan isteri dan dua anak yang masih kecil, maklumlah biasanya jika bertugas di luar daerah pun paling lama hanya seminggu sahaja, namun kali ini makan masa hampir tiga bulan.
Saya beritahu kepada isteri akan pulang pada setiap hujung minggu memandangkan Sabtu dan Ahad adalah hari cuti saya, jadi pada Jumaat malam bolehlah saya pulang ke Shah Alam dan Ahad berikutnya barulah pulang semula ke tempat saya bertugas.
Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada isteri dan anak-anak, saya terus memandu. Memandangkan malam itu adalah malam hari bekerja jadi tidaklah banyak kereta di atas lebuh raya. Saya memandu dengan tenang dan sekali sekala memecut. Saya tidak risau jika sampai lewat sekalipun kerana hotel penginapan sudah ditempah awal oleh majikan.
Hampir tiga jam setengah memandu akhirnya sampai juga di hotel tempat saya menginap. Alhamdulillah, perjalanan cukup lancar. Sebelum mematikan enjin kereta sempat juga saya hubungi isteri dan memaklumkan yang saya sudah selamat sampai ke destinasi.
Hotel tempat saya menginap ini hanyalah hotel kecil terletak di deretan sebuah bangunan kedai. Lokasinya agak terpencil memandangkan kawasan itu sudah kurang menjadi tumpuan ramai sejak terbinanya bandar baharu yang terletak lebih kurang lima kilometer dari situ. Jadi tidak hairanlah kawasan itu sunyi daripada hiruk pikuk manusia.
Lagipun saya tidak punya banyak pilihan. Rasanya inilah satu-satunya hotel yang agak cantik dan baharu berbanding lain. Maklumlah di daerah terpencil begini manalah ada hotel lima bintang. Jika ada seperti ini pun sudah syukur alham­dulillah.
Selepas mendaftar masuk dan mengambil kunci di meja penyambut tetamu, saya terus menaiki tangga mencari bilik di tingkat dua bangunan. Rasa menyesal pula buat tempahan di sini kerana hotel tiga tingkat ini langsung tidak mempunyai perkhidmatan lif.
Sebaik masuk ke bilik hidung saya terus menangkap bau kurang enak. Bau hanyir dan hapak memenuhi segenap ruang, terus saya buka pendingin hawa dan periksa keadaan sekeliling. Saya mengeluh sendirian. Terasa amat kurang selesa.
Saya duduk di katil sambil memasang TV. Mata masih meninjau sekeliling. Nampaknya, hotel ini indah khabar dari rupa. Di luar nampak cantik dengan cat baru dan dekorasinya, namun sebaik masuk ke dalam bilik hampeh! Seperti bilik yang sudah lama tidak berpenghuni.
Selepas mandi dan menukar pakaian saya terus melabuhkan tubuh di katil. Sengaja saya pasang TV di hadapan supaya senang tertidur nanti. Memang kebiasaannya begitu, kalau sudah baring sambil menonton TV memang mudah terlelap.
Saya lihat jam di telefon bimbit. Sudah hampir 3 pagi. Hampir satu jam lebih juga saya terlelap. Saya lihat TV sudah tertutup dengan sendirinya.
Pelik! Saya capai remote dan belek kalau ada timer yang terpasang, namun tiada. Jadi bagaimana TV tersebut boleh terpadam? Fikir saya sendiri.
Sedang mengelamun tiba-tiba saya tersentak. Telinga terus menangkap ‘sesuatu’ dari bilik mandi. Bergegas saya turun ke katil dan menjengah. Kelihatan air di paip sinki terbuka laju. Saya pandang sekeliling sambil garu kepala. Bagaimana pula paip ini boleh terbuka dengan sendirinya? Saya tiada jawapan.
Setelah menutup paip tersebut saya kembali semula ke katil. Otak masih memikirkan tentang apa yang terjadi. Namun saya tidak mengesyaki apa-apa. Fikir saya pasti ada kerosakan teknikal yang berlaku. Maklumlah hotel lama yang kurang penyelenggaraan. Belum pun saya sempat melelapkan mata, tiba-tiba sekali lagi saya dikejutkan dengan bunyi dari bilik mandi. Terus saya bergegas turun dari katil. Jantung terus berdegup laju. Jelas kelihatan air paip di sinki terbuka sekali lagi dan paling mengejutkan air pancuran mandi turut sama terbuka.
Tanpa berfikir panjang terus saya tutup kedua-dua paip berkenaan. Dan sebaik sampai ke katil sekali lagi saya terkejut kerana TV di hadapan saya terpasang dengan sendirinya. Apa lagi, tanpa berlengah saya capai selimut dan terus berselubung. Tidak boleh untuk saya gambarkan perasaan takut dan cemas ketika itu.
Dalam keheningan suram malam serta deruan bunyi penghawa dingin bilik saya terus dihujani dengan pelbagai bunyi asing dan aneh. Bukan setakat bunyi air yang keluar mencurah dari paip di sinki dan pancuran mandi, tetapi saya dapat rasakan seakan ada ‘sesuatu’ yang sedang berkongsi bilik dengan saya ketika itu. Perasaan takut memang tidak boleh dibendung lagi. Saya menggigil ketakutan sambil berselubung mematikan diri.
Memang ada sesuatu yang tidak kena dalam bilik hotel berkenaan. Walaupun saya berselubung dan mematikan diri dalam selimut tetapi ada ketikanya saya dapat rasakan ada ‘sesuatu’ berhampiran saya. Bunyi dengusan, tapak kaki dan sesekali terjahan angin membuktikan saya bukan berseorangan di bilik itu.
Hampir setengah jam berlalu barulah gangguan itu reda. Saya bingkas bangun dan capai kunci kereta. Nampaknya saya terpaksa tenangkan diri seketika sebelum menunggu hari siang. Saya menuju ke tingkat bawah, namun tiada seorang pun yang berada di kaunter penyambut tetamu. Saya ambil keputusan untuk bermalam di kereta sementara menunggu hari siang.
Sehingga subuh saya tidak dapat melelapkan mata. Dan sebaik sahaja hari sudah bertukar cerah saya terus ke kaunter penyambut tetamu. Sebaik bertemu dengan seorang pekerja wanita di situ, terus saya ceritakan tentang apa yang berlaku.
“Sebenarnya bukan encik seorang saja pernah alami gangguan macam ni. Sebelum ini pun ramai juga pernah terkena. Saya pun tak pasti apa puncanya. Tapi mengikut cerita saya dengar ada seorang wanita mati bunuh diri dalam bilik hotel di sini,” katanya panjang lebar. Terkedu saya mendengarnya. Dalam hati saya menyumpah juga kerana jika dia sudah tahu perkara tersebut kenapa berikan saya bilik tersebut untuk bermalam.
“Maaf encik, saya pun baru lagi kerja di sini. Sebenarnya saya hanya dengar orang cerita sahaja. Saya sendiri pun tak tahu di bilik nombor berapa kejadian itu berlaku,” sambungnya lagi. Saya terdiam. Tak tahu bagaimana mahu menyalahkannya. Tanpa banyak soal saya terus menuju ke bilik dan mengemas pakaian. Nampaknya hari ini saya terpaksa juga mencari hotel lain. Tak sanggup duduk di situ, walaupun sehari lagi.
Sebelum melangkah keluar sempat juga saya jengah ke dalam bilik mandi. Nampak jelas takungan dan percikan air di lantai dan dinding, seolah ada ‘seseorang’ yang baru menggunakan bilik mandi itu. Bergegas saya turun ke bawah dan menghidupkan enjin kereta. Nampaknya, ada cerita baharu yang ingin saya kongsikan bersama rakan-rakan di tempat kerja nanti. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN