Memahami pembudayaan Jepun sebenarnya

Memahami pembudayaan Jepun sebenarnya

SEBAHAGIAN peserta yang menghadiri pesta Bon Odori di Shah Alam, Selangor pada 2019. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN ini merupakan tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) dilaksanakan. Jelas, beberapa kejayaan telah dicatatkan bagi merapatkan hubungan di antara kedua buah negara khususnya dalam mengenali dan menerapkan budaya Jepun dari beberapa sudut kehidupan serta kerjaya.

Pengaruh budaya Jepun sememangnya sudah terkenal dalam mencorakkan cara hidup yang amat produktif tanpa mencicirkan nilai hidup bermasyarakat yang amat rapi. Jepun maju tanpa menyisihkan budaya yang bagi banyak negara lain sebaliknya, termasuk Malaysia.

Budaya kononnya kolot dan menghambat ‘kemajuan’. Begitu juga di lapangan mahupun tempat kerja yang dapat dicontohi peserta DPT sepanjang perlaksanaannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dan kini, tatkala memasuki dekad keempat, bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, sebagai wakil kerajaan Jepun menyarankan sambungan DPT baru-baru ini. Hasrat ini disambut baik oleh kerajaan Malaysia mengikut beberapa sumber rasmi tempatan.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi dipetik menganggap DPT akan kekal relevan selagi tumpuan khusus terhadap dasar itu dikemas kini seiring dengan perubahan global dan sosial.

Ini penting untuk membawa rentak baharu dan wajar dipertingkatkan lagi dalam menjadikannya salah satu tonggak hubungan dua hala antara Malaysia-Jepun pada pascapandemik.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa melalui DPT pelbagai budaya Jepun sering diperkenalkan termasuk sudut hiburan, sukan dan riadah. Judo, misalnya, terdiri dari suku kata lembut (ju) dan jalan (do) membawa budaya “memberi jalan melalui pergerakan secara lembut” – bertujuan menghindarkan musibah.

Ini adalah satu falsafah atau hikmah yang ditonjolkan dalam seni tempur dan sukan Jepun yang terkenal di merata dunia, serta menjadi tarikan ramai peminat seantero.

Ia turut diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebagai suatu sukan moden yang dipertandingkan di pentas dunia. Namun, ia berteraskan latihan jiwa dan raga yang bertapak di kuil, dan bukan untuk meraih pingat dalam apa-apa jua bentuk pertandingan.

Inilah nilai budayanya bagi membentuk watak manusia sempurna. Sehinggakan judo kini empunya dunia – sepertimana karate dan tae kwan do. Pembudayaan ini diterima ramai sebagai budaya sejagat yang dinaungi majlis serta organisasi sejagat sepertimana sukan antarabangsa umpama bola sepak, ragbi, takraw dan badminton.

Mungkin juga ramai tidak menyedari melalui DPT bermacam lagi pembudayaan telah dialami serta dikutip oleh Malaysia dan dunia seluruhnya.

Dalam dunia pengurusan misalnya, kaizen (penambahbaikan berterusan) adalah proses penting dalam peningkatan serba-serbi kualiti bertaraf dunia. Ataupun ikigai – satu cara hidup yang seimbang lagi membahagiakan untuk menentukan kesejahteraan manusia.

Lagi sekali ia mendapat pengiktirafan dunia khasnya dalam meningkatkan produktiviti individu dan organisasi di mana saja. Semuanya berkaitan satu sama lain dalam erti pembudayaan Jepun.

Semua perlu dicantumkan untuk mendapat kesan yang maksimum sebagai insan produktif sekali gus sejahtera lagi harmoni.

Kadangkala mungkin kita tersilap faham akan satu lagi jenis budaya yang berbentuk seni warisan atau hiburan dalam kalangan masyarakat Jepun.

Termasuk warisan serta tradisi kuno yang telah membina tapak kukuh tamadun pembudayaan Jepun yang membolehkan rakyat negara itu maju seiring budayanya.

BON ODORI

Bon Odori atau Tarian Bon adalah antara yang ternama yang diraikan setiap musim panas sejak awal 1600-an pada era Edo lagi. Kini diiktiraf sebagai Harta Budaya Rakyat (Folk Cultural Property) kerana pengaruh serta sumbangannya kepada pembangunan budaya bangsa tersebut.

Seperti amalan lain, maka tidak hairanlah Bon Odori juga terkenal di luar negara Matahari Terbit itu. Walaupun di Jepun ada pihak yang mengikut tradisi Buddha menurut cerita atau mitos tertentu, namun di luar Jepun ini tidak dikenali kerana konteks dan amalan dan sejarah tempatan yang berbeza sama sekali.

Malah, di Jepun sendiri aspek ini sudah pun mula luntur dan ia lebih dikenali sebagai pesta keramaian awam yang ditunggu-tunggu serta diolah mengikut pengaruh tempatan dengan menekankan keunikan tersendiri.

Para penari, pemuzik, peralatan seni khasnya gendang (taiko), reka bentuk pantas serta pakaian juga digubah mengikut nilai budaya masing-masing. Bahkan nama tarian juga tidak terikat dengan nama tertentu termasuk nama Bon Odori itu sendiri.

Di Korea, ia dikaitkan juga dengan pesta pertanian, di Filipina dengan keturunan Jepun berbangsa Filipino, di Amerika Latin seperti Brazil oleh masyarakat Jepun tempatan ala-Brazil.

Di Amerika Utara, berserta bazar makanan dan pasar seni serta sejarah Jepun-Amerika Syarikat misalnya. Penekannya jelas berbeza-beza tanpa menyentuh faham agama mana-mana pun.

Tiada bezanya di Malaysia sejak sebelum DPT lagi, bermula di Pulau Pinang hingga ke Sabah kemudiannya. Kuala Lumpur tidak ketinggalan, hasil anjuran pihak dan masyarakat peniaga Jepun di negara ini.

Tumpuannya kepada sambutan budaya, seni dan makan minum Jepun, tidak ketinggalan juga pameran produk industri Jepun sebagai tarikan sains dan teknologi terkini.

Ini dimeriahkan lagi apabila DPT menjadi dasar dan kenyataan. Bab keagamaan tidak muncul sama sekali sejak dahulu lagi sepertimana amalan program di bawah DPT.

Sekali gus ia memperkukuhkan kerjasama yang sedia terjalin antara dua negara serta masyarakat yang sedia bekerjasama untuk kemakmuran sejagat seperti dikehendaki oleh Islam demi memupuk keamanan dan kesejahteraan rahmatan lil alamin.

Apatah lagi ia merupakan satu alternatif baharu selain tumpuan lesu ke dunia Barat sejak zaman penjajahan Inggeris lagi!

Dengan kata lain, jalinan serta hubungan pembudayaan bersama negara Jepun mesti mempunyai perspektif yang lebih luas dan terbuka untuk memahami maksud ‘pembudayaan’ mereka yang berkaitan begitu rapat antara satu sama lain dalam hampir semua hal kehidupan. Tidak dipetak-petak secara sempit seperti di Malaysia.

Ini merupakan antara faktor utama yang sering diungkapkan betapa Jepun terkehadapan sebagai negara-bangsa yang lebih Islamik dari kebanyakan negara Islam itu sendiri! Sesuatu realiti yang wajar direnungi bersama. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini