Lupus kereta lama bukan jalan mudah - Utusan Malaysia

Lupus kereta lama bukan jalan mudah

Jika di Thailand ada tuk-tuk, di Indonesia ada gojek dan di Filipina ada jeepney, kita mungkin perlu wujudkan kembali nostalgia Bas Mini Wilayah atau sesuatu yang hampir sama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN melupuskan kenderaan secara rasmi diutarakan dalam Polisi Automotif Nasional 2009 yang mana kenderaan berusia 10 ke 15 tahun akan dikenakan pemeriksaan tahunan untuk memastikan ia selamat digunakan.
Mekanisme pelupusan kenderaan sudah digunakan di kebanyakan negara maju, terutama negara-negara yang mengalami masalah pencemaran udara kronik.
Di sesetengah negara, ia bukan diwajibkan di peringkat nasional, tetapi di peringkat negeri atau wilayah yang mempunyai masalah pencemaran udara di bandar raya-bandar raya utamanya.

PENCEMARAN UDARA
Di Malaysia, isu ini timbul hanya sebagai cadangan dan alasan yang digunakan adalah untuk memastikan kenderaan yang berada di atas jalan raya adalah lebih selamat serta untuk membawa negara ke arah pencemaran udara sifar.
Ini juga sebenarnya akan membantu sektor automotif yang mana pelupusan kenderaan lama akan meningkatkan penjualan kenderaan baharu.
Namun begitu, perancangan itu tidak dilaksanakan kerana kajian-kajian yang dilakukan mendapati cara itu tidak perlu dimulakan buat masa ini.
Masalah pencemaran udara negara belum lagi kronik kerana pemberian insentif untuk Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) menggalakkan pembeli memilih kenderaan-kenderaan yang lebih mesra alam.
Sambutan kepada Kenderaan Elektrik (EV) di Malaysia juga menakjubkan dan jika dikira nisbah jumlah kenderaan negara, jualan EV di Malaysia jauh lebih berjaya dari negara-negara jiran.
Namun begitu, isu melupuskan kenderaan lama kembali timbul bila ia dicanangkan sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang mula melanda Malaysia.

LUPUS BANTU REDA SESAK
Saya akui pelupusan kenderaan lama memang akan membantu meredakan kesesakan jalan raya, seperti yang berlaku di Singapura.
Di sana, ramai yang mula menjual kenderaan lama mereka kerana kos pemilikan naik mendadak. Negara kecil itu mewajibkan kenderaan berusia atas 10 tahun perlu memperbaharui Geran Pemilikan Kenderaan (COE), premium insurans yang lebih tinggi dan melalui pemeriksaan tahunan.
Namun begitu, kerajaan Singapura memberikan pilihan yang banyak dan mudah untuk warganegara kepulauan itu untuk melupuskan kenderaan lama.
Selain menjual kenderaan ke syarikat-syarikat yang boleh membeli kenderaan lama mereka untuk dieksport ke negara lain (seperti industri kenderaan recon), mereka juga boleh menjual kenderaan lama mereka untuk dijadikan alat ganti terpakai. Pengguna Singapura juga menerima rebat untuk melupuskan kenderaan lama.
Selain kemudahan pelupusan yang tidak begitu merugikan, rakyat Singapura juga sebenarnya boleh mengharapkan sistem pengangkutan awam mereka yang cukup sempurna.
Malah, ini adalah sebab utama untuk ramai warga negara itu untuk tidak memiliki kenderaan langsung. Stesen bas dan kereta api berada di setiap kawasan perumahan, dan infrastruktur penting seperti rumah ibadat, sekolah dan pasar berada di sekitar kediaman mereka.
Malaysia masih ketinggalan dari segi susunan infrastruktur dan ia menyebabkan kesukaran untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang baik.

PENGANGKUTAN AWAM ‘LAST MILE’
Pengangkutan awam last mile yang murah (dari rumah ke stesen bas/kereta api) masih tidak wujud dan ramai memerlukan kenderaan peribadi untuk menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah yang terletak jauh dari kediaman.
Mengurangkan jumlah kenderaan memang jawapan terbaik kepada masalah kesesakan lalu lintas tetapi sekiranya masalah pengangkutan awam tidak diselesaikan, pengguna tidak ada pilihan lain selain terus menggunakan kenderaan masing-masing.
Ramai pakar pengangkutan dan perancang bandar sudah memberikan amaran kejadian lebih dari 20 tahun lalu dan sistem pengangkutan negara memang telah ditambah baik, cuma masalah pengangkutan awam last-mile masih tidak ada penyelesaian.
Jika di Thailand ada tuk-tuk, di Indonesia ada angkut atau gojek dan di Filipina ada jeepney, kita mungkin perlu wujudkan kembali nostalgia Bas Mini Wilayah atau sesuatu yang hampir sama kerana jika tidak, memaksa pengguna untuk berubah tanpa alternatif yang baik adalah umpama membela lembu di dalam istana – memang lebih selesa dan bersih tetapi dagingnya sama seperti lembu di kandang. Adakah gembala lembu Malaysia sudah sampai ke taraf itu?

PENULIS ialah Penganalisis Automotif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.