Ini bukan bahan jenaka, lelaki mangsa dera, bersuara lah … - Utusan Malaysia

Ini bukan bahan jenaka, lelaki mangsa dera, bersuara lah …

Berita pelakon popular Hollywood, Johnny Depp menang dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap bekas isterinya, Amber Heard menarik minat ramai terutama lelaki berbincang mengenai penderaan isteri terhadap suami. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETAHU saya, kali terakhir saya baca pasal statistik kes isteri mendera suami di negara ini adalah dalam satu laporan berita pada 2017.
Ia adalah kes yang dilaporkan dalam tempoh antara 2014 hingga 2016 yang mana daripada 15,617 kes keganasan rumah tangga di Malaysia, 26 peratusnya melibatkan suami didera isteri.
Selepas itu, tidak ada statistik rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menteri rasanya. Tak tahulah kalau saya terlepas pandang. Tetapi saya percaya itu tak bermakna penderaan terhadap suami tidak berlaku lagi. Ada. Tetapi tidak lah dihebohkan sangat.
Sebabnya, mungkin jumlah kes tidak sebanyak mana dan suami yang kena dera itu tidak mengalami kecederaan serius atau kematian yang perbicaraannya boleh diketahui oleh pihak media.
Yang selalu dipaparkan dalam media arus perdana dan media sosial dari dulu sehingga sekarang adalah kisah dan kes isteri didera suami. Isteri yang derita hidupnya kerana suami kaki pukul. Dibelasah kerana pengaruh dadah, kalah judi, tekanan hidup, cemburu atau ada orang ketiga. Paling menyedihkan isteri dibunuh suami manakala bapa mendera anak dan merogol anak sendiri pun ramai juga.
Saya juga sudah banyak kali menulis dalam kolum ini pasal kes penderaan fizikal dan emosi terhadap wanita. Betapa wanita perlu menolong diri sendiri. Kuat dan bersuara untuk keluar daripada penderitaan itu.
Dan apabila kes pelakon Hollywood, Johnny Depp menang kes saman fitnah terhadap bekas isterinya Amber Heard, barulah isu penderaan terhadap suami ini heboh diperkatakan di negara ini. Semacam menyimpan perasaan yang terbuku pula membaca komen-komen orang lelaki dalam media sosial. Ia sedikit sebanyak membuka mata bahawa penderaan terhadap suami bukan isu ringan.
Ramai lelaki tampil memberi komen, antaranya kemenangan kes pelakon kapten Jack Sparrow itu menunjukkan wanita tak selalunya menang dan betul. Ada pula membuat kesimpulan yang memberikan Depp menang dalam kes itu adalah peguamnya. Seorang wanita juga. Walhal barisan peguamnya ada juga lelaki.
Dan rentetan kemenangan ini, ramai netizen lelaki tiba-tiba pula membuat pengakuan dan komen, wanita di negara ini pun sebenarnya ramai pendera. Kata mereka, wanita mengaburi perbuatan itu dengan menunjukkan dirinya lemah dan bermain air mata. Yang nampak jahat dan kejamnya, lelaki saja kerana mereka tidak bising-bising macam wanita. Wanita, kena tengking sikit, riuh sekampung!
Hakikatnya, kes dera jangan dilihat dari segi jantina. Kalau mendera, tak kiralah suami atau isteri, ia perbuatan jenayah yang tidak boleh dibiarkan dan pelaku perlu dihukum setimpal dengan perbuatannya.
Jika dengan kemenangan Johnny Depp ini menjentik semangat suami yang sedang didera isteri untuk tampil membuat pengaduan, itu adalah lebih baik. Perbuatan salah tetap salah, tak kiralah siapa pelakunya.
Masalahnya ada yang memandang perbuatan isteri mendera suami ini sebagai satu jenaka. Bukan wanita saja yang menertawakan, orang lelaki pun suka ‘membahan’ kaum sendiri jika kawan mereka berhadapan isu ini atau berita seperti ini dilaporkan oleh media.
Ini mungkin membuatkan suami yang menjadi mangsa dera malu tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa dan juga enggan bercerita pada orang sekeliling. Bila dijadikan bahan lawak itu yang membuat diri mereka bertambah stres dan mengalami depresi.
Contohnya, ayat provokasi yang selalu orang lelaki gunakan – apa takut, beras kita beli. Di negara ini, lelaki yang dikawal isteri atau istilah kena queen control dianggap kelakar sangat oleh orang lelaki sendiri. Sebab itu, ada yang tidak boleh membezakan perbuatan mengawal dengan mendera. Mendera adalah satu jenayah.
Penderaan tidak kira mangsa wanita atau lelaki tentu boleh menyebabkan depresi yang boleh mengakibatkan padah yang lebih buruk seperti membunuh diri atau mencederakan orang lain.
Justeru, mangsa perlulah diberi sokongan untuk berani dan tidak malu membuat aduan. Buang juga ego seorang lelaki. Apalah sangat dengan ego, kalau badan teruk kena belasah.
Dalam ada itu. ada pula yang menyalahkan wanita di negara ini yang suka sangat menggunakan platform pergerakan atau NGO wanita dalam memperjuangkan nasib dan hak mereka. Sebab itu, ada saja isu mahukan kesamaan dan hal-hal rasa tidak puas hati dilayan double standard sering diangkat oleh wanita yang menenggelamkan isu-isu lelaki didera. Walhal golongan lelaki juga sebenarnya boleh mewujudkan pergerakan dan NGO lelaki seperti di negara-negara lain (men’s movement). Tetapi itulah, kalau tidak boleh menyokong antara satu sama lain dan asyik membahan saja, mana mahunya.
Kalau boleh buat kelab motor besar atau boleh wujudkan kelab peminat Liverpool atau Manchester United, berbincang macam-macam pasal minat ini, kenapa tak wujudkan persatuan atau kelab melindungi lelaki?
Ada membuat kenyataan dangkal mengata pula undang-undang negara ini tak memihak kepada lelaki? Buatlah aduan dulu, baru tahu memihak atau tidak. Kalau tidak, tak adalah penjara untuk wanita di negara ini.
Akta Keganasan Rumah Tangga bukan khusus untuk memperjuangkan dan melindungi wanita tetapi juga lelaki atau sesiapa saja dalam keluarga yang menjadi mangsa.
Ada juga komen-komen netizen lelaki yang mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditukar kepada Kementerian Keluarga dan Masyarakat sahaja.
Pada saya negara ini masih memerlukan kementerian wanita kerana banyak isu wanita yang membabitkan pengabaian isteri dan anak-anak, soal pekerjaan, keusahawanan, kebajikan dan lain-lain yang memerlukan pemerhatian supaya tidak timbul isu-isu sosial lain.
Iyalah, tak akan lah pasal Johnny Depp menang kes saman fitnah bekas isteri, tiba-tiba pula yang di sini mencadangkan bubarkan Kementerian Wanita.
Sedangkan kementerian ini jugalah menjaga hal-hal kebajikan isteri dan bekas isteri dan anak-anak yang terkontang kanting ditinggalkan suami tanpa nafkah, yang ini siapa pula yang hendak ambil tahu?
Kesimpulannya, pendera walau sesiapa pun dia, mangsa tidak sepatutnya memberi ruang seluas-luasnya untuk dia terus mendera. Bersuaralah, wahal suami yang didera. Hidup ini bukan tentang kesakitan dan derita. Kita semua ada pilihan. Bukan setakat beli beras.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya