Dari UM ke puncak Putrajaya - Utusan Malaysia

Dari UM ke puncak Putrajaya

GAMBAR kenangan Ismail Sabri Yaakob (depan, empat dari kiri) bersama Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid (tengah) pada 1982. Beliau ketika itu ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). – IHSAN UM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUKUP teruja apabila menyaksikan Perdana Menteri (PM) kesembilan yang juga lulusan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Malaya (UM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi standing ovation (tepuk sorak gemuruh) oleh hadirin pada Majlis Sambutan 50 tahun Jubli Emas Fakulti Undang-Undang UM di Dewan Tunku Canselor universiti terbabit pada 17 Jun lalu.
Kehadiran beliau ke alma maternya yang juga universiti tertua dan terbaik di Malaysia turut diiringi hadirin menyanyikan lagu kumpulan muzik rock dari Britain, Queen bertajuk We Will Rock You.
Lirik lagu itu mempunyai makna cukup mendalam yang menyentuh ketabahan seseorang untuk berdiri bagi diri sendiri – tidak kira apa yang difikirkan oleh sesiapa pun sehingga dapat memberikan impak kepada negara dan dunia.
Sambutan meriah lebih 500 orang alumni pada majlis yang turut dihadiri oleh lebih 50 hakim bukan pelik kerana Ismail Sabri yang menjadi siswa UM dari 1980 hingga 1984 adalah satu-satu alumni dari fakulti berkenaan yang meningkat naik daripada peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Tinggi Malaya menjadi PM.
Tiga lagi PM dari UM adalah dari fakulti berbeza iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ismail Sabri meneruskan tradisi PM terawal iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn yang berpendidikan tinggi dalam bidang undang-undang.
Cuma berbeza PM terdahulu belajar di United Kingdom yang lebih banyak terdedah dengan undang-undang Inggeris berbanding Ismail Sabri belajar perundangan dalam negara yang tidak lagi mengikut acuan Barat dan tahu hakikat terdapat undang-undang yang tidak lagi relevan dengan ledakan teknologi digital, bahkan agak terkebelakang dengan perubahan semasa.
Pengumuman Ismail Sabri pada majlis itu iaitu kerajaan akan melaksanakan transformasi secara signifikan pada kadar segera terhadap 147 undang-undang lapuk yang diwarisi daripada penjajah Inggeris membuktikan beliau sedar undang-undang perlu berubah mengikut keadaan semasa bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Contoh diberi beliau ialah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang kini hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian.
Dalam pada itu, ketiga-tiga PM terdahulu juga mempunyai latar belakang keluarga aristokrat berbanding Ismail Sabri, anak seorang penoreh getah dari Temerloh, Pahang yang cukup memahami kesusahan hidup rakyat dan perlu semua pihak termasuk banduan diberi layanan secara adil.
Sebab itu, beliau memilih tajuk “Layanan terhadap tahanan politik di Malaysia” sebagai tesis pengajian Sarjana Muda Undang-Undang dan terbaharu memberi sokongan cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori.
Dalam pada itu, ramai alumni fakulti berkenaan memegang jawatan tinggi negara termasuk Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif.

MERENDAH DIRI
Walaupun kini ketiga-tiga cabang, legislatif, eksekutif dan kehakiman diterajui oleh alumni fakulti berkenaan, Ismail Sabri dalam ucapannya menegaskan sebagai seorang yang berlatar belakang undang-undang, beliau menghormati doktrin pengasingan kuasa di antara ketiga-tiganya dan kerajaan memberi jaminan bahawa kebebasan badan kehakiman dan legislatif akan terus terpelihara.
Kita yakin di bawah Ismail Sabri, tidak lagi berulang episod duka campur tangan eksekutif sehingga berlaku pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada 1988. Beliau juga mahu melihat wujudnya Rang Undang-Undang (RUU) Dana Sumbangan Politik bagi memantapkan integriti politik di negara ini.
Sifat berpegang kepada integriti itu diwarisi daripada pengasas dan dekan pertama fakulti itu dari 1972 hingga 1983, Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim, seorang tokoh perundangan yang tersohor di rantau Asia atas sikap integriti dan kebijaksanaannya.
Peguam Negara Republik Singapura yang pertama dan satu-satunya Melayu menjawat jawatan itu tidak pernah menumpang kemasyhuran nama adiknya, Cal Bellini (Khalid Ibrahim), anak Melayu yang mencipta nama sebagai pelakon di Hollywood satu ketika dahulu.
Hakikat itu diakui oleh Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (Parfum) yang pernah menjadi majistret, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil:
“Selaku dekan pertama, standard yang beliau tetapkan untuk fakulti mahupun pelajar yang diterima masuk amat tinggi. Dengan sifat integriti yang amat tinggi, adalah sukar untuk sesiapa diterima masuk tanpa memenuhi kelayakan yang ditetapkan fakulti sebagai penuntut. Perkara sama ditekankan oleh Naib Canselor UM (dari 1968-1988), Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid,” katanya.
Belajar dalam bidang undang-undang memerlukan komitmen sangat tinggi dan harus menjadi orang pertama yang menekankan integriti dalam segenap aspek kehidupan. Bukan calang-calang orang boleh belajar dalam bidang ini yang memerlukan seseorang itu berani bersuara, ekspresif, teliti dan bijak mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam dewan kuliah ke realiti.
Itulah pengalaman yang dirasai penulis sendiri yang pernah belajar beberapa bulan dalam bidang undang-undang pada 1991 sebelum memohon menukar kursus pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Ahmad ialah Shaikh (Dekan) Kulliyyah Undang-Undang UIAM dari 1983 hingga meninggal dunia pada 1999. Persamaan antara UM dan UIAM adalah kedua-dua fakulti atau kulliyyah undang-undang diasaskan oleh Ahmad yang lebih dikenali sebagai bapa perundangan Malaysia.
Sifat merendah diri Ismail Sabri kerana latar belakang anak orang kebanyakan juga sama seperti Ahmad. Sangat sukar untuk mengenali Ahmad secara peribadi kerana beliau seorang yang merendah diri dan tidak gemar ditemu bual media massa.
Ramai tidak mengetahui Ahmad ialah peguam bela kes Natrah atau Maria Huberdina Hertogh, 13, gadis Belanda yang berusaha mengekalkan anutan agama Islamnya sehingga banyak nyawa yang terkorban dalam rusuhan berdarah di Singapura pada 1950.
Syabas kepada Ismail Sabri kerana bertekad berpegang kepada integriti dan menambah baik undang-undang supaya tidak berulang kisah sedih Ahmad yang tidak berupaya melawan kuasa perundangan sivil ketika itu yang belum bersandarkan kepada semangat Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan ‘menyelamatkan’ Natrah.

PENULIS ialah wartawan Mingguan Malaysia lulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari UIAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya