KESEIMBANGAN keselamatan serantau terus diancam risiko percaturan ketenteraan yang akan membuka tirai konflik berintensiti tinggi dan perlumbaan senjata nuklear sukar dikawal.
Persaingan sengit dan barisan strategi yang dicanang oleh Amerika Syarikat (AS) serta China dijelmakan dalam pelbagai rentak, diselami mesej dan amaran dalam percubaan membentuk keutuhan cegah rintang berkesan.
Provokasi dan mesej cuba disampaikan oleh pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un melalui siri ujian peluru berpandu menyaksikan reaksi timbal balik yang diduga, dengan latihan ketenteraan bersama oleh Jepun dan AS dibarisi Armada Ketujuh dipimpin kapal pengangkut pesawat, USS Abraham Lincoln, bulan lalu.
Ini disusuli perancangan untuk latihan bersama terbesar dalam sejarah kerjasama kedua-dua negara pada hujung tahun ini bersandarkan kepada ancaman Beijing secara bersasar.
Dasar dan tindakan agresif Beijing dalam mengubah keseimbangan serantau melalui strategi sistematik dan berstruktur dengan berpaksikan perancangan kaedah tiga berangkai, membina dominasi serantau bertunjangkan nilai dan bentuk yang akan diukir oleh China, menghalang kemaraan pengaruh dan power projection atau unjuran kuasa AS.
Walaupun terpaksa bergelumang dengan dilema keselamatan serantau, Beijing tetap teguh dengan pendirian untuk meneruskan momentum strategi sekatan secara total.
Beijing turut sedar ancaman Pyongyang akan dijadikan faktor utama dalam justifikasi kepada AS dan Jepun untuk memperkukuh keupayaan cegah rintang dan pertahanan lebih menyeluruh dan bersepadu, seperti dicerminkan melalui sistem pertahanan antipeluru berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) di Korea Selatan yang dilihat Beijing sebagai alat percaturan untuk menyasarkan pangkalan strategik China berbanding Pyongyang.
Ancaman berganda Pyongyang dan Beijing menyaksikan reaksi spontan yang menggambarkan keruncingan kegusaran serantau di mana legasi sejarah pahit Seoul dan Tokyo yang kerap menjadi duri dalam daging diketepikan sekarang untuk memasang langkah memperkukuh jentera pertahanan tiga pihak bersama AS.
Tokyo meneruskan jalinan pertahanan strategik dalam usaha untuk menggilap kesiapsiagaan kebolehan cegah rintang dan kapasiti ofensif melalui pemeteraian pakatan dan kerjasama pertahanan dan ketenteraan dengan Australia melalui Reciprocal Access Agreement (RAA), diikuti kemungkinan jalinan sama dengan New Zealand dan United Kingdom (UK).
Strategi pemerkasaan pertahanan komprehensif diteruskan dengan imbuhan kerjasama 2+2 dengan Filipina dalam spektrum pertahanan dan dasar luar serta menggandakan usaha untuk diserapkan dalam jalinan pakatan pengintipan Five Eyes dianggotai Kanada, AS, UK, Australia dan New Zealand.
Ini akan memperluas sumber dan akses kepada maklumat dan sumber sulit serta kritikal dalam mengekang ancaman Beijing dan Pyongyang.
Ini diikuti dengan lawatan ke rantau Asia Tenggara oleh Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dalam usaha meraih sokongan dan jaminan keyakinan.
PERANG DUNIA KEDUA
Berbekalkan kepada jaminan pertahanan daripada Washington, Tokyo yang sebelum ini mengekalkan pertalian rapat dengan Moscow terpaksa mengubah haluan dan sasaran dengan muncul sebagai antara suara global yang lantang dalam mengkritik tindakan Kremlin dan mengenakan sekatan.
Hubungan kian renggang dengan tindak balas Moscow untuk meningkatkan tekanan kepada Tokyo dalam pertikaian wilayah di Kepulauan Kuril. Ancaman tiga arah daripada Beijing, Pyongyang dan Moscow terhadap Tokyo mencetus fenomena keselamatan terbesar sejak Perang Dunia Kedua.
Lawatan Menteri Luar China, Wang Yi ke Kepulauan Pasifik pula yang disusuli tindakan pantas Australia di bawah kepimpinan baharu, Anthony Albanese untuk mematahkan momentum percubaan Beijing dengan lawatan sama Menteri Luar, Penny Wong sempena Forum Kepulauan Pasifik.
Penny Wong yang juga anak kelahiran Malaysia berdepan situasi sukar untuk menawarkan pakej dan strategi baharu Australia dalam saingan dengan Beijing untuk memenangi hati dan minda negara kepulauan tersebut terutama melibatkan polisi impak perubahan iklim yang merupakan ancaman utama dihadapi mereka serta aliran modal dan pembangunan infrastruktur.
Washington, Canberra dan Wellington kekal berputih mata menyaksikan kelunturan paksi pendirian negara-negara tersebut menerima tawaran Beijing dalam memperkuat ikatan pertalian terutama aspek ketenteraan dan potensi pembinaan pangkalan tentera laut yang akan melonjak kapasiti kuasa ofensif Beijing.
AS kini sedar bahawa mereka terpaksa melipatgandakan usaha untuk mengekang sandaran Beijing terhadap kepentingan geostrategik serantau.
Walaupun terlambat dari segi saluran modal, sokongan dan jaminan jangka masa panjang, AS akan mengharapkan strategi ancaman tindak balas terhadap Kepulauan Solomon dan negara kepulauan lain itu akan menghindar sangkutan lebih mendalam dengan Beijing.
Lawatan Presiden AS, Joe Biden ke Asia Timur minggu lalu mengundang reaksi setimpal dan cetusan amaran yang dilihat Beijing sebagai perlu dalam memberikan mesej jelas kepada unjuran dan polisi kekangan Washington yang dilihat sebagai tindakan provokasi terhadap Beijing.
Beijing dan Moscow bertindak untuk mencetus gabungan latihan ketenteraan di Laut Jepun dan Laut China Timur dengan jet pejuang dan pesawat pengebom kedua-dua negara semasa lawatan Biden di Jepun.
Tokyo dan Washington sekali lagi terpaksa bertindak balas terhadap amaran provokasi ini dengan melancarkan latihan bersama melibatkan jet pejuang F-16 dan F-15 kedua-dua negara sehari selepas tindakan Beijing dan Moscow itu.
Kenyataan Biden dalam menggariskan kesediaan Washington untuk mempertahankan Taiwan melalui campur tangan ketenteraan secara langsung jelas mengundang kemarahan Beijing yang bertindak balas dengan latihan ketenteraan berdekatan perairan Taiwan.
Tirai spektrum konflik serantau yang baharu berlandaskan perlumbaan senjata berkapasiti nuklear dan futuristik bakal dibuka dan impak domino terhadap kestabilan serantau dan global akan kekal berpanjangan. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya (UM).










