APABILA disebut purana, kita biasanya teringat kitab-kitab agama Hindu yang memuatkan mantera memuja dewa-dewi. Kita mungkin menganggap purana adalah buku-buku suci berstatus kudus yang hanya sesuai dan perlu diketahui oleh penganut Hindu.
Bagaimanapun, secara realiti, istilah purana itu sendiri dalam bahasa Sanskrit dan Tamil membawa makna lama atau kuno. Maka harus diketahui bahawa purana bukan kitab agama dan statusnya bukanlah kudus. Sebaliknya, ia merupakan cerita, mitos dan legenda yang disampaikan dengan memasukkan unsur agama, ajaran moral dan kisah dewa-dewi mengikut tradisi Hindu dan Jain, ribuan tahun dahulu.
Untuk memudahkan pemahaman, kita ambil contoh epik Ramayana. Teks itu mengetengahkan cerita asas mengenai watak Rama, Sita, Hanuman dan Ravana. Maharishi Valmiki selaku penulis atas penyelenggara teks berjaya memasukkan unsur-unsur agama Hindu ke dalamnya.
Epik Ramayana asal dikarang dalam bahasa Sanskrit tetapi sudah tersebar ke seluruh dunia dalam pelbagai versi dan bahasa mengikut adaptasi setempat. Misalnya, Hikayat Seri Rama di negara kita tidak lagi mengangkat Rama sebagai inkarnasi Vishnu. Sebaliknya, penyampaian cerita sama ada dalam hikayat atau wayang kulit lebih menumpukan kepada perkara asas iaitu kisah Rama, Sita, Hanuman dan Ravana. Cerita asas inilah yang mampu untuk terus bertahan dalam pelbagai budaya dan agama di seluruh dunia, walaupun tidak dinafikan dalam kalangan penganut Hindu, ramai yang menganggap epik Ramayana dan Mahabharata sebagai teks suci.
Sekiranya mengkaji epik, hikayat atau kisah pengembaraan dalam tradisi dan tamadun manusia di seluruh dunia, kita akan menemui plot atau jalan cerita yang hampir serupa. Rata-rata manusia di seluruh pelosok dunia suka mengangkat cerita tentang seorang wira dalam komuniti mereka yang melakukan pengembaraan.
Secara ringkas, watak wira akan terpanggil atau terdesak untuk memulakan suatu perjalanan jauh, sama ada untuk mencari sesuatu atau kerana terbuang seperti dalam Ramayana dan Mahabharata. Dalam perjalanan atau pengembaraan itu, muncul pula watak lain yang menjadi guru, pelindung atau mentor kepada wira. Watak wira terjebak dalam situasi di mana dia tidak boleh lagi menarik diri atau menyerah kalah. Dia terpaksa berdepan dengan suatu kuasa jahat yang amat kuat.
Dalam usaha mencari kebenaran atau keadilan, watak wira terus menghadapi pelbagai rintangan yang sebenarnya membantu mendewasakan dan menjadikan wira lebih berwibawa sebagai seorang pemimpin pada akhir cerita. Formula kuno ini masih digunakan pada masa kini, misalnya dalam siri filem Star Wars yang terus menarik minat generasi demi generasi.
Plot yang lebih kurang sama turut digunakan karya purana dalam tradisi India-Hindu. Vyasa dikreditkan sebagai pengarang 18 purana utama (Maha Purana). Setiap satu menggunakan dewa-dewi dalam tradisi Hindu sebagai watak utama, misalnya Brahma, Vishnu, Shiva dan Skanda.
THAIPUSAM
Saya kini dalam proses melakukan penceritaan semula Skanda Purana untuk bacaan khalayak pelbagai kaum, agama dan latar belakang di Malaysia. Teks purana ini dinamakan sempena Dewa Skanda yang juga dikenali seperti Kartikeya, Kumaran, Shanmugam, Subramaniam, Velan dan Murugan. Nama paling dikenali penduduk Malaysia ialah Murugan yang dikaitkan dengan sambutan Thaipusam penuh meriah pada setiap tahun, khususnya di Batu Caves dan Pulau Pinang.
Selain India, Murugan juga sangat sinonim dengan diaspora Tamil di Malaysia, Sri Lanka, Singapura, Kanada, Afrika Selatan, Indonesia, Thailand, Surinam dan sebagainya. Dewa itu turut diperkatakan dalam epik Mahabharata, Bhagavad Gita dan Rig Veda sebagai dewa perang.
Kita sudah biasa melihat patung (bukan berhala) Murugan berwarna emas di Batu Caves sejak Januari 2006. Patung setinggi 42.7 meter itu pernah diiktiraf tertinggi di dunia. Bagaimanapun, pada April 2022, patung Murugan setinggi 44.5 meter siap dibina di Tamil Nadu, India dan merampas rekod patung tertinggi di Malaysia.
Buku berjudul Khanda Puranam yang sedang saya usahakan dalam bahasa kebangsaan tentu sahaja merujuk kepada Murugan (Khandan, Skanda). Namun begitu, agak menarik untuk diperhatikan bahawa Shiva muncul secara amat menonjol dalam kesemua 18 buah Maha Purana.
Ada enam mazhab dalam kalangan penganut Hindu. Dua mazhab utama yang saling bersengketa sejak ribuan tahun dahulu ialah Saivisme (Shiva) dan Vaishnavisme (Vishnu). Maka, agak menarik untuk diperhatikan bagaimana dalam Skanda Purana, terdapat usaha untuk menyatukan dan meleraikan persengketaan antara pengikut Shiva dan Vishnu.
Kisah Murugan juga tentulah amat penting dalam purana ini. Penduduk Malaysia sudah tahu tentang sambutan Thaipusam. Namun begitu, tidak ramai orang (termasuk orang Hindu) yang tahu makna sebenar sambutan itu yang ada dihuraikan dalam buku Malaiur Manikam (2015).
Dalam situasi inilah saya yakin versi penceritaan semula purana itu dengan judul Khanda Puranam boleh membantu orang ramai menimba ilmu. Teks Skanda Purana yang asal merupakan purana paling panjang dalam kalangan 18 buah Maha Purana. Namun begitu, saya tidak menceritakan keseluruhan kandungan seperti yang saya lakukan bagi kitab Bhagavad Gita (2021).
Sesungguhnya, kesemua purana memuatkan ajaran Hinduisme secara terang-terangan. Malah, dalam Skanda Purana yang asal, terdapat banyak bahagian yang tidak menggerakkan plot atau jalan cerita, sebaliknya mengagung-agungkan Shiva serta menghuraikan cara memuja dewa itu.
Maka, saya secara penuh sedar membuang semua bahagian itu kerana saya tidak mahu buku Khanda Puranam yang sedang saya usahakan menjadi sebuah buku penyebaran agama. Sebaliknya, saya hanya mengambil bahagian cerita yang membantu perkembangan plot. Saya percaya, Khanda Puranam akan membantu khalayak pelbagai kaum memahami konsep purana dan menikmati kisah pengembaraan seorang wira bernama Murugan. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.









