ALHAMDULILLAH, hari ini kita sudah berada dalam 5 Syawal. Maknanya, sudah lima hari kita kembali kepada fitrah iaitu sudah boleh makan pada waktu siang hari dan tidak lagi menjalani ibadat puasa.
Rata-rata sebahagian besar umat Islam menyambut Aidilfitri tahun ini dalam suasana lebih meriah. Tidak lagi terikat dengan larangan perintah kawalan pergerakan yang mana dalam tempoh dua tahun lalu, pergerakan beraya di kampung disekat. Hanya boleh menyambut hari lebaran di kawasan masing-masing.
Sepanjang Ramadan, pasti majoriti umat Islam berjaya melipatgandakan amal ibadat. Siangnya kita berpuasa, malamnya diisi dengan program di masjid dan surau iaitu melaksanakan solat isyak berjemaah. Seterusnya solat tarawih dan bertadarus al-Quran.
Demikianlah, kelebihan Ramadan yang sentiasa memberi kita motivasi melakukan amal ibadat. Ditambah pula dengan biah (persekitaran) solehah yang subur di Malaysia. Semua masjid dan surau penuh dengan pelbagai program ibadat.
Pada 10 malam terakhir Ramadan pula, peluang beriktikaf ditawarkan kepada para jemaah untuk mengejar lailatulqadar. Maka, ramailah yang hadir berqiamullail dalam keenakan sesetengah insan lain dibuai mimpi indah.
Jika kita telusuri, perintah puasa Ramadan itu natijah yang diharapkan daripadanya adalah mencapai tahap takwa. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183)
Selepas sebulan puasa Ramadan, yang penting adalah bagaimana mengekal dan meneruskan kesinambungan ibadat itu dalam Syawal dan bulan-bulan seterusnya.
Ibarat kita menjalani latihan intensif atau kursus jangka pendek sebulan. Yang kita mahu tengok ialah apa hasilnya. Contohnya, selepas sebulan bertungkus lumus menelaah pelajaran, para pelajar di universiti sudah pasti mahu melihat kejayaannya melalui keputusan peperiksaan yang diumumkan.
Demikian juga kita. Sebulan Ramadan yang disifatkan madrasah mendidik umat Islam menunaikan pelbagai ibadat, kini pada Syawal kita bakal melihat apakah hasilnya. Adakah ibadat kita makin bertambah atau sama sahaja atau makin menurun?
Sebabnya, umat Islam beribadat bukan kerana menjadi hamba Ramadan. Sebaliknya kerana kita adalah hamba Allah SWT. Buat kebaikan bukan bermusim tetapi sepatutnya pada setiap masa selagi hidup dikandung badan.
Mengulas hal ini, ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata, jadilah kamu hamba-hamba Allah SWT dan jangan kami menjadi hamba Ramadan. Ringkasnya ini bermaksud jangan berbuat baik hanya bermusim.
Jangan kita hanya rajin solat di masjid dan surau kerana melihat suasana dan orang lain berbuat demikian. Sebaliknya, hendaklah kita mengekalkan semangat dan momentum solat berjemaah dalam Ramadan itu sampai bila-bila.
Ramadan adalah bulan al-Quran. Sememangnya ramai yang membaca kitab suci itu sepanjang Ramadan. Justeru, lanjutkan budaya itu agar menjadi ‘darah daging’. Paling tidak, budayakan membaca satu muka sehari dan tetapkan untuk khatam al-Quran minimum sekali setahun.
Tentang bacaan al-Quran, Rasulullah SAW mengingatkan kita kedudukan seseorang di akhirat kelak adalah bergantung kepada akhir ayat yang dibaca. Semakin banyak dibaca al-Quran, makin tinggi kedudukan kita.
SEDEKAH
Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Di akhirat kelak, ahli al-Quran akan dikatakan kepada mereka: Bacalah (al-Quran) dan naiklah (kedudukanmu) serta tartilkanlah (bacaanmu) sebagai mana engkau membacanya secara tartil sewaktu di dunia. Sesungguhnya kedudukan dan tempat tinggalmu (di syurga) berdasarkan akhir ayat yang engkau baca.” (Riwayat Tirmidzi)
Satu lagi amalan yang mesti diteruskan adalah bersedekah. Dr. Yusuf dalam bukunya, Peranan Nilai dan Akhlak dalam Ekonomi Islam menyebut salah satu nilai rabbani (ketuhanan) paling utama dalam Islam ialah penetapan bahawa manusia bukannya pemilik harta yang hakiki. Sebaliknya, hanya diberi kuasa untuk memanfaatkan harta Allah.
Ketika Allah SWT membicarakan sifat orang yang bertakwa, Allah SWT menyatakan salah satu daripada sifat itu ialah orang yang menginfakkan harta di jalan-Nya. Menginfakkan harta di jalan Allah SWT adalah pendekatan al-Quran bagi memanfaatkan harta dan mendidik hati orang mukmin.
Antara firman Allah tentang sedekah adalah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Fatir: 29)
Lebih penting lagi, sedekah jariah ini boleh membantu kita di akhirat kelak. Sebabnya, dengan sedekah jariah ia memberi maksud mengalir kerana sedekah tersebut bersifat kekal dan manfaatnya boleh digunakan walaupun penyumbangnya sudah meninggal dunia.
Ini dijelaskan menerusi hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Riwayat Muslim)
Setelah sebulan berpuasa, eloklah jika kita meneruskannya dengan menunaikan puasa sunat terutama puasa enam atau puasa sunat enam hari dalam Syawal. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal dan tidak disyaratkan ditunaikan secara berturut-turut. Maksudnya, boleh puasa selang-seli atau puasa dua hari seminggu asalkan cukup enam hari dalam Syawal.
Walaupun puasanya cuma enam hari, namun ganjarannya amat besar. Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berpuasa bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)
Al-Imam al-Nawawi r.h dalam mensyarahkan hadis ini menyebut bahawa ia menjadi dalil bagi mazhab Syafie, Hambali dan juga Daud (al-Zahiri) bahawa disunatkan berpuasa enam pada Syawal manakala fadilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.











