'Mana air aku tadi?' - Utusan Malaysia

‘Mana air aku tadi?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK menggalas tugas sebagai pemandu van jenazah tidak dinafikan pelbagai kejadian aneh pernah saya alami. Banyak juga yang menginsafkan, namun semuanya saya jadikan iktibar dan pengajaran untuk diri sendiri. Ada satu kisah yang ingin saya ceritakan. Semoga ia boleh dijadikan renungan untuk pembaca sekalian. Tetapi nama dan lokasi arwah terpaksa saya rahsiakan demi untuk menjaga aib si mati.
Begini ceritanya…
Pada awal tahun 2008 lalu saya diminta membawa pulang jenazah seorang lelaki dari Kuala Lumpur ke kampung keluarganya di selatan tanah air. Melalui cerita yang saya dengar arwah yang berusia dalam lingkungan 50-an, seorang kontraktor yang cukup terkenal dan berpengaruh. Dia meninggal dunia setelah terlantar hampir seminggu akibat darah tinggi dan serangan jantung.
Keluarganya memutuskan agar jenazah disemadikan di kampung kelahirannya. Saya menuntut jenazah arwah tanpa sebarang kesulitan. Maklumlah arwah meninggal di hospital swasta bertaraf lima bintang, jadi layanannya pun memang berkelas A juga. Sebelum bertolak pulang saya disapa oleh seorang pembantu hospital yang berada di situ dan meminta saya datang ke kaunter mengambil beberapa barang peribadi arwah.
Saya belek beberapa barang di dalam plastik itu. Terdapat dompet, segugus kunci, dan beberapa barangan peribadi lain. Namun sebaik sahaja saya ingin melangkah menuju ke kenderaan, tiba-tiba petugas tersebut memanggil saya.
“Ini ada satu kotak lagi barang arwah. Tapi encik rasa perlu ke nak bawa balik untuk beri kepada keluarganya?” tanya lelaki tersebut sambil mengerutkan dahi.
Saya ambil kotak dari tangannya dan membukanya. Sebaik terpandang objek di dalamnya serta merta darah saya tersirap. Nampak beberapa botol kaca yang penuh berisi air tersusun kemas di dalamnya.
“Eh, ini minuman keras ini,” kata saya perlahan. Lelaki di hadapan saya mengangguk. Nampak raut mukanya yang serba salah seolah tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Macam mana benda ini boleh ada pada arwah?” tanya saya. Lantas petugas itu menceritakan kepada saya. Katanya, ketika arwah mendapat rawatan, ramai kenalannya melawat. Ada membawa minuman keras ini kononnya itu permintaan arwah.
“Saya pun tak tahulah bang. Tapi kata rakannya sewaktu hayat arwah dia memang tak boleh lekang dengan air ini. Sebab itulah dia minta kawan-kawannya datang hantar. Kalau abang check botol di dalam itu ada yang sudah tinggal separuh. Mungkin arwah sempat minum agaknya,” kata lelaki itu panjang lebar.
Saya terdiam. Dalam hati masih tertanya-tanya. “Eh, tapi di hospital mana boleh bawa minuman keras? tanya saya lagi. “Bang, ini hospital lima bintang. Nak bawa apa pun tak ada hal. Sini layanan kelas VVIP bang. Janji ada duit, semua boleh. Bukan ada sesiapa check pun,” katanya perlahan.
Saya mengangguk faham. Saya akui kuasa wang mampu mengubah segalanya. Sebab itu saya sering berpesan kepada keluarga agar jangan menjadi hamba duit. Biar hidup sederhana, tetapi berkat.
Sebelum bertolak saya berpesan kepada petugas itu agar membuang saja kotak berisi minuman keras itu. Saya pesan kepadanya agar merahsiakan perkara tersebut. Takut ada pula berfikir buruk tentang arwah nanti. Bagi saya apa yang terjadi itu biarlah antara arwah dan Allah SWT sahaja. Saya tidak mahu berburuk sangka atau mengadili perbuatan arwah. Bukan tugas kita sebagai manusia menilai buruk baik serta pahala dan dosa seseorang.
Saya memandu dengan tenang di lebuh raya. Kenderaan tidak banyak ketika itu mungkin disebabkan hari bekerja. Sesekali saya memicit tengkuk akibat keletihan. Saya toleh jam di papan pemuka kereta. Sudah pukul 7.20 malam. Saya berhenti di perhentian Ayer Keroh untuk solat Maghrib sebelum menyambung perjalanan. Saya pecut sedikit kenderaan supaya dapat cepat sampai ke kampung arwah kerana mengikut kata keluarganya mereka ingin mengebumikan arwah malam ini juga. Sedang leka mendengar celoteh juruhebah di radio kenderaan tiba-tiba telinga saya menangkap satu bunyi aneh dari arah belakang. Terus saya perlahankan stereo untuk dengar lebih teliti.
“Ehemm…Hmm…Hmm…”
Saya tergamam. Serta merta jantung berdegup kencang. Pelik! Bunyi apa pula itu? Takkanlah dari jenazah? Saya panik. Waktu itu terbit rasa menyesal kerana tidak membawa rakan setugas Amran yang selalu menemani saya sebelum ini. Ikutkan memang dia mahu ikut, tetapi disebabkan dia masih berada di bengkel kerana menunggu pomen menyiapkan keretanya, saya terpaksa pergi seorang diri.
“Ehemmm…Ehemm…”
Bunyi itu masih kedengaran lagi. Tetapi kali ini lebih kuat dan jelas berbanding tadi. Saya mula cemas. Terus mulut saya berkumat-kamit membaca ayat suci al-Quran. Terfikir juga untuk berhentikan kenderaan, tetapi bila fikirkan apa yang boleh saya lakukan? Takkan tinggalkan kenderaan dan minta tolong dari pengguna lalu lintas lain? Tak mungkin ada sanggup membantu.
“Krohh… krohh… mana air aku tadi? Mana air aku tadi?” Berulang kali suara itu menerjah ke telinga sehinggakan terasa ingin luruh jantung dibuatnya. Saya kuatkan semangat. Saya laungkan azan tanpa henti. Radio di kenderaan juga saya matikan dan pasang alunan ayat-ayat suci al-Quran.
Terdetik di hati apakah apa yang berlaku ketika ini ada kaitan dengan kotak minuman keras yang diserahkan petugas hospital tadi kepada saya?
Gangguan suara tersebut terus berlarutan sepanjang perjalanan ke kampung arwah. Saya hanya pekakkan telinga sambil membaca ayat suci al-Quran. Saya tahu ada syaitan yang mengganggu tugas dan perjalanan saya ketika itu.
Lebih kurang pukul 11 malam, saya sampai di rumah orang tua arwah. Setelah jenazah dibawa masuk ke dalam rumah, terus saya minta diri. Alhamdulillah perjalanan pulang lancar tanpa gangguan. Bila sampai saya terus menuju ke masjid untuk menghantar kenderaan. Tetapi sebaik saya buka pintu belakang untuk mengemas peralatan, saya tercium bau amat pelik. Bau tengik. Saya amati dengan teliti rupa-rupanya ada limpahan air di bawah tempat pengusung.
Astaghfirullahhalazim. Memang tak salah lagi air yang melimpah itu adalah minuman keras. Saya terfikir dari mana pula datangnya? Sekali lagi saya tidak mahu membuat andaian walaupun jawapannya sudah terdetik di hati. Malam itu juga saya cuci lantai kenderaan itu.
Setelah benar-benar bersih barulah saya bertolak pulang. Dalam perjalanan saya ligat berfikir tentang apa yang terjadi. Saya berdoa agar tiada kejadian tidak diingini berlaku sewaktu pengebumian arwah. Saya titipkan juga doa buat arwah agar dosa-dosanya diampunkan. Semoga apa yang berlaku dijadikan pengajaran. Mungkin ada sesuatu yang ingin ditunjukkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.