Kembali memugar minat membaca - Utusan Malaysia

Kembali memugar minat membaca

KAUM India semakin giat menghasilkan karya bahasa kebangsaan yang menjanjikan kelainan tema, watak dan gambaran budaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK memasuki fasa endemik, kehidupan masyarakat bergerak menuju situasi normal atau norma baharu.

Sekolah kembali mengadakan sesi secara bersemuka, perpustakaan sudah boleh dikunjungi untuk membaca dan meminjam serta kedai buku sudah boleh dikunjungi untuk memilih dan membeli buku diminati.

Sejak Mac 2020, orang ramai juga sudah membiasakan diri membaca dan membeli buku secara dalam talian.

Pelbagai pelantar disediakan bagi memastikan orang ramai tetap ada akses kepada bahan bacaan bermutu, sama ada untuk bacaan santai atau kajian ilmiah. Namun begitu, pencinta tegar buku tetap memilih buku fizikal untuk dinikmati sepuas-puasnya.

Baru-baru ini, saya dan beberapa rakan berbincang tentang minat membaca dalam kalangan generasi muda.

Kami memperkatakan situasi semasa serta apa yang boleh dilakukan untuk memupuk dan memugar minat membaca karya sastera kebangsaan dalam jiwa kanak-kanak dan remaja pelbagai kaum.

Guru tuisyen, A. Sugumaran @ Suguz meluahkan rasa kecewa kerana dia secara peribadi gagal menggalakkan anak muridnya berminat membaca buku cerita dalam bahasa kebangsaan.

“Golongan yang berurusan dengan saya, sama ada ibu bapa atau pelajar, amat taksub terhadap bahasa Inggeris. Hasil pemerhatian dan pengalaman saya, ramai masih memandang rendah kemampuan bahasa kebangsaan dan mutu karya sastera kebangsaan,” katanya.

Bagaimanapun, dia masih optimis bahawa ada peluang untuk mengatasi situasi berkenaan. Dia berharap perkongsian rakan-rakan lain tentang topik ini akan turut menjadi panduan kepadanya untuk membimbing pelajar kelas tuisyen.

Turut terlibat dalam perbincangan ini ialah S. Suwedan dari Kapar, Selangor. Pesara guru ini ada pengalaman mengajar subjek Bahasa Malaysia lebih empat dekad.

Dia berpendapat, media cetak seperti akhbar dan majalah boleh berperanan menggalakkan kanak-kanak dan remaja kembali minat membaca buku bermutu.

“Mungkin cerita boleh disiarkan secara bersiri pada setiap minggu atau setiap bulan. Kuiz boleh disediakan berpandukan cerita itu di mana peserta perlu membaca keseluruhan cerita dengan teliti untuk menjawab soalan.

“Mungkin media elektronik dan portal dalam talian juga boleh melakukan perkara sama dengan menawarkan hadiah menarik,” graduan Universiti Sains Malaysia (USM) itu mengusulkan.

Situasi pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu menyedarkan kita betapa penting peranan ibu bapa dalam membimbing, mendidik dan melentur anak-anak menjadi insan berilmu, berpekerti dan berjaya dalam hidup.

Menyedari hakikat ini, Parimala Devi Meenakshi Sundram dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang menekankan peranan ibu bapa dan keluarga bagi memugar minat membaca dalam jiwa kanak-kanak dan remaja.

“Ibu bapa atau ahli keluarga yang lebih dewasa perlu menjadi suri teladan dengan turut memiliki minat membaca. Hal ini lebih penting bagi ibu bapa kerana bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya.

“Jika ahli sebuah keluarga selalu membaca akhbar, majalah, buku atau bahan digital dan selalu mengadakan perbincangan topik-topik yang dibaca, secara automatik kanak-kanak dalam keluarga itu akan ada minat serupa,” guru berkenaan menghuraikan.

INSANIAH

Turut berkongsi pandangan hampir sama ialah Murugaiyah Suppiah, seorang jurutera sistem rangkaian komunikasi, juga dari Bukit Mertajam.

Katanya, apabila mereka membincangkan perihal kanak-kanak dan remaja bukan Melayu secara khusus, dia mengingatkan hakikat bahasa ibunda atau bahasa Inggeris menjadi media komunikasi dalam kebanyakan keluarga.

“Salah satu cara sesuai untuk menggalakkan kanak-kanak dan remaja bukan Melayu berminat membaca buku bahasa kebangsaan adalah dengan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan di rumah, sebagai tambahan kepada bahasa ibunda dan bahasa Inggeris.

“Tentulah ibu bapa yang perlu memberikan galakan serta menyediakan suasana kondusif untuk anak-anak menggunakan bahasa kebangsaan bersama rakan-rakan pelbagai kaum.

“Apabila mereka sudah selesa menggunakan bahasa kebangsaan, maka lebih mudah untuk memugar minat membaca karya sastera kebangsaan.

“Tambahan pula, ramai penulis kaum India kini menhasilkan karya sastera kebangsaan yang sangat menarik,” katanya.

Pandangan ini memang benar kerana hasil kajian peringkat sarjana yang saya lakukan dan diterbitkan sebagai buku dengan judul Kavya Sastra (2021), kaum India semakin giat menghasilkan karya bahasa kebangsaan yang menjanjikan kelainan tema, watak dan gambaran budaya.

Antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020) dan Peluru Aksara (2020) turut membuktikan perkembangan positif ini.

Memandangkan kini sesi persekolahan secara bersemuka sudah diadakan semula, guru yang prihatin tentu bersemangat untuk memainkan peranan membimbing dan memupuk pelbagai kemahiran insaniah sebagai persediaan pelajar menuju alam dewasa.

Tumpuan bukan hanya kepada aspek akademik, sebaliknya termasuk impian melahirkan insan yang kamil, selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Maka, Selvarajah Murugesan, seorang guru subjek Bahasa Tamil dari Jenjarom, Selangor menggesa sekolah rendah dan menengah segera menyusun program yang mampu memupuk minat membaca.

“Amalan membaca buku bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar boleh diterapkan menerusi pertandingan membaca dan bercerita.

“Boleh dimulakan dengan meminta pelajar membaca buku cerita yang nipis dan ada ilustrasi berwarna-warni. Panitia bahasa atau pusat sumber boleh menyediakan hadiah seperti buku atau wang tunai.

“Saya optimis bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pelbagai syarikat swasta di sekitar sekolah terbabit akan sedia menyokong usaha murni ini,” katanya yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya, Shah Alam.

Berdasarkan semangat ditunjukkan rakan-rakan yang terlibat dalam perbincangan ini, ternyata usaha memugar minat membaca boleh dilakukan dengan mudah. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Perlu juga diingat, melentur buluh biarlah dari rebung. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×