Kelam-kabut bila raya mengejut - Utusan Malaysia

Kelam-kabut bila raya mengejut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDANG saya menunaikan solat maghrib di surau, tiba-tiba telefon di dalam poket saya bergetar tanpa henti. Usai solat sunat, saya keluarkan telefon dan memandang skrin dengan penuh tanda tanya.

Tertera notifikasi hampir 500 mesej baharu daripada beberapa kumpulan WhatsApp. Saya membaca mesej pertama beberapa kali. Kita raya esok? Saya tergamam, esok Isnin, bukankah hari raya sepatutnya hari Selasa?

Saya terus menghubungi ibu di rumah untuk mendapatkan kepastian. Setelah pasti akan berita itu, saya terus memaklumkannya kepada pengerusi surau kami, Pak Cik Rashid, yang memandang saya dengan penuh kehairanan dan kemudian bertanya adakah saya pasti itu bukan berita palsu?

Melihat situasi tersebut, beberapa jemaah lain menghampiri kami. Saya mempertontonkan video pengumuman rasmi pengisytiharan tarikh Hari Raya Aidilfitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Mereka berpandangan sesama sendiri, masing-masing seolah-olah sukar untuk menerima kenyataan ini. Ada yang merasakan itu ialah rakaman tahun lalu; ada pula yang mula keliru dan bertanya sesama sendiri, “hari ini Ahad atau Sabtu?”

Suasana bertambah gamat apabila Pak Cik Rashid mengesahkan berita ini. Kami bertanya sesama sendiri sama ada kita boleh mula bertakbir atau patut menunggu arahan daripada jabatan agama negeri terlebih dahulu.

BAJU RAYA

Menurut rancangan asal, satu perbincangan akan diadakan selepas solat tarawih bagi menentukan sama ada takbir raya dari rumah ke rumah akan dibuat pada malam esok. Memandangkan hari raya tiba mengejut, jawatankuasa surau memutuskan untuk bertakbir di surau sahaja.

Kanak-kanak yang sedang menunggu untuk menunaikan solat tarawih pula kehairanan apabila dimaklumkan bahawa tiada solat tarawih pada malam tersebut.

Masing-masing terdiam dan cuma berpandangan sesama sendiri. Mereka bertambah hairan apabila diberitahu bahawa esok ialah hari raya dan mereka harus pulang ke rumah selepas selesai solat isyak.

Begitu juga dalam kalangan jemaah wanita. Menurut kakak, pada mulanya para jemaah terpinga-pinga dan sukar untuk menerima berita ini walaupun setelah menonton video pengumuman tarikh raya beberapa kali.

Namun, setelah mendengar pengumuman daripada pengerusi surau, suasana menjadi kelam-kabut.

Ramai yang termangu memikirkan juadah raya yang belum dimasak dan rumah yang belum dikemas. Mereka mula berkira-kira untuk keluar membeli ayam dan daging usai solat isyak.

Ada yang termenung memikirkan baju raya anak yang belum siap dijahit dan pelbagai juadah yang harus dimasak.

Ada yang berkira-kira untuk terus pulang ke kampung setelah solat supaya dapat berada di kampung pada pagi raya seperti dirancang. Ada pula yang termenung tanpa berkata apa-apa.

Akhirnya, saya dapat merasakan sendiri suasana raya mengejut yang telah menggemparkan kita semua.

Selama ini, saya hanya mendengar pesanan arwah nenek yang mengingatkan semua untuk bersiap awal agar sudah bersedia sekiranya berlaku raya mengejut.

Namun, saya hanya bersiap sedia awal tanpa pernah menghadapi situasi sebegitu, sehinggalah tahun ini. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×