Hari raya kali ini paling ceria

Hari raya kali ini paling ceria

Syukur dapat bertemu Syawal - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, umat Islam di negara ini telah empat kali menyambut Hari Raya Aidilfitri di bawah dua kerajaan dan dua Perdana Menteri berbeza.

Kali pertama dan kedua adalah sambutan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 15 Jun 2018 dan 5 Jun 2019. Kali ketiga dan keempat adalah sambutan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Mei 2020 dan 13 Mei 2021.

Tercatat dalam rekod betapa meriahnya sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018 dan 2019 dengan puluhan ribu pengunjung menghadiri majlis rumah terbuka di Seri Perdana pada hari raya pertama, walaupun rakyat terkedu dengan perutusan hari raya 2018 oleh Dr. Mahathir yang menekankan keperluan untuk kerajaan berjimat atas nama ‘mengembalikan negara ke landasan yang betul.’

Begitu juga perutusan hari raya 2019 oleh Dr. Mahathir yang meminta rakyat ingat nikmat yang mereka kecapi bukanlah daripada hasil usaha sendiri tetapi titik peluh orang asing.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2020 dan 2021 pula diingati kerana kesuramannya setelah negara, malah seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 yang bermula Januari 2020. Malang menimpa Muhyiddin kerana tatkala mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, wabak Covid-19 mula merebak menjadikan negara berada dalam keadaan tertekan.

Tiada lagi majlis rumah terbuka di Seri Perdana pada era pemerintahan Muhyiddin, sebaliknya apa yang ada ialah ingatan demi ingatan kepada rakyat supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Solat tarawih dan solat sunat hari raya 2020, selain solat fardu biasa pula hanya boleh dilakukan secara berjemaah di surau atau masjid terpilih untuk sebilangan kecil jemaah atas nama SOP. Rakyat tidak dibenarkan bergerak merentas negeri untuk balik kampung, rumah terbuka juga tidak dibenarkan dan ziarah keluarga terdekat dibenarkan pada hari raya pertama dengan maksimum 20 orang tetamu sahaja.

Hari Raya 2021 pula disambut dalam suasana lebih teruk, hanya setelah tiga hari Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara ekoran penularan wabak Covid-19.

Ia disertai penguatkuasaan larangan rentas daerah dan rentas negeri di samping larangan terhadap aktiviti sosial, pendidikan dan sukan kecuali sukan individu di kawasan terbuka. Kali ini bukan sahaja balik kampung, tetapi ziarah hari raya juga tidak dibenarkan manakala solat sunat hari raya hanya dibenarkan dengan jumlah kehadiran jemaah yang terhad.

Dalam suasana ancaman kesihatan diikuti oleh ancaman ekonomi yang serius beginilah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021. Tentu ramai masih ingat, rekod tertinggi Covid-19 sebanyak 24,599 kes harian dan mengakibatkan 393 kematian tercatat lima hari selepas Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pada 26 Ogos 2021.

ENDEMIK

Begitupun, pelbagai langkah proaktif dilaksanakan oleh Ismail Sabri yang bermula dari era Muhyiddin untuk membendung pandemik Covid-19, akhirnya membuahkan hasil dicita-citakan. Ekoran itu, kelonggaran SOP mahupun pembukaan sektor-sektor tertentu serta peralihan fasa bagi negeri-negeri tertentu diumumkan oleh Ismail Sabri pada 15, 22 dan 29 September serta 15 dan 22 Oktober 2021.

Lebih menggembirakan adalah pengumuman oleh Ismail Sabri mengenai kebenaran merentas negeri mulai 11 Oktober 2021 selepas kadar vaksinasi populasi dewasa melepasi tahap 90 peratus.

Ini diikuti satu lagi pengumuman oleh Ismail Sabri pada 8 Mac lalu mengenai Fasa Peralihan Ke Endemik yang merupakan strategi keluar untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan hampir normal. Fasa yang bermula pada 1 April lalu membuka sempadan negara, memansuhkan had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dan had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti melibatkan perkumpulan ramai dan sebagainya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula mengumumkan bermula 1 Mei (semalam), pemakaian pelitup muka di luar bangunan serta imbasan kod tindak balas cepat (QR) MySejahtera apabila memasuki premis awam tidak lagi diwajibkan.

Disebabkan pelbagai inisiatif kerajaan inilah maka hari raya tahun ini dapat disambut penuh keceriaan dengan balik ke kampung, solat sunat hari raya, ziarah hari raya, ziarah kubur, malah rumah terbuka kini dibenarkan sepenuhnya. Tambah menceriakan umat Islam adalah pelbagai inisiatif bantu rakyat yang diumumkan Ismail Sabri sejak kebelakangan ini yang menunjukkan kepekaan beliau ke atas kesejahteraan mereka.

Paling diingati pastilah pengumuman pada 16 Mac lalu bagi membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang mula dikreditkan pada 18 April. Turut menceriakan ialah Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah dan sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta pada 25 April lalu.

Lebih menggembirakan adalah pemberian tol percuma dan diskaun tol kepada pengguna yang pulang berhari raya melibatkan 30 lebuh raya dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta.

Banyaklah lagi jasa bakti Ismail Sabri kepada pelbagai golongan rakyat lain termasuk mereka yang terkesan dengan Covid-19, mangsa banjir dan sebagainya sehingga menjadikan hari raya kali ini dapat disambut dengan penuh keceriaan.

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (Colgis), Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×