Di tangan sendirikah hala tuju UMNO? - Utusan Malaysia

Di tangan sendirikah hala tuju UMNO?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAHANKAN hak istimewa orang Melayu, Islam agama Persekutuan, kedaulatan raja-raja Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Itu teras kewujudan UMNO dan perlembagaan parti itu. Namun hari ini keadaan tidak berjalan seperti mana diharapkan?

Realitinya tidak perlu payah-payah buat pindaan tetapkan pemilihan parti dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Tapi disebabkan dalam UMNO sendiri ada kalangan pemimpinnya tidak ikhlas hendak ‘bunuh’ parti sendiri hingga menyebabkan orang Melayu pun lari, tindakan itu terpaksa diambil.

Tempoh pemilihan parti ditetapkan oleh kerana tidak mahu sokongan diterimanya daripada orang parti sendiri pecah akibat pertelingkahan dalaman.

Bahkan, bibit-bibit kuasa politik yang hilang dari tangan bangsawan waktu kemerdekaan negara dahulu, kelihatannya hari ini mahu dirasai semula.

Sekarang ini tahap sokongan orang Melayu kepada UMNO tidak boleh dipandang mudah. Adakah perjuangan UMNO itu untuk keutuhan Melayu, pertahankan Islam dan institusi raja masih lagi relevan hari ini? Balik-balik dicerita perjuangan Melayu Islam tetapi rentak keberadaan rasa prihatin itu tidak berbalik semula kepada orang Melayu.

Ambil contoh pilihan raya negeri (PRN) terakhir 12 Mac lalu di Johor. Dalam situasi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat, cuma dilonggarkan sedikit berbanding dua PRN sebelum ini pun dengan peratusan keluar mengundi kira-kira 50 peratus atau tepatnya 54.92, undi popular yang diraih UMNO/Barisan Nasional (BN) kurang 50 peratus. Cuma mampu memperoleh 599,753 undi atau 43.11 peratus.

Perikatan Nasional (PN) pula yang dianggotai dua parti Melayu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas masih terdaya memperoleh 334,457 undi atau 24.04 peratus. Bererti tidak semua undi orang Melayu itu pergi ke UMNO.

Itu belum dikira lagi undi Melayu ke Pakatan Harapan (PH) yang meraih keseluruhan 284,969 (20.48 peratus) undi. PKR, ‘kepala’ PH yang bertanding menggunakan logo sendiri memperoleh 82,556 undi atau 5.93 peratus manakala parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) buat pertama kali ke gelanggang pilihan raya masih boleh mendapat 48,072 atau 3.46 peratus undi. Di dua parti ini sahaja pengundi Melayu memberi undi kepada mereka.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula memperoleh 18,692 undi atau 1.34 peratus, Bebas dengan 10,007 (0.72 peratus) undi, Parti Warisan (6,523 atau 0.47 peratus) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih 4,880 (0.35 peratus) undi.

Kalau lebih fokus dan tepat lagi datanya, rujuk keputusan dua kerusi Dewan Undangan Negeri, Kempas dan Perling dalam Parlimen Pulai tempoh hari.

Calon UMNO di Kempas, Ramlee Bohani menang majoriti 3,514 undi, meraih keseluruhan 11,919 undi. Tetapi calon-calon Melayu daripada PKR dan PN masih boleh meraih masing-masing 8,405 dan 8,036 undi beserta Pejuang yang sempat mengaut 1,358 undi.

Jom ke Perling pula, meskipun calon BN, Tan Hiang Kee masih mampu meraih 15,281 undi tewas di tangan Liew Chin Tong dengan 3,347 undi majoriti, namun dipersoalkan ialah daripada pengundi mana Koo Shiaw Lee dari PN tetap boleh menyapu 8,829 undi.

Orang Melayu UMNO barangkali mengundi Hiang Kee, tapi belum cukup kerana Melayu lain pun cenderung mengundi Shiaw Lee.

BARISAN kepemimpinan BN meraikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac lalu. Di Johor, kemenangan dua pertiga BN seakan tiada makna apabila individu yang diberi mandat rakyat sebagai calon menteri besar diketepikan. Asas politik kemerdekaan negara yang dahulu pada 1940-an dan awal 1950-an kelihatan mahu berbalik. Jadi, di mana kedudukan UMNO? – UTUSAN/ FARIZ RUSADIO

RELEVAN

Adakah laungan perjuangan Melayu-Islam masih lagi relevan untuk UMNO peringatkan pengundi di kawasan luar bandar sedangkan undi Melayu di Mersing dan Batu Pahat pun boleh pergi ke Bersatu?

Jadi, kalau UMNO masuk gelanggang PRU15 secara solo dalam masa terdekat ini boleh menang berapa? Jika sekurang-kurangnya 90 kerusi Parlimen perlu bergabung dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk cukupkan majoriti mudah 112 kerusi.

Kalau 80 kerusi, belum cukup sekadar dengan GPS. Katakan 70, lebih 16 kerusi daripada sejumlah 54 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh UMNO sahaja dalam PRU14, maka wal hasil balik asallah seperti mana sejak Langkah Sheraton Februari 2020 – kerajaan campuran, alamatnya tak habis-habis berpolitik sampai ke hari ini.

Persoalannya juga, sebilangan pemimpin UMNO mahu terus berjawatan walaupun usia sudah lanjut. Hal-hal peremajaan parti tersangkut. Padahal faktor ini sahajalah boleh menjamin survival parti sekurang-kurangnya untuk 10 atau 20 tahun akan datang. Hanya keikhlasan dan berjiwa besar boleh menyegerakan peremajaan ini.

Ketika PRU15 nanti semua jentera parti sibuk menjaga negeri masing-masing. Jaga ‘diri’ sendiri berbanding semasa PRN seluruh jentera dari segenap pelosok negara bertumpu untuk menguat dan memenangkan parti di satu negeri itu. Ini pun satu hal juga untuk direnung fikirkan.

MUTLAK

Masalahnya kepada UMNO hari ini adalah seluruh parti mahu mengalahkannya. Tidak sahaja DAP, PKR dan Amanah tetapi bekas-bekas pemimpin tertinggi dan kanan UMNO pun mahu lenyapkan pengaruh parti ini.

Dalam tempoh dua dekad ini sejak Tun Abdullah Ahmad Badawi mencapai kemenangan terulung untuk BN pada PRU 2004 dengan memperoleh 70 peratus undi popular, berdikit-dikit peratusannya menurun hinggalah hari ini, sekitar 40 peratus.

Di Johor, kemenangan dua pertiga BN seakan tiada makna apabila individu yang diberi mandat rakyat sebagai calon menteri besar diketepikan. Asas politik kemerdekaan negara yang dahulu pada 1940-an dan awal 1950-an kelihatan mahu berbalik. Jadi, di mana kedudukan UMNO?

Selepas PRN Johor tempoh hari, yang dianggap rumusan sekali gus momentum kepada UMNO untuk melangkah gah ke gelanggang PRU15, ramai beranggapan “inilah masa dan ketikanya” untuk UMNO kembali sebagai pemerintah secara mutlak.

Kata mereka, rumah UMNO sudah siap, berbumbung lantai ada tile, siap perabot yang lengkap. Kalau hujan, orang Melayu boleh berteduh. Rumah Pas dahulunya siap. Tapi sekarang berlubang bumbung. Sebab Pas ada sedikit pecah belah dalaman, malah Tionghoa ‘takut’ pada Pas.

Rumah Bersatu pula tak siap, buktinya mereka tidak ada akar umbi. Rumah Pejuang dan Putra? Mana rumahnya? Tidak ada langsung kerusi yang menang dalam PRN Johor. Hilang deposit ada.

Cuma kalau diamati hujah-hujah tadi, barangkalikah masa depan UMNO bukan lagi di tangan sendiri. Tetapi…di tangan orang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN