RANCANGLAH perjalanan agar tidak berlaku kesesakan dan pada masa sama boleh mengelakkan kemalangan. – Ini nasihat biasa pihak berkuasa atau pak-pak menteri setiap kali musim perayaan terutama Aidilfitri.
Tetapi hakikatnya, kalau kita merancang keluar awal subuh atau pada tengah malam pun, jalan raya tetap sesak juga apatah pada siang hari, semua macam berpakat-pakat pula merancang keluar pada hari dan waktu yang sama. Ya tak?
“Ramai pula balik ke Kuala Lumpur, pada waktu ini. Pandai betul berahsia. Dalam diam-diam, jalan dah sesak.”
Itu status seorang kawan dalam media sosial pada Rabu lalu. Dia yang dari Pulau Pinang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur turut memuat naik gambar kesesakan itu sekali. Mungkin kesesakan jalan menyebabkan kenderaan tak boleh bergerak. Sempat pula dia main Facebook.
Jadi agaknya, nasihat setiap kali menjelang perayaan iaitu merancang perjalanan boleh ditukar kepada berehat dan tidurlah secukupnya di rumah terlebih dahulu kerana apabila sudah berada di lebuh raya nanti, nak tidur di mana pun susah apabila keletihan. Kawasan Rawat dan Rehat (RnR) pun sesak.
Inilah yang berlaku bermula pada Sabtu lalu dan sehari selepas itu semasa warga kota bergegas pulang ke kampung kerana tidak menyangka hari raya jatuh pada Isnin manakala sehari dua ini pula mereka mula pulang semula ke kota.
Ada yang duduk dalam kenderaan melebihi 10 jam. Tetapi apalah sangat keletihan itu, jika hendak dibandingkan dengan rasa berbaloi apabila dapat berhari raya dengan ibu bapa dan sanak saudara. Soal letih dan menghabiskan banyak masa di jalan berbanding bersama orang tua ditolak ke tepi asalkan balik kampung!
Pun begitu, masih ada yang berharap agar pengangkutan awam menjadi pilihan utama orang ramai untuk pulang ke kampung pada masa-masa akan datang.
Persoalan besar, bolehkah ini berlaku? Sedangkan dalam bahasa mudahnya, kebanyakan rakyat kita ini mahu bas atau kereta api itu berhenti betul-betul di halaman rumahnya!
Dengan stesen pengangkutan awam yang jauh dari rumah dan perlu naik teksi atau bas lagi untuk sampai ke rumah dibandingkan dengan membawa kereta sendiri yang memudahkan untuk pergi ke mana-mana bersama keluarga semasa berhari raya, tentulah ramai memilih kenderaan sendiri.
Yang berkeluarga tentu selesa membawa anak-anak dengan kenderaan sendiri, bukan seperti orang bujang yang ringkas dan pantas bergerak.
Hakikatnya, susah untuk memujuk dan menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam bagi yang memang mempunyai kenderaan sendiri.
Teringat saya waktu kecil-kecil dahulu, ketika itu kereta tidak begitu banyak. Kereta buatan tempatan Proton Saga pun belum ada. Kenderaan utama balik ke kampung menjelang hari raya ketika itu adalah bas. Bila bas datang semua berkejar, ada yang memanjat tingkap, menghulurkan anak kecil dan beg melalui tingkap dan ada yang membuka pintu kecemasan di belakang.
Zaman itu sudah lama berlalu. Yang perlu ditambah baik sekarang bukan setakat sistem pengangkutan awam tetapi lebuh raya dan jalan alternatif di pelosok negara.
Selagi warga kota dan bandar masih ada kampung, kita tidak dapat lari daripada kesesakan ini setiap kali hari raya. Yang bercuti makan angin bukan pulang ke kampung ketika itu pun, sama naik juga. Tumpang semangkuk menambah sesak.
JANGAN SOROK
STATUS COVID-19
Saya baca di media sosial ada yang rasa pelik, kes Covid-19 makin turun di negara ini. Pada satu tahap sudah di bawah 1,000 kes di seluruh negara ini. Begitu cepat kes turun.
Tapi kalau sudah faktanya begitu, tak payah peliklah. Nanti adalah yang kata, kes naik bising, turun pun bising.
Ada yang membuat teori, mungkin ada yang tidak melaporkan status di MySejahtera apabila terkena Covid-19. Sebab itu kes berkurangan. Mysejahtera pun macam sudah tidak penting lagi. Masuk ke mana-mana pun tidak perlu diimbas kod QR. Sudah tak perlu tunjuk status vaksin. Cuma sekarang kita boleh lihat info tentang jangkitan penyakit lain dalam aplikasi itu.
Berbalik pada cerita kemungkinan pesakit tidak melaporkan status di MySejahtera dan merayap ke sana ke sini, ini cukup membahayakan. Kalau betul ada bersikap sebegini tentulah ia perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab. Sebabnya, bila dia tidak menjalani kuarantin diri dan bebas ke mana-mana saja, orang lain pula menerima akibatnya. Ini baru betul dikatakan buruk perangai.
Memang betul, kita sudah masuk dalam fasa peralihan endemik. Kenapa tak move on saja? Tetapi perlu diingat virus Covid-19 yang meragut nyawa ini masih bukan boleh dianggap macam demam biasa lagi.
Maka jadilah manusia yang bertanggungjawab dan berguna kepada orang lain. Kalau terkena Covid-19 duduklah diam-diam di rumah. Janganlah pergi beraya pula. Sekarang ini tempoh kuarantin pun sudah dipendekkan ke empat hari saja jika ujian RTK dalam tempoh itu sudah negatif. Sabar sajalah. Tak perlulah kalut hendak ke mana-mana. Sebab itu masih ramai memilih untuk tetap memakai pelitup muka di kawasan yang terbuka dan sesak. Bimbang orang yang membawa virus itu sedang berkeliaran.
Tidak salah untuk kita terus sentiasa mengingati tentang Covid-19. Yang salahnya, kalau merasa diri kebal daripada segala penyakit dan selepas itu menyusahkan orang lain.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.