MUKADIMAH
SELEPAS dua tahun tidak dibenarkan pulang beraya di kampung, ramai tidak melepaskan peluang pada musim perayaan kali ini.
Namun, bagi kakitangan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), mereka masih meneruskan tradisi beraya di lapangan bagi memastikan kelancaran trafik berjuta-juta kenderaan di lebuh raya yang meningkat kali ini.
Ketua Pegawai Operasinya, DATUK ZAKARIA AHMAD ZABIDI berkata, cuti kesemua 2,200 kakitangan syarikat itu dibekukan bagi memastikan pengguna lebuh raya dapat menikmati pengalaman balik kampung yang jauh lebih baik berbanding sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, ROSHIHAN ANNUAR YUB, AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN dan AHMAD FADHLULLAH ADNAN serta jurufoto AFIQ RAZALI dan juruvideo HAZWAN HAIRUL serta ZUID IKH RAL SAMSON di Persada PLUS, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Zakaria menjelaskan, PLUS telah berbelanja besar bagi keselesaan pengguna.
UTUSAN: Bagaimana PLUS menghadapi kesesakan luar biasa?
ZAKARIA: Memang kami menjangkakan trafik bertambah tinggi pada tahun ini disebabkan lonjakan trafik setelah dua tahun tidak merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan pulang ke kampung, ditambah pengumuman kerajaan memberikan tol percuma pada dua hari sebelum dan dua hari selepas hari raya.
Jadi, gabungan dua faktor ini memberi kesan pada lambakan trafik pada dua hari (tol percuma) itu. Persediaan kami adalah memastikan keadaan di lebuh raya, plaza tol dan hentian rehat dan rawat (R&R) berada dalam keadaan sempurna bagi menerima lambakan trafik tersebut.
Contohnya, di plaza tol, kita menyediakan kakitangan yang lengkap dan bersedia menerima lambakan trafik tersebut, malah pasukan tambahan dari ibu pejabat juga dikerah untuk membantu pasukan barisan hadapan di situ. Kesemua lorong plaza tol kami buka dan kami pastikan segala kelengkapan berada dalam keadaan baik.
Boleh komen mengenai pemberian tol percuma?
Ini adalah kali pertama dalam sejarah PLUS. Ini merupakan inisiatif daripada kerajaan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan sangat relevan untuk masyarakat keseluruhannya kerana sudah dua tahun tidak balik raya dan kita baru sahaja dalam fasa peralihan ke endemik.
Sebelum ini pernah beri diskaun?
Kita pernah bagi diskaun seperti pada 2019 iaitu pada hari raya bertujuan menggalakkan orang ramai berjumpa sanak saudara sambil mengerat silaturahim antara keluarga.
Cabaran dihadapi PLUS?
Dalam perancangan kita, kita maklumkan (jangka) peningkatan trafik sebanyak 25 peratus iaitu dua juta kenderaan sehari. Tapi selepas kerajaan buat pengumuman (tol percuma), melebihi jumlah itu.
Jadi, kita terpaksa lebih fokus dan lebih bersedia dalam menghadapi peningkatan aliran trafik tambahan terutama di kawasan-kawasan hotspot.
Kemudahan dan perkhidmatan tambahan yang disediakan?
Sebagai contoh, kita meletakkan trak tunda di lokasi-lokasi strategik seperti di kawasan berbukit dan terowong.
Jadi, bila berlaku kemalangan atau kerosakan pada kenderaan, kita dapat respons dengan cepat. Ini salah satu inisiatif.
Di laluan utama, kita tambah rondaan. Semua petugas tidak bercuti dan membuat rondaan bagi memastikan kelancaran.
Kita ada buat penambahan tandas sementara di tempat-tempat terpencil dan tempat letak kereta (tambahan) yang ada kawasan lapang.
Berapa ramai tenaga kerja dikerah?
Cuti petugas barisan hadapan semua dibekukan. Barisan hadapan terdiri daripada jurutol, khidmat pelanggan, penyelia dan eksekutif semuanya bertugas pada hari raya. Ini sudah menjadi kelaziman bagi kami di PLUS.
Dalam kalangan jurutol sahaja, ada lebih kurang 1,500 orang dan 500 penyelia. Keseluruhannya hampir 2,200 orang termasuk petugas dari ibu pejabat. – UTUSAN










