fbpx

29 Jun 2022, 8:32 am

  TERKINI

Bahasa Melayu dan pengukuhan melalui undang-undang

ABDUL HAMID MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA teruja untuk berucap di dewan ini hari ini melalui Simposium Antarabangsa Pemartabatan Bahasa Melayu walaupun melalui rakaman video,  kerana di sinilah 62 tahun dahulu (tahun 1960) kali pertama saya berucap ke seluruh negara, dibawa oleh Radio Malaya. Pada masa itu saya mewakili zon Utara, Semenanjung Tanah Melayu dalam pertandingan syarahan Minggu Bahasa Kebangsaan, peringkat akhir, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pertama sekali saya katakan, kedudukan bahasa Melayu berhubung rapat dengan kedudukan politik Melayu; kuat kedudukan politik Melayu, kedudukan bahasa Melayu boleh diperkukuhkan; lemah kedudukan politik Melayu, lemahlah kedudukan bahasa Melayu.

Selama 50 tahun kedudukan politik Melayu kuat. Saya akui banyak telah dilakukan untuk memperkukuhkan pemakaian bahasa Melayu dalam negara. Jika pada masa kita mempunyai kuasa politik tidak berbuat secukupnya kerana tidak tahu apa yang hendak dilakukan atau kerana tidak mempunyai kemahuan politik atau kerana takut atau lalai, itu salah kita.

Lemahnya kedudukan politik Melayu semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) melihatkan betapa lemahnya kedudukan bahasa Melayu hinggakan apabila seorang menteri menggunakan bahasa Mandarin untuk urusan rasmi, Perdana Menteri yang menjadi Presiden UMNO paling lama dalam sejarah dan dua orang bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO dalam PH pun tidak menegurnya. Mereka memerlukan sokongan parti bekas musuh politik mereka itu  untuk menubuh kerajaan. Pada masa itu juga kita melihat betapa kuatnya tuntutan Dong Zong dan kerajaan nampak seperti menyebelahi mereka.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak bermaya untuk berbuat sesuatu. Ia terpaksa memikirkan kedudukannya dahulu yang seperti telur di hujung tanduk itu. Selagi sebuah kerajaan yang disepakati oleh parti-parti Melayu yang kukuh tidak dapat ditubuh, tidak ada apa yang boleh berlaku untuk mengukuhkan pemakaian bahasa Melayu.

Saya khuatir simposium ini juga akan menjadi seperti Jumaat Hari Jawi yang mati tak berkubur seminggu selepas ia dilancarkan. Tetapi, simposium ini ada kelainannya; ia dianjur oleh Pejabat Perdana Menteri. Kita ucapkan tahniah kepada  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas keberaniannya menganjurkan simposium ini dan membukanya dalam keadaan kerajaannya yang tidak kukuh itu. Kita harapkan ia bukanlah sekadar untuk mendapat undi orang Melayu dalam pilihan raya umum tidak lama lagi. Seorang Perdana Menteri perlu berfikir lebih jauh daripada pilihan raya umum yang akan datang.

Sekurang-kurangnya simposium ini memberi peluang untuk menyampaikan kepada beliau atau sesiapa juga yang menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  pandangan  untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu, kekuatan dan kemahuan politik perlu ada.

Maka, Perdana Menteri perlulah memikirkan bagaimana hendak memperkuatkan kedudukan politik Melayu, terlebih dahulu.

Saya katakan, selagi dua parti politik terbesar Melayu, iaitu UMNO dan Pas tidak bergabung dan selagi parti-parti nyamuk Melayu tidak dibubar atau dikuburkan, orang Melayu akan terus berpecah-belah; kuasa politik Melayu terus lemah dan kerajaan terpaksa mengharapkan sokongan parti-parti bukan Melayu, termasuk yang hanya mempunyai satu kerusi Parlimen. Setiap kali pilihan raya kecil (PRK) apatah lagi PRU akan diadakan, akan kedengaranlah tuntutan supaya sekolah-sekolah jenis kebangsaan (Cina) di bina. Tuntutan diberi, mereka undi DAP.

 

PERKUKUH BAHASA MELAYU MELALUI UNDANG-UNDANG

Pengukuhan penggunaan bahasa Melayu melalui undang-undang hanya boleh dilakukan dalam lingkungan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Selepas mengatakan bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan, antara lain, menyebut mengenai penggunaannya seperti berikut:

(i)  Tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan bahasa lain, selain bagi maksud rasmi. “maksud rasmi” ertinya apa-apa maksud Kerajaan,   sama  ada  Kerajaan  Persekutuan  atau  Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

(ii)  Tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada  mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain;

Perhatikan, halangan untuk menggunakan  bahasa lain hanya untuk urusan rasmi. Maka, undang-undang tidak boleh dibuat untuk menghalang syarikat-syarikat daripada menggunakan selain daripada bahasa Melayu dalam urusan hariannya.

Perlembagaan Persekutuan membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain. Ia tidak menyuruh atau melarang kerajaan membina sekolah dan universiti untuk mengajar dan belajar bahasa-bahasa lain. Terserahlah kepada kerajaan sama ada hendak membinanya atau tidak. Biasanya ia tertakluk kepada kuat mana tekanan politik. Sebab itulah saya tekankan kekuatan politik Melayu dan kemahuan politik pemimpin-pemimpin Melayu.

Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menghendaki semua urusan rasmi kerajaan dijalankan dengan menggunakan Bahasa Melayu, tertakluk kepada beberapa perkara.

Saya fikir, kehendak undang-undang ini, tertakluk kepada pengecualian yang dibenarkan, telah dilaksanakan sebaik mungkin di pejabat-pejabat kerajaan.

Peserta-peserta simposium ini yang datang dari universiti-universiti boleh menceritakan bagaimana mereka mengajar dengan menggunakan Bahasa Melayu, bagaimana pelajar-pelajar menjawab soalan-soalan dengan menggunakan Bahasa Melayu dan sama ada ia mempunyai apa-apa kesan kepada mutu graduan-graduan itu.

PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN DI MAHKAMAH

Mengenai penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah, seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 memperuntukkan, ringkasnya, segala prosiding (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dalam Mahkamah hendaklah dalam bahasa kebangsaan. Tetapi, mahkamah boleh, selepas menimbangkan kepentingan keadilan dalam prosiding itu, memerintahkan supaya prosiding itu (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dijalankan sebahagiannya dalam bahasa kebangsaan dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.

Pada masa ini, anggaran kasar saya mengenai penggunaan bahasa Melayu di mahkamah di semenanjung Tanah Melayu adalah, di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen 95 peratus, di Mahkamah Tinggi  (70 peratus), di Mahkamah Rayuan (10 peratus) dan di Mahkamah Persekutuan (5 peratus). Di Sabah dan Sarawak di Mahkamah Majistret 10 peratus, di Mahkamah Sesyen (5 peratus) dan di Mahkamah Tinggi (0 peratus).

Kedudukan di Sabah dan Sarawak perlu dibaiki. Masalah utama di sana adalah sikap.

Pada masa yang sama, syarat pelantikan ke jawatan hakim di seluruh Malaysia hendaklah diperketatkan dengan menghendaki mereka boleh menulis alasan penghakiman yang baik dalam bahasa Melayu.

Kita tidak perlu  mensasarkan 100 peratus penggunaan bahasa Melayu di mahkamah. Itu tidak realistik, terutama sekali di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Penghujahan undang-undang adalah lebih mudah dilakukan dalam bahasa Inggeris disebabkan penghakiman-penghakiman dari dalam dan luar negara yang dipetik ditulis dalam bahasa Inggeris, dalam kes-kes perdagangan, dokumen-dokumen keterangan adalah dalam bahasa Inggeris.

Demikian juga, adalah lebih mudah dan cepat menulis penghakiman dalam bahasa Inggeris. Penghakiman dalam bahasa Inggeris juga mendapat liputan penyiaran  dan pembacaan yang lebih luas. Hakim-Hakim Mahkamah Agung India dan Pakistan juga menulis penghakiman mereka dalam bahasa Inggeris. Hinggakan penghakiman mengenai riba’ yang ditulis oleh Taqi Usmani yang dianggap sebagai authority di seluruh dunia, juga ditulis dalam bahasa Inggeris.

Malaysia juga sedang berusaha untuk menjadi hab perbankan dan kewangan Islam di dunia. Saya menghujahkan dalam Kuliah Memperingati Prof. Ahmad Ibrahim pada 07 Disember 2011 bahawa antara tarikan Malaysia ialah undang-undangnya dalam bahasa Inggeris, peguam dan hakim fasih berbahasa Inggeris, prosiding di Mahkamah Tinggi ke atas dalam bahasa Inggeris dan penghakiman ditulis dalam bahasa Inggeris. Kuliah itu adalah artikel dalam bahasa Inggeris yang paling popular dalam laman web saya, menunjukkan ia dibaca oleh pelawat di seluruh dunia.

Kita juga mahu menjadi pusat penimbangtara yang ulung di kawasan ini. Ini juga memerlukan penggunaan Bahasa Inggeris. Kita kenalah membuat pengecualian untuk tujuan itu.

 

JANGAN JADI PUNCA BAHASA INGGERIS GRADUAN MELAYU MENURUN

Pengukuhan penggunaan bahasa Melayu dalam negara boleh dibuat, tetapi janganlah hingga menyebabkan penguasaan bahasa Inggeris graduan Melayu menurun. Sebenarnya ini telah berlaku. Saya perhatikan apabila kita melaksanakan  dasar pelajaran kebangsaan, semua sekolah menengah dan universiti mengajar dalam bahasa Melayu, tahap penguasaan bahasa Inggeris dLm kalangan graduan undang-undang bangsa Melayu dari universiti-universiti dalam negara turun mendadak. Ini menyukarkan mereka mendapat pekerjaan dalam firma-firma undang-undang yang besar-besar atau syarikat-syarikat multi-nasional. Pemimpin-pemimpin politik dan pegawai-pegawai  kerajaan juga menjadi mangsa dasar ini, hingga sekarang.

Mengapa saya bercakap mengenai perkara ini dalam simposium ini? Sebabnya, saya tidak mahu kerana hendak mengukuh pelaksanaan bahasa Melayu hingga menyebabkan penguasaan bahasa Inggeris graduan-graduan Melayu menjadi lemah. Yang rugi adalah orang Melayu.

 

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGANTARABANGSAAN

Ada antara kita yang melihat lebih jauh daripada sempadan negara kita. Mereka mahu bahasa Melayu digunakan di peringkat antarabangsa. Itu tidak salah. Cuma, saya harap ia bukanlah kerana Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan pegawai-pegawai tinggi kita malu berucap atau bercakap dalam bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa. Itu mengundur masuk ke bawah tempurung. Saya katakan, di peringkat antarabangsa, Perdana Menteri, Menteri-Menteri, pegawai-pegawai tinggi dan juga ahli-ahli akademik kita hendaklah boleh berucap atau  bercakap dalam bahasa Inggeris yang baik hingga wakil-wakil negara lain kagum dan menunggu untuk mendengarnya, bukan hanya syok sendiri berucap dalam bahasa Melayu.   Allah Ta’ala memberikan bangsa Melayu lidah yang fasih untuk bertutur dalam semua bahasa. Kita sepatutnya menggunakannya sepenuhnya. Ingat, kita perlukan banyak pegawai yang boleh berunding dengan pegawai-pegawai  dari negara-negara lain dalam banyak hal. Janganlah tugas itu sampai diserahkan kepada pegawai bukan Melayu. Saya pernah lihat perkara seperti itu berlaku.

Untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu, saya nampak terlalu banyak masalahnya, hinggakan nama bahasa yang hendak diketengahkan pun tidak dapat dipersetujui. Di dunia ini, bahasa Melayu hanya bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan di tiga buah negara iaitu, Indonesia, Malaysia dan Brunei. Indonesia tidak bersetuju ia dipanggil Bahasa Melayu. Jika Brunei bersetuju pun, setakat Malaysia dan Brunei yang hendak mengantarabangsakannya, tidak ada sesiapa yang akan mengambil kisah, walaupun di ASEAN. Selain dari itu, berlainan daripada bahasa Inggeris, perbezaan di antara bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Melayu Indonesia amat ketara. Yang mana hendak diketengahkan?

Bahasa Inggeris menjadi bahasa antarabangsa akibat keluasan empayar British. Ia berlaku dengan sendirinya perlahan-lahan. Empayar Melayu tidak mungkin berlaku, entah kiamat lebih dahulu.

 

Kesimpulannya :

 

  1. Kukuh tidaknya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terletak kepada kekuatan politik Melayu dan kemahuan politik pemimpin-pemimpin Melayu. Oleh itu, untuk mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu, parti-parti politik Melayu perlulah bergabung supaya dapat membentuk sebuah kerajaan pro-bahasa Melayu yang kukuh.

 

  1. Pengukuhan penggunaan bahasa Melayu melalui undang-undang hanya boleh dilakukan dalam negara dan dalam lingkungan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Apa yang dibuat terletak kepada kekuatan politik kerajaan pro-bahasa Melayu dan kemahuan politik pemimpin-pemimpinnya.

 

  1. Penggunaan bahasa Melayu di mahkamah di Sabah dan Sarawak perlu dilebihkan. Calon Hakim, di seluruh Malaysia, hendaklah boleh menulis alasan penghakiman dalam bahasa Melayu dengan baik. Mereka yang tidak mempunyai sikap yang betul terhadap penggunaan bahasa Melayu di mahkamah hendaklah tidak dilantik menjadi hakim. Tetapi, kita tidak perlu mensasarkan 100 peratus penggunaan bahasa Melayu di mahkamah. Itu tidak realistik, terutama sekali di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Ia juga bercanggah dengan usaha untuk menjadikan Malaysia hab perbankan dan kewangan Islam di dunia dan pusat penimbangtara yang ulung di rantau ini.

 

  1. Pengukuhan penggunaan bahasa Melayu janganlah sampai melemahkan penguasaan Bahasa Inggeris graduan Melayu. Graduan-graduan Melayu yang lemah dalam Bahasa Inggeris tidak dapat bersaing dengan graduan-graduan bukan Melayu di pasaran. Kita perlukan pemimpin-pemimpin politik Melayu, hakim-hakim, pegawai-pegawai, ahli-ahli korporat dan ahli-ahli akademik yang mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang baik.

 

  1. Di peringkat antarabangsa, Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Hakim-Hakim, pegawai-pegawai tinggi dan juga ahli-ahli akademik kita hendaklah boleh berucap atau bercakap dalam Bahasa Inggeris yang baik sehingga mereka dikagumi. Kita pernah berada di tahap itu, janganlah ia menurun pula. Terdapat terlalu banyak halangan untuk kita mengantarabangsakan bahasa Melayu. Maka eloklah kita menumpukan kepada pengukuhannya dalam negara. Tetapi, jika ada idea-idea baik yang boleh dilaksanakan, mengambil kira peringatan saya tadi, teruskanlah.

 

TUN Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN