APABILA memperkatakan mengenai sesuatu dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan, dari kaca mata manakah kita ingin menilainya?
Sebagai contoh Dasar Pandang ke Timur, dari sudut mana penilaian ingin kita buat? Adakah dari sudut pelaburan, peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, ekonomi, cara bekerja dan banyak lagi?
Kita tidak boleh memperkatakan sesuatu dasar itu tidak bagus atau tidak berjaya hanya kerana menilai dari satu sudut.
Penilaian paling tepat ialah berdasarkan kepada apakah objektif utama dasar itu diwujudkan dan adakah ia berjaya dilaksanakan?
Setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sudah semestinya bertujuan memberi kebaikan kepada rakyat.
Namun, dalam melaksanakan dasar tersebut mungkin terdapat kekurangan di sana sini. Bagi dasar yang tidak begitu memberi impak seharusnya dikaji secara mendalam untuk diketahui punca sebenar.
Dasar Pandang ke Timur dilancarkan pada 8 Februari 1982 di Kuala Lumpur oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dasar ini dilancarkan atas sebab untuk mencontohi etika kerja, dedikasi yang membolehkan Jepun pulih daripada perang dengan begitu pantas. Jadi, ini tujuan utama mengapa dasar terbabit diperkenalkan.
Objektif ini dapat dirujuk kepada buku Doktor Umum tulisan Dr. Mahathir yang diterbitkan pada 2011 di muka surat 427.
Ada juga yang mengatakan dasar ini diwujudkan rentetan daripada kempen Buy British Last dan perkara ini adalah tidak benar kerana kedua-duanya mempunyai matlamat berbeza.
Buy British Last yang diumumkan pada Oktober 1981 ialah kempen membeli barang Britain sebagai pilihan terakhir. Kempen ini dilaksanakan atas dua sebab.
Pertama, apabila kerajaan Britain menaikkan yuran pengajian yang menyusahkan 13,000 pelajar tajaan Malaysia di Britain.
Apabila kerajaan cuba merayu mengenai kenaikan yuran tersebut, Britain dengan bangganya menyuruh mencari tempat lain bagi pelajar Malaysia. Britain ketika itu memandang rendah pada bangsa Melayu dengan panggilan the lazy Malay.
Kedua, isu Guthrie yang ketika itu milik syarikat Britain yang mempunyai 81,000 hektar ladang getah dan kelapa sawit di Malaysia.
Apabila Guthrie menjual anak syarikatnya itu kepada syarikat milik MCA, ia bertentangan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menyasarkan pemilikan 30 peratus orang Melayu terhadap pemilikan syarikat korporat.
Penjualan tersebut menyebabkan rasa tidak puas hati dan Dr. Mahathir bertindak balas dengan melakukan serang hendap di Bursa Saham London.
Pada subuh 7 September 1981, London digemparkan apabila syarikat perladangan Guthrie yang berusia lebih 100 tahun dan antara syarikat terbesar Britain jatuh ke tangan rakyat Malaysia dalam masa empat jam sahaja sebelum pasaran dibuka dan ini amat memalukan negara itu.
MARGARET THATCHER
Kempen Buy British Last ini memberi kesan terhadap ekonomi Britain apabila Malaysia mula menghantar pelajarnya ke Jepun yang selari dengan Dasar Pandang ke Timur. Britain ingin berdamai Malaysia dan merayu agar kempen berkenaan ditamatkan.
Britain menghantar Menteri Luarnya, Baron Carrington dan Menteri Pertahanan, John Notts untuk bertemu dengan Dr. Mahathir.
Namun, Dr. Mahathir tidak mahu berjumpa dan rundingan ini gagal. Akhirnya, Perdana Menteri, Margaret Thatcher yang dikenali sebagai wanita besi datang sendiri berjumpa Dr. Mahathir dan kempen ini pun ditamatkan.
Dalam pada itu, Dasar Pandang ke Timur memperkatakan mengenai budaya bekerja terhadap organisasi dan seterusnya kepada negara kita yang tercinta ini.
Di dalam buku Made in Japan tulisan Akio Morita (1988), pengasas Sony Corporation ini menceritakan bagaimana pada tahun-tahun awal selepas perang, pekerja Jepun bersedia bekerja hanya untuk mendapatkan segenggam nasi dan sedikit kicap.
Negara Barat pula menganggap ia satu eksploitasi pekerja. Namun, pekerja Jepun sedar bahawa negara mereka miskin ketika itu. Mereka perlu berkorban bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi demi negara.
Akhirnya, Jepun berkembang maju dan hampir setiap ceruk di dunia menggunakan produk Jepun sebagaimana dapat kita lihat hari ini.
Pekerja Jepun menerima gaji paling tinggi di Asia dan sikap ini antara yang ingin diterapkan dalam Dasar Pandang ke Timur.
Sebagai kesimpulan, dalam kita memperkatakan mengenai dasar ini sama ada berjaya atau tidak, saya beranggapan ia masih jauh daripada sasaran dalam usaha membentuk budaya kerja sebagaimana orang Jepun.
Saya yang pernah berkhidmat di sektor swasta di dalam dan luar negara dapat merasakan perbezaan ini. Sebagai contoh, pekerja yang menerima gaji lebih RM20,000 mempunyai tanggungjawab besar ke arah menjana pendapatan organisasi.
Gaji yang dibayar oleh majikan mestilah setimpal dengan sumbangan yang diberikan dan mereka sentiasa bekerja keras untuk itu.
Jarang sekali kita dapat melihat mereka balik pukul 4.30 petang untuk bersantai bersama keluarga kecuali seminggu sekali atau mereka mengambil cuti tahunan dan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) mereka selalu dinilai dari segi pulangan kewangan atau intelektual untuk institusi atau organisasi.
Masa mereka tidak banyak dibazirkan dengan menghadiri mesyuarat berjam-jam lamanya sebagai helah supaya nampak rajin bekerja.
Dari perspektif Islam pula, agama itu menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan. Ini kerana bekerja ialah salah satu cara mencari rezeki. Allah SWT berfirman:
“Dan katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan) maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (at-Taubah:105) – UTUSAN
DR. Nor Azaruddin Husni Nuruddin ialah Felow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).











