‘Yang condong ditumpil, yang lemah dianduh’

‘Yang condong ditumpil, yang lemah dianduh’

SULTAN Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah mengaminkan doa dalam Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman 2021 di Istana Syarqiyyah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM istiadat pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 bulan lalu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyentuh mengenai tiga perkara penting.

Pertama, unjuran ekonomi dunia dan persediaan di peringkat negeri diikuti demokrasi dan partisipasi tadbir urus, manakala yang terakhir ialah penghargaan dan saranan.

Sultan Mizan menyeru pelaksanaan satu kajian impak perang Rusia-Ukraine ke atas pembangunan Terengganu bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terus terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi dunia.

Baginda bertitah, kajian itu perlu meliputi kesan langsung terhadap sektor-sektor penting ekonomi negeri seperti perkhidmatan dan pelancongan di samping cadangan-cadangan bagi mengurangkan impak terhadap isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Titah baginda, kedua-dua golongan itu sudah cukup terkesan dan terbeban dengan harga barangan terutama makanan yang meningkat selain kesan sampingan ke atas punca pendapatan ekoran penularan Covid-19.

“Data terkini merekodkan seramai 985 golongan miskin tegar manakala 26,526 orang miskin di Terengganu yang memerlukan perhatian daripada semua pihak.

“Bak kata pepatah, yang condong ditumpil, yang lemah dianduh, beta yakin kerajaan beta akan meneruskan usaha-usaha membantu golongan yang lemah dan terkesan,” titah baginda dalam istiadat pembukaan sidang berkenaan.

Berhubung perkara kedua, baginda mengajak rakyat mengambil bahagian secara aktif dalam membantu kerajaan negeri dengan bersama-sama memberi input berkaitan tadbir urus di samping merangka dan melaksanakan dasar-dasar baik.

Titah baginda, pendekatan itu penting kerana penglibatan rakyat dalam demokrasi tidak seharusnya terhad kepada peluang memilih dalam pilihan raya umum semata-mata, sebaliknya partisipasi mereka dalam menentukan hala tuju negeri dan negara sangat ditagih.

“Dalam suasana muhibah, terhormat dan bertamadun, proses membuat dasar sudah menjadi semakin demokratik. Ibarat kata pepatah, seliang bagai tebu, serumpun bagai serai, maka sekiranya kita saling bekerjasama dan berperanan dengan baik, insya-Allah, kejayaan juga yang bakal menanti,” titahnya.

Perkara terakhir yang ditekankan Sultan Mizan ialah penghargaan dan saranan. Baginda mengambil maklum usaha kerajaan negeri menyelesaikan isu pengangguran di Terengganu apabila seramai 8,500 pencari kerja sudah ditawarkan pekerjaan sepanjang tahun lalu. Malah, baginda memuji inisiatif anak syarikat kerajaan negeri, TDM Plantation Sdn. Bhd. yang menawarkan 800 peluang pekerjaan dan berharap agar usaha itu dapat dicontohi oleh pemain industri lain.

BENTENG

Di samping itu, Sultan Terengganu turut menzahirkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertungkus-lumus menyelamat, membantu dan meringankan beban mangsa-mangsa banjir lalu.

Ucapan sama dizahirkan kepada para penjawat awam yang menjadi benteng dan memainkan watak utama dalam merealisasikan dasar-dasar ditetapkan kerajaan negeri.

“Oleh itu, ahli-ahli Yang Berhormat dan para penjawat awam perlu bersama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan pembangunan Terengganu terus berada di landasan yang tepat,” titah baginda.

Sultan Mizan merupakan Sultan Terengganu yang ke-16 dan hari ini merupakan ulang tahun hari keputeraan baginda.
Baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dikurniakan empat anakanda iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra.

Dalam bidang sukan, Sultan Terengganu mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas di samping mencipta rekod baharu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menerusi acara kuda lasak kategori individu.

Semoga Allah memberkati dan melanjutkan usia Tuanku. Daulat Tuanku! – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×