MELAYU adalah bangsa yang terkenal kaya dengan budaya dan adat tradisi indah. Pengaruh tradisi ini cukup besar dalam membentuk keseluruhan kebudayaan Melayu merangkumi seluruh sistem dan aktiviti kehidupan masyarakat.
Kebanyakan tradisi dan warisan budaya Melayu terbina melalui proses sejarah panjang dan memiliki sifat kedinamikan dan keanjalan yang membolehkan ia melalui dan mengalami proses perubahan. Dalam konteks ini, kita dapati berlakunya sikap penolakan terhadap tradisi budaya yang dianggap lapuk dan menghalang kemodenan dan kebebasan. Banyak tradisi yang dianggap jumud dan berbentuk khurafat ditolak oleh masyarakat Melayu khususnya generasi muda. Cumanya, masalah akan timbul apabila perubahan dan penolakan itu dibuat tanpa ‘tapisan’ sewajarnya sehingga apa jua yang dikatakan tradisi mahu dibuang dari kamus kehidupan bangsa.
Hari ini, tradisi budaya Melayu berdepan dengan cabaran hebat apabila nilai-nilai baharu globalisasi yang dipacu oleh kemajuan teknologi maklumat cukup pesat dan dinamik menerjah masuk dalam kehidupan masyarakat Melayu. Apatah lagi generasi muda Melayu hari ini mendepani Revolusi Industri 4.0 di mana kebanyakan kerja dan aktiviti seharian adalah berasaskan teknologi digital yang berupaya membentuk world view baharu dalam hidup mereka.
Kemajuan teknologi adalah sesuatu yang baik dan tidak wajar dibendung. Namun, sisi negatifnya menyebabkan generasi muda Melayu hari ini kurang mengenali, memahami, menghayati dan menghargai, apatah lagi mengamalkan warisan tradisi budaya bangsanya. Malah ada yang menganggap ia tidak relevan untuk dipertahan lagi. Ia satu dilema yang dihadapi kelompok Melayu yang mahu mempertahankan budaya tradisinya daripada terus pupus ditelan zaman.
Warisan tradisi budaya yang membentuk identiti dan kekuatan bangsa mesti dipertahan dan terus diperjuang oleh generasi muda tanpa menolak perubahan dan kemajuan. Sekiranya mahu juga perubahan dibuat maka cara terbaik ialah menyerap idea-idea baharu supaya dapat digabungkan atau memperkayakan unsur-unsur tradisi yang membawa kebaikan kepada masyarakat.
Dalam konteks ini, saya melihat inisiatif yang pernah dibuat oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim menganjurkan Kongres Budaya (2017) adalah sesuatu yang baik dalam mencungkil idea-idea yang dapat memberi nafas baharu dalam usaha memelihara adat tradisi dan budaya Melayu yang semakin pupus dalam kalangan masyarakat. Cumanya, sejauh mana resolusi-resolusi yang terhasil dari kongres tersebut dapat dilaksana atau tidak memerlukan semakan semula.
Sebelumnya, Rais pernah menggerakkan kongres sama pada 1971. Kongres diadakan memandangkan masyarakat Melayu ketika itu kurang peduli tentang budaya, bahasa dan seni sendiri. Sebenarnya, apa yang dibuat itu adalah selari dengan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mengenai adat dan budaya Melayu.
Salah satu kata-kata Rais yang melekat di minda saya, “Jika budaya mati, orang Melayu akan hilang identiti di negara sendiri.” Ini beliau sebut dalam Temasya Keris dan Budaya Warisan Melayu di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia pada Oktober 2016.
BUDHI, DAYA
Pada hemat saya, apa yang diungkapkan oleh beliau menepati maksud perkataaan budaya yang berasal daripada cantuman perkataan Sanskrit dan Melayu, iaitu budhi dan daya. Ia bererti kecergasan fikiran dan akal, tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa menggerakkan jiwa yang berabad atau berzaman lamanya diterap dan dijelmakan dalam tradisi budaya Melayu yang mempunyai falsafah dan nilai estetika tersendiri.
Saya melihat peranan pelbagai kementerian berkaitan wajar merancang dan merencana pelbagai aktiviti yang dapat mempertahan warisan dan tradisi budaya Melayu terutama yang masih dianggap sebagai identiti bangsa. Contoh, makyung adalah seni yang telah diiktiraf sebagai Warisan Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2005 yang patut dipertahan dan disuburkan dalam masyarakat kita terutama generasi muda.
Dalam konteks ini, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan wajar mengambil inisiatif memperhebatkan pelancongan budaya dengan memperkenalkan warisan seni dan budaya kita yang bernilai tinggi. Demikian juga, Kementerian Pendidikan harus memain peranan memperkenal subjek seni budaya Melayu, khusus untuk pelajar-pelajar yang berminat dengannya supaya generasi muda kita sejak awal lagi ditanamkan elemen kecintaan dan kebanggan terhadap warisan budaya bangsa.
Dalam bidang sektor sosial, kita boleh mengangkat budaya berterima kasih dan kenang budi yang merupakan budaya Melayu berkait unsur adab sopan yang cukup indah.
Ia menggambarkan kehalusan budi Melayu yang tidak patut diabaikan.
Demikian juga kesantunan berbahasa yang mana masyarakat Melayu memiliki kehalusan dan kesopanan dalam berbahasa, tutur bicara melalui penggunaan peribahasa, perumpamaan, pantun, gurindam, syair dan sebagainya. Kesantuan dan kesopanan berbahasa ini semakin kurang digunakan oleh masyarakat Melayu, wajar disemarakkan penggunaannya.
KHURAFAT
Dalam adat perkahwinan, sepatutnya adat-adat yang mengiringi tradisi itu seperti majlis berandam, malam berinai, khatam al-Quran dan sebagainya harus terus diamalkan selagi mana ia tidak berbaur unsur-unsur khurafat yang bercanggah dengan akidah Islam.
Dalam sektor-sektor lebih besar seperti seni bina Melayu, perlu ada usaha untuk meneruskan kesinambungan tradisi tersebut. Walaupun pembinaan rumah-rumah pada hari ini bersifat moden, namun sepatutnya ia boleh digabungkan dengan unsur-unsur tradisi.
Kerajaan boleh membuat ketetapan atau peraturan segala bentuk seni bina bangunan mestilah diterapkan sekurang-kurangnya 40 peratus unsur seni bina Melayu, terutama pembinaan rumah kediaman untuk kuota bumiputera.
Selain itu, harus ada usaha yang serius untuk memelihara dan menyuburkan khazanah tradisi seni kraf tangan Melayu dan seni tekstil batik, songket, seni tekat manakala dalam seni ukir tangan seperti senjata (keris, lembing, pedang, badik). Tidak dilupakan juga pertukangan kayu dan pertukangan logam. Sudah tentu kita tidak mahu melihat semua nilai keseniaan pertukangan ini lenyap ditelan zaman sehingga akhirnya generasi kini melihat bangsa kita seolah-olah tidak punya apa-apa identiti yang dapat dibanggakan.
Sayugia difahami bahawa jiwa dan pemikiran Islam banyak mempengaruhi warisan dan adat tradisi budaya Melayu. Ia mempengaruhi perkembangan sahsiah, akal budi, rohani, fikiran, daya dan semangat, usaha dan tindakan serta pelbagai nilai kehidupan yang menjadi tatacara kehidupan seharian masyarakat Melayu. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas,.










