PERSOALAN bahasa adalah isu besar dalam pembangunan, jati diri dan martabat sesebuah negara bangsa. Bagi mereka yang benar-benar faham akan kedudukan dan peranan yang dimainkan oleh bahasa, persoalan ini tidak boleh dianggap remeh.
Apa yang digagaskan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah persoalan besar dalam pembinaan pembangunan, kestabilan dan masa depan negara bangsa. Bahasa mempunyai hubungan rapat dengan budaya dan maruah sesebuah bangsa dan negara. Tepat sekali dikatakan bahawa bahasa jiwa bangsa. Bangsa bermaruah adalah bangsa yang punya jiwa dan roh.
Persoalan bahasa adalah sebahagian daripada elemen penting yang perlu diangkat apabila sesebuah negara bangsa dibentuk dan mencapai kemerdekaan. Adalah sangat tepat apabila kedudukan bahasa Melayu diletakkan dengan jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa rasmi negara Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Persekutuan Malaysia 1963.
Bahasa Melayu juga elemen penting dalam definisi ‘Melayu’ dalam Perkara 160 perlembagaan. Kenapa persoalan bahasa Melayu ini diperuntukkan dengan jelas dalam perlembagaan? Apa pentingnya persoalan bahasa kepada falsafah pembangunan dan kestabilan serta perpaduan penduduk?
Bagi mereka yang faham tentang peranan bahasa, peruntukan ini memberikan makna besar. Kenapa pejuang kemerdekaan negara memperjuang dan akhirnya berjaya meletakkan peruntukan bahasa Melayu dalam undang-undang tertinggi negara? Kalaulah tidak penting, maka secara mudahnya perkara ini tidak akan dimasukkan sebagai satu peruntukan.
Kedudukan bahasa Melayu juga tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana warganegara yang mempunyai kedudukan sama dengan raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan juga hak istimewa orang Melayu. Rumusan mudah, andainya ada warganegara yang tidak menjunjung tinggi bahasa Melayu maka dia sebenarnya tidak faham falsafah sebenar di sebalik peruntukan itu.
MANDUL
Pemahaman dan pegangan itu perlu diperbetulkan supaya salah faham ini tidak berleluasa. Keadaan akan lebih berbahaya jika mereka yang mempersoalkan bahasa Melayu itu seorang yang berpengaruh dalam masyarakat atau pernah mempunyai kedudukan tinggi dalam pentadbiran dan politik negara. Tindakan yang sewajarnya perlu diambil supaya tidak berlaku kepada individu lain dan merebak secara lebih meluas ke dalam masyarakat kita.
Dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan, ia mempunyai maksud dan falsafah tersirat sangat besar.
Peruntukan ini jika tidak ditafsir oleh pengamal undang-undang, ia akan menjadi kaku (mandul) dan tidak berkembang sebagai asas undang-undang yang lebih jelas dan digunakan secara lebih meluas serta mendasari tindakan masyarakat kita.
Persoalan bahasa Melayu mempunyai kepentingan yang sangat besar bagi pembangunan, kestabilan dan perpaduan penduduk. Bukan hanya sebagai alat perhubungan dan komunikasi antara penduduk, ia boleh dianggap sebagai alat yang membina hubungan rapat serta pembangunan negara secara menyeluruh.
Analogi mudah, sebagai satu ikatan bata dan simen dalam binaan sesebuah bangunan. Tanpa asas bahasa yang kuat, bolehlah diibaratkan sesebuah negara tidak mempunyai ikatan dan kekuatan antara batu bata dan struktur umum bagi sesebuah bangunan. Dalam konteks bangunan yang bersifat fizikal, ia akan retak, pecah dan runtuh.
Dalam konteks sebuah negara bangsa, tanpa ikatan rapat antara warganegara akan menimbulkan ikatan seluruh rakyat yang longgar. Sejauh mana negara kita berjaya mengukuhkan ikatan dan perpaduan antara warganegara setelah lebih 60 tahun merdeka? Sejauh mana bahasa Melayu benar-benar dicanai dan dirancang sebagai alat perpaduan?
MENENTANG
Sejauh mana sistem pendidikan kita dirancang selaras Perkara 152: Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Adakah proses memartabatkan bahasa Melayu berjalan berterusan daripada pemimpin tertinggi negara yang pertama hingga kini? Sejauh mana universiti kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai asas bahasa pengantar berterusan dan meluas? Ini adalah persoalan besar yang perlu kita fikirkan bersama.
Apabila Ismail Sabri mengutarakan tentang persoalan bahasa Melayu dalam pentadbiran domestik dan urusan hubungan antarabangsa, kenapa ada yang menimbulkan reaksi ‘menentang’? Adakah mereka tidak faham bahawa bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca ketika zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka?
Bahasa perdagangan bersifat regional dan antarabangsa. Bahasa Melayu sehingga kini ditutur oleh lebih 300 juta manusia khususnya di rantau Asia Tenggara. Universiti-universiti utama dunia (seperti di China, Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat) mempunyai jabatan/pusat pengajian Melayu dan dilihat sebagai salah satu bahasa penting dan bernilai yang perlu dipelajari.
Saya melihat apa yang dicetuskan oleh Ismail Sabri adalah persoalan besar tentang bahasa Melayu dan martabat bangsa dan negara. Ia bukan sekadar bahasa tetapi tentang falsafah dan kesan pembangunan serta hubungan yang menyeluruh hingga ke peringkat antarabangsa.
Gagasan oleh Perdana Menteri ini perlu diangkat ke persada yang lebih tinggi secara meluas. Para sarjana kita perlu mengambil peluang ini bagi sama-sama menyokong, menyusun dan merancang mengukuhkan serta mengembang luas bahasa Melayu. Pemikiran Perdana Menteri ini perlu disanjung sebagai satu persoalan besar dalam pembinaan tamadun bangsa dan negara.
Bahasa jiwa bangsa. Bahasa Melayu mampu membina dan memartabat negara ke peringkat antarabangsa. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.











