Perang Rusia-Ukraine manfaatkan China

Perang Rusia-Ukraine manfaatkan China

KADAR kemiskinan dan pengangguran di Amerika Syarikat kini semakin meningkat sehingga wujudnya jurang antara dua darjat dalam sistem kapitalis negara itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANG Rusia dan Ukraine yang bermula penghujung Februari lalu dijangka berlanjutan dalam tempoh masa lebih lama. Perang ini sebenarnya bukanlah satu kebiasaan seperti sebelum ini. Peperangan ini lebih menjurus kepada memecahkan hegemoni penguasaan Amerika Syarikat (AS) ke atas cengkaman ekonomi dan kewangan dunia.

AS sebenarnya tidak menjangkakan menghadapi tiga permasalahan selepas mengenakan sekatan ekonomi termasuk Persatuan bagi Telekomunikasi Kewangan Antara Bank (SWIFT) ke atas Rusia. Seperti yang tidak disangka dengan pengenaan sekatan ekonomi dan SWIFT, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah merangka strategi yang menyebabkan mata wang ruble semakin kuat dan bukan lemah.

Ini disebabkan pengenaan syarat Rusia ke atas mana-mana negara yang ingin membeli minyak, gas dan bahan-bahan mentah lain perlu menggunakan mata wang ruble, bukannya dolar AS. Situasi ini menyebabkan selama lima dekad dominasi petrodollar akhirnya runtuh. Malahan China dan India kini mula menggunakan kaedah Rusia dalam melawan hegemoni mata wang dolar AS.

Akibatnya, aliran penggunaan mata wang dolar AS menurun dua bulan berturut-turut bermula Februari lalu sebanyak 1.07 peratus daripada 39.92 kepada 38.5 peratus. Penurunan ini mengakibatkan hilang keyakinan ke atas penggunaan mata wang AS di peringkat global. Sebaliknya mata wang euro kini menjadi alternatif kedua terbaik selepas dolar AS apabila meningkat lebih tinggi melebihi 37.79 peratus pada Mac.

Kehilangan hegemoni dolar AS ini memberikan implikasi buruk ke atas integriti AS dalam layanan ke atas kuasa dunia yang setara dengannya apabila turut melibatkan negara-negara Barat terutama dari Kesatuan Eropah (EU). Implikasi ini juga menandakan satu dilema baharu apabila banyak negara mulai kurang bergantung kepada memegang nilai dolar AS dalam bank mereka.

Kerisauan ini jelas kelihatan apabila hanya beberapa negara yang sanggup menyimpan pegangan nilai dolar AS dalam urusan bank mereka seperti Switzerland, Kepulauan Cayman dan beberapa negara lain. Kesan kerisauan ini turut terpampang apabila bon dalam dolar AS mulai dijual secara massa di seluruh dunia. Penjualan dan pertukaran bon dolar AS kepada mata wang lain sepanjang lapan minggu kebelakangan ini adalah sebanyak AS$109.8 bilion.

Penjualan bon dolar AS secara massa akhirnya menyusutkan nilai perbendaharaan selama 30 tahun pembelian bon dolar AS oleh masyarakat serata dunia. Situasi ini turut meningkatkan kadar keberhutangan bermula daripada warga sivil sehinggalah ke peringkat kerajaan pusat AS. Keberhutangan ini mampu menjejaskan kedudukan kestabilan ekonomi AS dalam tempoh enam bulan akan datang.

Permasalahan yang sudah ditimpa ke atas AS kini ditambah pula dengan penggunaan alternatif selain mata wang dolar AS dalam urusan transaksi global. Negara-negara seperti Rusia, Iran, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE), China, India dan negara-negara lain kini mempromosikan mata wang masing-masing dalam sebarang urus niaga dengan negara mereka. Malah penggunaan mata wang kripto turut menjadi pilihan bagi mereka yang enggan menggunakan mata wang negara-negara tersebut.

Akibatnya hegemoni mata wang dolar AS semakin lemah dan memberikan impak ke atas daya saing ekonomi AS dalam tempoh tahun mendatang nanti.

Pembekuan aset dan kekayaan sekumpulan oligarki Rusia oleh AS sebagai satu hukuman ke atas tindakan Rusia menyerang Ukraine kini mulai membongkar setiap aspek kelemahan dan kekejaman AS dan sekutunya selama ini. Tindakan pembekuan aset dan kekayaan individu tertentu Rusia sebenarnya memberikan imej buruk ke atas AS yang sentiasa melaungkan hak privasi dan hak bernegara secara demokratik.

Hipokrasi AS yang berjaya membekukan antara lima hingga 10 bilion dolar AS telah menggagalkan juga kekuasaan AS dalam Tatanan Dunia Baharu. Ini terlihat apabila kenaikan inflasi dan tekanan ekonomi yang bukan sahaja berlaku di AS tetapi turut melibatkan sekutunya. Akhirnya, rakyat AS mulai membongkar kejahatan kerajaan negara mereka di media sosial berhubung perlakuan tentera AS di Iraq, Afghanistan, Syria dan sebagainya. Ini menyebabkan kerajaan AS kini berhadapan dengan satu situasi yang mungkin boleh menyebabkan pemberontakan akibat ketidakpuasan hati rakyat mereka. Kini kadar kemiskinan dan pengangguran AS semakin meningkat sehingga wujudnya jurang antara dua darjat dalam sistem kapitalis negara itu.

Tindakan AS ini memberikan satu keuntungan kepada China dalam beberapa perkara. Antaranya China kini lebih dipercayai dan disenangi oleh banyak negara apabila China sendiri mengambil pendirian neutral dan ke arah perdamaian. Malah kekuatan ekonomi China semakin kuat apabila mulai membina satu rangkaian hubungan dagangan dengan negara-negara di sekitarnya.

Situasi ini dilihat apabila China bergiat untuk memperkukuhkan hubungan ASEAN melalui 3+1 dengan pelbagai tawaran projek mega lebih adil dan berteknologi tinggi. Pengukuhan hubungan dagangan bukan sahaja dengan ASEAN tetapi juga antara China melalui Kesatuan Ekonomi Eurasian dan Organisasi Kerjasama Shanghai.

Hubungan ekonomi dengan kedua-dua badan tersebut adalah sebagai persediaan alternatif dalam mewujudkan sistem urus niaga mata wang yang setara dengan SWIFT.

Aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) kini giat dibangunkan bukan sahaja teknologi aplikasi SWIFT tetapi juga penggunaan dron dan robotik dalam industri berat dan sederhana di China. Ini memberikan satu kelebihan kepada China apabila hampir mencapai matlamat untuk mengatasi AS dan sekutunya dalam soal perlumbaan teknologi kuantum internet. Teknologi AI dan robotik dalam perang bukan konvensional seperti yang berlaku di Ukraine kini dimonopoli oleh teknologi China dan Rusia. Boleh dikatakan kini penggunaan supercomputer dalam kedua-dua AI dan robotik adalah dipimpin oleh kedua-dua negara tersebut dalam ujilari perang di Ukraine. – UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×