Penjenayah era baharu lebih licik, agresif

Penjenayah era baharu lebih licik, agresif

HANYA kesedaran keselamatan yang tinggi mampu menjadi benteng untuk kita elak daripada menjadi mangsa jenayah siber. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN perkembangan teknologi memberi pelbagai manfaat kepada kemajuan manusia, namun isu keselamatan siber atau lebih tepat lagi ancaman jenayah siber terus menjadi sisi negatif yang menghantui kehidupan kita. Justeru, dalam kita menikmati dunia teknologi yang semakin canggih, adalah penting untuk turut fokus dan memberi perhatian serius kepada keperluan meningkatkan kesedaran keselamatan siber.

Ironinya, kita sedang berhadapan dengan kelompok penjenayah era baharu iaitu penjenayah siber yang cukup licik dan agresif. Jenayah siber secara lazimnya dirujuk kepada perlakuan aktiviti jenayah yang menggunakan pelbagai jenis peranti elektronik melalui sambungan perkhidmatan internet. Perbuatan tidak bermoral ini boleh dilakukan oleh mana-mana individu mahupun secara berkumpulan serta dengan mudah boleh menjangkau batasan dari sebuah negara ke negara lain dalam tempoh singkat.

Antara jenis jenayah siber yang cukup popular ialah scam dan pelaburan dalam talian di samping judi siber, pengintipan, kecurian maklumat atau data, aktiviti menggodam serta menyalurkan maklumat palsu. Antara punca jenayah siber ini sukar dibendung kerana susah untuk dikenal pasti siapakah penjenayahnya termasuk lokasi kegiatan tersebut dilakukan.

Negara kita juga kelihatan tidak ketinggalan daripada serangan penjenayah licik ini di mana pihak berkuasa dilaporkan merekodkan jumlah kerugian angkara jenayah siber sebanyak RM2.23 bilion dari 2017 hingga Jun 2021. Ancaman siber dan penipuan dalam talian dikatakan menyumbang kepada hampir 70 peratus kes jenayah komersial di negara ini. Justeru, masyarakat perlu memandang serius ancaman jenayah alaf baharu ini seterusnya bersedia untuk menanganinya secara bijak.

Dalam konteks ini, kita perlu ada ilmu pengetahuan yang cukup untuk membanteras jenayah siber. Justeru, perlu ada usaha dan inisiatif berterusan bagi meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

Hal ini penting kerana sasaran penjenayah siber ini membabitkan orang perseorangan dan pelbagai industri yang boleh menguntungkan mereka seperti sektor kewangan.

Justeru, hanya kesedaran keselamatan siber yang tinggi mampu menjadi benteng untuk kita elak daripada menjadi mangsa sekali gus membantu membanteras penjenayah siber di negara ini.

Sebagai permulaan, kita perlu memahami modus operandi serta trend terkini penjenayah siber. Misalnya, masyarakat perlu berwaspada terhadap trend terkini jenayah siber melibatkan unsur-unsur scam atau penipuan yang boleh menyebabkan kerugian mencecah puluhan ribu ringgit kepada mangsa.

Modus operandi sindiket seumpama itu adalah mempromosikan cara-cara mudah untuk memperoleh wang melalui pautan laman sesawang di laman sosial seperti Facebook dan WeChat bagi menarik perhatian khalayak umum. Di samping itu, kita juga perlu berhati-hati dengan taktik panggilan palsu yang menyamar sebagai agensi tertentu termasuk pihak berkuasa seperti polis sehingga akhirnya kita mengikut sahaja apa yang disuruh oleh mereka kerana takut dikenakan tindakan undang-undang.

TABUNG HAJI

Kita juga perlu ambil tahu kategori penipuan yang popular dan sering menjerat mangsa. Misalnya kes jenayah siber paling tinggi dilaporkan adalah penipuan telekomunikasi termasuk Macau scam, love scam dan penipuan berkaitan pembelian dalam talian atau e-dagang. Sedarlah, penjenayah siber tidak peduli latar belakang mangsa serta sumber pendapatan mereka. Sebagai contoh, baru-baru ini pihak berkuasa mengesan sindiket penipuan dikaitkan dengan Macau scam membuat pengeluaran wang dari akaun Tabung Haji yang dihubungkan melalui akaun bank konvensional milik mangsa.

Jadi, secara umumnya kita boleh merumuskan antara punca utama kejadian ini masih berlaku secara berleluasa adalah kurangnya tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat. Saya percaya majoriti kita masih bersikap acuh tak acuh terhadap segala pendedahan dan nasihat pihak berkuasa tentang sindiket penipuan siber yang sedang berlaku di negara ini. Ringkasnya, selagi ia tidak kena pada batang hidung sendiri, kita tidak peduli dan akhirnya menjadi mangsa penipuan.

Sampai bila kita mahu berdiam diri dan membiarkan sindiket ini meneruskan aktiviti licik mereka? Sedarlah, pilihan di tangan kita sendiri dan kita perlu lebih bertanggungjawab untuk melindungi diri dan keluarga. Dalam kebanyakan kes, pihak polis tidak dapat berbuat apa-apa kerana nasi sudah menjadi bubur apabila segala urusan transaksi wang telah berlaku dan anggota sindiket juga mudah menghilangkan diri dan amat sukar untuk dikesan. Maka kita perlu beringat sebelum kena.

Ironinya, kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab di bahu pihak berkuasa semata-mata sebaliknya perlu peka dan ambil tahu tentang aspek keselamatan siber ketika menggunakan internet mahupun ketika menerima panggilan daripada scammer supaya dapat melindungi diri dan keluarga. Dalam konteks ini, antara nasihat pihak berkuasa yang wajar dipatuhi oleh kita semua ialah elak mendedahkan kata laluan kepada pihak lain termasuk orang yang dikenali kerana kita tidak tahu siapa akan mengambil kesempatan. Untuk keselamatan yang lebih baik, gunakan kata laluan yang kreatif misalnya menggabungkan huruf, nombor dan simbol supaya orang lain tidak mudah mengesannya.

Kita juga perlu lebih berhati-hati ketika membuka dan melayari pelbagai kandungan dalam internet. Misalnya, elak daripada terus mempercayai kandungan laman web, blog dan e-mel yang diragui atau daripada orang yang tidak dikenali sebaliknya perlu biasakan budaya dan cara kerja semak dan rujuk kepada sumber-sumber sahih.

Secara prinsipnya, kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan pengetahuan yang lebih baik supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber. Tuntasnya, sentiasa waspada dengan ancaman jenayah siber, fikir dulu sebelum klik e-mel, pautan atau lampiran mencurigakan dan segera laporkan kepada pihak berkuasa jika ada sebarang insiden kebocoran maklumat atau ada ancaman siber daripada mana-mana pihak yang diragui atau tidak dikenali. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×