BEBERAPA hari lalu, tular satu artikel yang mengaitkan hiper-inflasi dengan pertukaran nilai ringgit yang dikatakan akan merudum ke tahap 5.7 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang hujung tahun ini.
Terdapat pelbagai teori dan analisa mengenai faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi unjuran turun naik mata wang sesebuah negara.
Dalam kes AS, negara itu ketika ini berhadapan dengan tekanan kenaikan harga barangan terutama makanan, minyak dan perumahan. Kadar inflasi di AS pada 2021 adalah 8.5 peratus, tertinggi semenjak 1981. Harga minyak meningkat 48 peratus dalam masa 12 bulan, kenderaan terpakai naik 35 peratus manakala harga makanan naik 10 peratus.
Antara punca kenaikan ini adalah permintaan pengguna yang kembali meningkat selepas pandemik Covid-19 semakin pulih. Kegiatan perniagaan juga kembali rancak, menyaksikan syarikat-syarikat kembali mengambil pekerja untuk meningkatkan pengeluaran. Kadar pembuangan pekerja AS kini berada pada tahap paling rendah semenjak 1968.
Namun, di sebalik perkembangan ini, permintaan untuk barangan dan perkhidmatan tidak dapat dipenuhi oleh pasaran dalam waktu yang singkat. Ini diburukkan lagi oleh gangguan rantaian bekalan yang berpunca daripada perintah kawalan pergerakan di seluruh dunia serta krisis geopolitik Rusia-Ukraine.
Permintaan yang melebihi penawaran ini menyebabkan kenaikan harga. Jika tiada campur tangan dalam pasaran oleh kerajaan AS, kenaikan harga ini boleh menyebabkan inflasi yang tidak terkawal. Dan salah satu kaedah utama menguruskan inflasi adalah dengan memperlahankan kegiatan ekonomi dengan cara menaikkan kadar faedah.
Kadar faedah yang lebih tinggi akan menyebabkan pengguna mengurangkan perbelanjaan. Mereka sebaliknya cenderung menyimpan wang untuk menikmati pulangan faedah lebih tinggi. Kadar faedah lebih tinggi juga bermakna kos pinjaman bank akan naik dan menyebabkan syarikat-syarikat menangguhkan pelaburan baru, sekali gus memperlahankan kegiatan ekonomi.
Inilah yang cuba dilakukan oleh Rizab Persekutuan AS yang mempunyai peranan sama seperti Bank Negara Malaysia (BNM). Apabila Pengerusinya, Jerome Powell membuat kenyataan bahawa kenaikan faedah akan menjadi agenda mesyuarat dasar Rizab Persekutuan bulan depan, para pelabur di pasaran mata wang, komoditi dan kewangan terus memberikan tindak balas dalam merubah portfolio masing-masing. Ini termasuklah menjual balik bon-bon dalam dominasi ringgit kepada Bon Perbendaharaan AS untuk mendapat pulangan faedah lebih tinggi. Ini bermakna terdapat permintaan baharu untuk dolar, sekali gus menaikkan kadar tukarannya di pasaran mata wang antarabangsa.
Selain faktor di atas, nilai ringgit juga dipengaruhi oleh eksport negara, khususnya prestasi rakan perniagaan utama kita seperti China dan Kesatuan Eropah yang ketika ini mengalami pertumbuhan lebih perlahan. Malaysia banyak mengeksport barangan elektrik dan elektronik kepada dua pasaran ini, maka turun naik pasaran ini mempengaruhi nilai ringgit. China merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia dengan nilai RM192.05 bilion atau 15.5 peratus nilai eksport pada 2021.
MINYAK SAWIT
Namun demikian, nilai ringgit dijangka kembali mengukuh bersesuaian dengan beberapa perkembangan terbaru. Peniaga mata wang telah menyerap sepenuhnya jangkaan kenaikan faedah bulan depan ke dalam urus niaga dolar. Ini bermakna, hanya ada ruang terhad untuk lonjakan dolar, sebaliknya kemungkinan besar akan kembali mendatar berbanding ringgit.
Faktor lain adalah kenaikan harga minyak sawit di pasaran antarabangsa akan turut membantu pengukuhan semula ringgit terutama selepas Indonesia membuat pengumuman untuk menghentikan eksport mereka. Sebagai pengeksport kedua terbesar dunia (34.3 peratus daripada jumlah eksport), langkah Indonesia ini akan menyebabkan pengeksport minyak sawit Malaysia menikmati harga lebih tinggi. Ini akan membantu menaikkan nilai ringgit untuk beberapa bulan akan datang.
Faktor tambahan lain adalah kedudukan Malaysia selaku pengeksport minyak. Harga minyak yang terus berada pada kadar melebihi AS$100 setong ketika ini sedikit sebanyak akan turut membantu pemulihan nilai ringgit.
Penyusutan nilai ringgit ketika ini tidak mungkin akan menyebabkan berlakunya apa yang disebut hiper-inflasi atau kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak terkawal. Secara umumnya, hiper-inflasi berlaku apabila harga meningkat melebihi kadar 50 peratus sebulan. Ia juga disusuli dengan keadaan di mana kerajaan hilang kawalan ke atas kegiatan ekonomi dan para pelabur hilang keyakinan terhadap keupayaan kerajaan untuk menguruskan negara. Sekadar perbandingan, kadar inflasi untuk Mac 2022 adalah 2.2 peratus, kadar yang sama seperti bulan sebelumnya.
Malah sehingga kini, BNM masih belum melihat sebarang keperluan untuk campur tangan dalam kedua-dua isu. Dasar dan strategi fiskal dan monetari sedia ada masih memadai dalam memastikan ekonomi negara terus mengukuh.
Ketika ini, asas ekonomi negara masih kukuh dibuktikan oleh lebihan akaun semasa yang sihat (RM15.2 bilion – suku ketiga 2021), rizab antarabangsa yang tinggi (AS$114.4 bilion – April 2022) serta pertumbuhan eksport yang terus meningkat. Sebarang langkah tambahan dalam pasaran pertukaran mata wang seperti kenaikan kadar faedah hanya akan dilakukan apabila wujud perkembangan luar jangkaan.
Berdasarkan perkembangan dan analisa di atas, agak mustahil untuk Malaysia mengalami kedua-dua insiden, iaitu hiper-inflasi dan penyusutan berterusan nilai ringgit.-UTUSAN
PENULIS ialah akauntan bertauliah dan penganalisis ekonomi bebas.









