TANAH Melayu dulunya dipecah perintah oleh British.
Ada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat. Dicanang Inggeris Malayan Union 1946, mujurlah orang Melayu tersedar. Bangkit menyanggahnya hingga kita bersatu kembali. Tetapi dibayar dengan harga mahal berdikit-dikit kita kehilangan Singapura. Dan masa beredar pusaka bergilir, di luar dugaan era politik moden, lenyap pula Pulau Batu Puteh.
Hari ini 2022, masih belum ada tekad politik oleh parti-parti Melayu untuk satukan bangsanya. Lebih kepada kepentingan peribadi dan kuasa. Sedangkan di luar, cabarannya amat getir, dengan ekonomi dan pandemik Covid-19 nya. ‘Gelora’ Laut China Selatan pun sudah tiada siapa ambil peduli.
Boleh dirumuskan politik kita hari ini ‘berpenyakit’ – kronik seperti kanser. Terus berkecamuk selagi tidak dipulihkan melalui satu pilihan raya umum.
Boleh disimpulkan politik tanah air dalam ketuhar analoginya begini:
1. Kejujuran ahli dalam mana-mana parti politik ibarat kisah anai-anai yang setia dan bersatu hati menjaga busut dari serangan musuh.
Meskipun kecil, anai-anai digeruni kerana upayanya menghancurkan musuh yang mahu musnahkan busutnya. Begitupun, anai-anai tidak pernah berperang sesama sendiri.
Anai-anai bergerak sebagai pasukan dan komited dengan tugas serta tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kelangsungan koloni. Rumah besar boleh digigit hingga runtuh. Tapi busut sanggup dipertahan hingga mati.
Demikianlah kepada parti politik hari ini. Seperti mana anai-anai yang setia dan bersatu hati, haruskah beri peluang kepada musuh dalam selimut?
2. Pada 1969, Pas sanggup memecat seorang ahli parlimennya, Hashim Gera kerana berjoget di Parlimen.
Penjelasan Hashim bukan sahaja tetap ditolak oleh ulama Pas waktu itu, bahkan bertindak memecatnya meskipun Hashim bertegas:
“Bila dia (perempuan joget) datang, saya lari. Bila saya datang, dia (perempuan joget) itu lari. Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang dia lari, dia datang saya lari”.
Faktor terbesar merentasi pemikiran rakyat adalah persepsi. Persepsi tak semestinya benar dan tak semestinya salah. Tetapi apa yang dipercayai oleh rakyat. Penulis, Stan Moore menukilkan: “Hanya kerana kebenaran tidak kelihatan, tidak bermakna hal itu palsu. Hanya kerana kenyataan tidak dirasai, tidak bermakna perkara itu tidak wujud”.
3. Dedalu tidak tumbuh di tanah. Dedalu hidup di pangkal dahan pokok-pokok rendang dan sentiasa duduk di atas.
Malangnya, pohon rendang itu selalunya akan mati kerana dedalu yang menumpang hidup itu. Dalam bahasa saintifik, dedalu ini adalah parasite.
Adakah dedalu-dedalu ini akan membesar dan merimbun di pokok rendang?
Pokok dedalu…ia menumpang
Menjadi parasit…ia jembalang
Dahan akan mati…
ia perlu ditebang
Kalau terjumpa …
ia perlu dibuang.
Pokok dedalu…
jika dah dibuang,
Jangan ditanam semula… ia musuh utama malam dan siang.
4. Suatu ketika pada 1986, Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah menggubal undang-undang anti lompat parti. Matlamat parti – melarang mana-mana wakil rakyatnya daripada bertukar parti atau wajib mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.
Tetapi undang-undang yang dibuat oleh parti itu dicabar di mahkamah. Akhirnya Mahkamah Tinggi mengisytiharkan undang-undang itu melanggar perlembagaan. Kesannya, amalan lompat parti kembali muncul dalam politik Sabah dengan PBS sendiri menjadi mangsanya.
Ini apabila kerajaan yang dipimpinnya jatuh tidak lama selepas pilihan raya negeri 1994. Tindakan keluar beramai-ramai wakil rakyatnya yang kemudian menubuhkan parti-parti baharu dan menyertai Barisan Nasional (BN) akhirnya menyaksikan BN mengambil alih kerajaan PBS.
Demikian juga pada 1959. Kerajaan Pas Terengganu yang dibentuk tidak dapat bertahan lama kerana pada 30 Oktober 1961, Perikatan telah membawa usul undi tidak percaya dan disokong oleh tiga ADUN Parti Negara.
Di Sarawak pada 1966 dan Perak (2009), mandat rakyat juga tidak dihormati.
BN yang memenangi 79 kerusi semasa PRU14, hanya tinggal 41 kerusi selepas ramai wakil rakyatnya meninggalkan parti dan menyertai parti lain. UMNO, tonggak gabungan itu yang paling banyak kerusi parlimen iaitu 54 pun kini berbaki 38 kerusi. Malah sejak Mei 2018, seramai 39 ahli parlimen telah lompat parti.
Keputusan Mahkamah Agung kira-kira tiga dekad lalu menyebabkan parti-parti politik hari ini sukar memaksa wakil rakyat mereka mengosongkan kerusi jika memilih meninggalkan parti.
Dalam kes pada 1992, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan lawan Nordin Salleh, Mahkamah Agung diketuai Tun Hamid Omar telah menegakkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Eusoffe Chin untuk membatalkan peruntukan perlembagaan Kelantan yang mewajibkan pilihan raya kecil sekiranya seseorang ADUN meninggalkan parti.
Dengan itu diputuskan bahawa peraturan Pas yang menghalang Nordin, bekas wakil rakyatnya melompat parti, melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan.
Untuk keluar daripada masalah lompat parti ini, satu-satu caranya dengan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menghukum seseorang yang lompat parti mengosongkan kerusi itu secara automatik. Sekali gus satu pilihan raya kecil berlaku.
5. Semasa zaman Dinasti Qin (221-207 sebelum Masihi), Zhao Kao, seorang pembesar yang amat berkuasa mahu merampas takhta Maharaja Qin Kedua.
Sebelum bertindak, dia ingin menguji pengaruhnya dalam kalangan pembesar yang lain.
Pada suatu hari dihadiahkan seekor rusa kepada Maharaja Qin Kedua, lalu sengaja diberitahu baginda bahawa binatang itu adalah kuda. Baginda ingat beliau bergurau, maka ditanya kepada pembesar yang lain, sama ada binatang itu rusa atau kuda?
Tak sangka mereka yang takut kepada Zhao Kao membisu sahaja atau berdusta bahawa binatang itu memang kuda. Dan mereka yang berani mengaku binatang itu rusa disingkirkan oleh Zhao Kao selepas itu. Demikianlah pepatah Cina yang berbunyi “Rusa dikatakan kuda”. Dalam politik ramaikah pemain begini?
6. Sebenarnya ramai yang pandai, tetapi tidak ramai yang bijak. Ramai yang dapat markah tertinggi matematik tetapi mereka tak berkebolehan mengira agihan hak dan kepentingan orang ramai.
Pada zaman ini terlalu ramai yang menyebut perihal ‘memilih pemimpin yang berkualiti. Kualiti apa?
Sebelum tahun-tahun 1970-an, orang Melayu tidak menyebut ‘kualiti’. Mereka menyebut sifat-sifat terpuji. Dipilih kerana bakal membawa kesejahteraan untuk ramai berbanding dengan gelagat temolok sendiri sahaja. Lihat wajahnya, lalu lihat air mukanya. Ketahui perangainya. Bilang jasanya, ketahui budinya.
Adakah dia hanya pemimpin semasa cuaca cerah tetapi ketika tengkujuh dia menghilang?-UTUSAN