Imran Khan mangsa perubahan rejim?

Imran Khan mangsa perubahan rejim?

IMRAN KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH memerintah Pakistan lebih tiga tahun mulai 2018 (sebelum digulingkan pada 10 April lalu dalam undi tidak percaya di Parlimen), Imran Khan perlu terima hakikat bahawa segala tsunami of change yang dijanjikan olehnya kepada rakyat Pakistan kini terhenti sudah, tidak dapat diteruskan lagi kecuali boleh kembali berkuasa. Imran mendakwa beliau menjadi mangsa regime change (perubahan rejim).

Dakwaan ini disangkal oleh sesetengah pihak yang berpendapat Perdana Menteri Pakistan itu jatuh disebabkan beberapa faktor. Antaranya salah tadbir, gagal membendung krisis ekonomi, pecahan dalam partinya sendiri dan penarikan balik sokongan oleh parti-parti politik lain.

Ada juga penganalisis politik yang menyatakan Imran jatuh setelah hilang sokongan pihak tentera yang pada 2018 dahulu menyokongnya. Menurut mereka, tentera menarik balik sokongannya disebabkan kurang senang dengan retorik antiimperialis yang diamalkan oleh Imran terutama terhadap Amerika Syarikat (AS) yang menjadi pembekal terbesar peralatan ketenteraan negara itu, selain menjadi rakan niaga terbesar Pakistan.

Dalam sejarah Pakistan selama 75 tahun, belum ada seorang pun Perdana Menteri yang dapat memerintah hingga akhir tempohnya (lima tahun). Ramai sebelum ini menjangkakan Imran akan menjadi Perdana Menteri pertama negara itu dapat berbuat demikian. Ramalan itu nyata meleset.

Berbeza dengan Malaysia yang tidak pernah ditadbir oleh kerajaan tentera, Pakistan diperintah oleh kerajaan tentera selama 33 tahun. Walaupun pemberontakan (military coup) tidak berlaku dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini, daripada jumlah 29 Perdana Menteri (termasuk Imran) yang ada, 18 Perdana Menteri telah dipecat oleh pentadbir ketenteraan atau badan kehakiman atau dipaksa meletakkan jawatan oleh Presiden negara itu.

Dalam satu perhimpunan awam, 27 Mac lalu, Imran menyatakan beliau menjadi mangsa perubahan rejim kerana ada pihak-pihak tidak senang hati dengan dasar luar negara yang bebas, tidak mengikut telunjuk mana-mana kuasa luar. Sehubungan itu, tindakannya berkunjung ke Moscow sehari dua sebelum Rusia menyerang Ukraine pastinya menyakitkan hati AS yang sejak awal lagi tidak senang hati dengan hubungan mesra Pakistan dengan China, Rusia dan Afghanistan, selain keengganan Pakistan menyediakan pengkalan tentera dalam negara itu untuk kegunaan AS.

PERUBAHAN REJIM MASA LALU

AS telah melakukan perubahan rejim di banyak negara, tidak hanya Iraq, Libya dan Syria. Pada 1953, Perdana Menteri Iran, Mohammad Mosaddegh telah digulingkan oleh pihak-pihak tertentu untuk membolehkan AS dan United Kingdom (UK) menguasai industri minyak di negara itu.

Pada 1954, dalam satu operasi di Guatemala, Agensi Perisikan Pusat (CIA) telah menggulingkan Presiden Jacobo Árbenz (yang dilantik pada 1950) dan menggantikannya dengan Carlos Castillo Armas, seorang diktator sayap kanan. Kejayaan operasi di Guatemala ini kemudian dijadikan model atau contoh untuk melakukan perubahan rejim di tempat lain.

Pada 1961, Perdana Menteri Congo, Patrice Lumumba diguling dan dibunuh oleh Mobuto Sese Seko dengan bantuan CIA disebabkan hubungan baik pemimpin Afrika itu dengan Soviet Union. Juga pada Mei 1961, pemimpin kerajaan Republik Dominica, Rafael Trujillo dibunuh oleh pihak-pihak tertentu dengan bantuan CIA.

Satu dokumen dalaman agensi perisikan AS itu menyatakan bahawa siastan dilakukan pada 1973 mendedahkan penglibatan mereka dengan pihak-pihak lain yang berkaitan. CIA menganggap operasinya menukar kerajaan negara itu sebagai berjaya, iaitu menggantikan sebuah kerajaan pemerintahan diktator kepada kerajaan demokrasi ala-Barat.

Pada Disember 1989, AS melancarkan satu operasi ketenteraan bernama Operation Just Cause ke atas Panama. Pemimpin negara itu, Manuel Noriega melarikan diri tetapi akhirnya dapat ditangkap.

Seorang pemimpin baharu, Presiden Guillermo Endara, dilantik mengambil tempatnya. Perubahan rejim di Libya dilakukan bersama oleh tiga kuasa Barat (AS, UK dan Perancis). Setelah negara itu diperintah secara aman oleh Muammar Gaddafi sejak 1969, pemberontakan berlaku pada Februari 2011 sebagai tempias Arab Spring yang kemudian membawa kepada perang saudara pertama di negara itu.

Pada 17 Mac, Majlis Keselamatan PBB meluluskan satu ketetapan membenarkan semua langkah perlu (all necessary measures) diambil di Libya untuk memelihara keselamatan orang awam (to protect civilians).

Kononnya atas niat tersebut itulah, pada 19 Mac, ketiga-tiga kuasa besar tersebut melancarkan Operation Odyssey Dawn,- iaitu satu intervensi ketenteraan ke atas Libya yang tidak pernah menyerang mana-mana negara tersebut.

Intervensi ini kemudian disertai 27 negara lain dari Eropah dan Timur Tengah di bawah Operation United Protector. Kerajaan Gaddafi jatuh pada Ogos dan Gaddafi kemudian ditangkap dan dibunuh pada 20 Oktober 2021.

TIGA CARA PERUBAHAN REGIM

Mengikut Joe Lauria, ada tiga cara AS melaksanakan perubahan rejim – dari atas, dari bawah dan menerusi intervensi ketenteraan. Sekiranya pemimpin yang hendak digulingkan itu dilantik secara sah dan menikmati sokongan rakyat, CIA akan bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu (misalnya tentera) menggulingkannya.

Contohnya, CIA menggulingkan Presiden Jacobo Árbenz di Guatemala (1954) dan Presiden Congo, Patrice Lumumba (1961). Andainya pemimpin itu tidak lagi mendapat sokongan rakyat, CIA akan timbulkan huru-hara dan mengapi-apikan rakyat untuk menggulingkannya.

Pemberontakan di Iran pada 1953 yang melihat Mosaddegh diguling adalah hasil kerja CIA, MI6 (agensi perisikan UK) serta protes jalanan. Jika cara pertama dan kedua tidak sesuai, kerajaan AS akan melakukan intervensi ketenteraan. Selain menyerang Grenada pada 1983, AS juga menyerang Panama pada 1989 untuk menggulingkan Noriega, walaupun pemimpin itu pada suatu masa dahulu adalah aset CIA sendiri. – UTUSAN

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×