ADA orang kata, warga kota bersikap individualistik. Ramai tidak langsung bertegur sapa dengan jiran sebelah rumah, hidup terasing dalam dunia masing-masing. Cara hidup yang sibuk dan dinamik dilihat sebagai penyebab kepada keadaan ini.
Saya melihat isu ini berkait rapat dengan nilai yang diterapkan oleh ibu bapa. Ia bermula sejak anak-anak dilahirkan, seterusnya pada fasa pendidikan awal mereka. Sikap ibu bapa serta pengaruh persekitaran turut mempengaruhi pembentukan sikap dan prinsip hidup anak-anak. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Hakikatnya, sikap individualistik tidak hanya berlaku di kota raya, malah di pekan kecil pun ada. Sikap sebegini boleh menjejaskan kualiti hidup bermasyarakat, apa lagi bertindak sesuka hati tanpa menghormati hak jiran tetangga. Akibatnya, ada dalam kalangan jiran tetangga yang bukan setakat tidak bertegur sapa, malah bergaduh sesama sendiri.
Tidak dapat dinafikan, peredaran zaman mengubah banyak perkara, bukan setakat cara hidup tetapi juga pemikiran. Ada yang mula berganjak meninggalkan adat resam dan budaya bangsa yang didakwa kolot dan terkebelakang. Ada juga yang melihat bahawa kita hanya akan berjaya jika melangkah keluar dari lingkungan nilai tradisi dan mengamalkan norma kehidupan bebas.
CUBIT
Secara tradisi, orang Melayu hidup bermasyarakat. Kita saling bertegur sapa serta mudah menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan balasan. Budaya Melayu mementingkan semangat kekitaan dan bersatu padu. Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Kita juga berpegang kepada prinsip bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Atas prinsip ini, kita hidup makmur sebagai sebuah keluarga besar sehinggakan cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.
Malang sekali apabila semakin ramai anak muda terpengaruh dengan nilai budaya luar yang bersifat individualistik. Kini, mementingkan diri serta tidak ambil endah perasaan orang lain digambarkan dan dilihat sebagai sikap terbuka yang lebih sesuai dengan cara hidup moden. Mereka memilih cara hidup bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan bangga dengan sikap itu. Namun, peliknya melenting apabila merasakan hak tidak dihormati sedangkan itulah yang mereka lakukan terhadap orang lain.
Bukan mudah bagi kita meniti kehidupan dalam era dunia tanpa sempadan, tanpa terpengaruh dengan pelbagai unsur dan budaya luar. Maka, didikan dengan disiplin bersandarkan adat dan adab adalah penting untuk menguatkan sahsiah dan diri. Adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah. Adat resam harus dijiwai berdasarkan perspektif sendiri dan bukannya mengambil penilaian orang luar yang berbeza pegangan hidup daripada kita.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam











