ULASAN Dr. Azmi Hassan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berundur sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan kegagalan Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah agak gopoh. Saya tidak pasti mengapa pandangan sedemikian dilontarkan. Adakah untuk melihat Bersatu menjadi lebih kuat atau sekadar komen cakap buang sahaja?
Apa pun dalam dunia politik, komen sedemikian mudah mendapat tarikan dan dijadikan polemik oleh mereka yang mempunyai motif tertentu.
Saya ingin berikan sedikit pandangan balas. Jika kekalahan pertama PN dalam PRN Johor dijadikan sebab mengapa Muhyiddin perlu berundur, maka ramai Presiden parti lain yang mesti berundur juga. Ada parti yang semua calonnya hilang wang deposit. Pengerusi dan Presiden parti ini mesti berundur lebih awal daripada Muhyiddin.
Ada parti yang kerusinya merosot hanya tinggal satu. Presiden parti ini pun mesti berundur jugalah agaknya? Jika lojik Presiden parti mesti berundur apabila parti kalah pilihan raya, maka banyak parti di negara kita telah mengalami pertukaran kepimpinan akibat partinya kalah. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku kepada semua parti.
Pas misalnya, tidak pernah menang dalam pilihan raya Persekutuan kecuali di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Presiden Pas tidak bertukar dengan sebab Pas kalah pilihan raya. Sebaliknya parti itu terus teguh. Apabila kerajaan PN dibentuk pada 1 Mac 2020, Pas menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
Ada juga parti yang mengalami kekalahan dalam banyak pilihan raya, tetapi akhirnya menang tanpa menukar kepimpinannya. Misalnya, PKR di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum (PRU) 1999, 2004, 2008 dan 2013 tetapi akhirnya menang dalam PRU 2018.
Adakah kekalahan PN dalam PRN Johor adalah amat teruk sehinggakan Muhyiddin mesti letak jawatan? Dari segi bilangan kerusi mungkin nampaknya begitulah. Tetapi dari segi trend sokongan pengundi, data menunjukkan sebaliknya.
Dalam PRN Johor, PN adalah satu-satunya parti yang mencatat peningkatan sokongan pengundi Melayu berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Jika undi Pas dalam PRU 2018 dijadikan undi asas PN, sokongan pengundi Melayu Johor kepada PN meningkat daripada 18.1 peratus (2018) kepada 34.5 peratus (2022).
Sebaliknya sokongan pengundi Melayu kepada BN merosot daripada 58.8 peratus (2018) kepada 51.1 peratus (2022). Data menunjukkan berlaku peralihan hampir lapan mata peratus sokongan pengundi Melayu BN kepada PN. Perlu diingat, Johor adalah kubu kuat BN.
NAJIB, DR MAHATHIR, GUAN ENG, AHMAD ZAHID
Sokongan pengundi Melayu kepada PH juga merosot dengan ketara iaitu daripada 28.3 peratus (2018) kepada 11.3 peratus (2022). Sebanyak 17 mata peratus sokongan Melayu PH beralih kepada PN. Bukankah ini suatu pencapaian kepda PN, iaitu sebuah parti baharu di bawah kepimpinan Muhyiddin?
Malah, satu kaji selidik tinjauan pendapat umum pengundi Johor dari 4 hingga 21 Februari lalu mendapati Muhyiddin adalah pemimpin paling popular di Johor dengan approval rating sebanyak 52 peratus berbanding Datuk Seri Najib Tun Razak (39%), Tun Dr. Mahathir Mohamad (35%), Lim Guan Eng (24%) dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (14%).
Dalam kalangan pengundi Melayu Johor, kajian ini juga menunjukkan Muhyiddin adalah pemimpin paling popular dengan approval rating sebanyak 67 peratus berbanding Najib (43%), Dr. Mahathir (43%), Ahmad Zahid (17%) dan Guan Eng (12%).
Muhyiddin juga mendahului sebagai calon Perdana Menteri, iaitu dengan 29 peratus responden bersetuju berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim (23%) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (16%).
Dalam kalangan responden Melayu, Muhyiddin memperoleh 41 peratus berbanding Ismail (22%) dan Anwar (10%).
Trend peralihan sokongan pengundi Melayu yang ketara kepada PN dalam PRN Johor mungkin juga disebabkan oleh populariti Muhyiddin sebagai bekas Perdana Menteri dan anak Johor.
Berdasarkan data-data ini, bagi saya pandangan supaya Muhyiddin berundur hanya dengan sebab PN kalah dalam PRN Johor adalah agak gopoh dan pramatang. – UTUSAN
DATUK Dr. Marzuki Mohamad ialah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.











