SEMASA pentadbiran 22 bulan kerajaan yang lepas, rakyat dikejutkan dengan kritikan pedas terhadap prestasi banyak menteri. Lantas dicetuskan oleh pengkritik cadangan supaya ‘disekolahkan’ menteri-menteri terbabit. Ia bukanlah sekolah dalam bentuk kelas tetapi latihan itu mesti wujud.
Dalam banyak hal memang ada lompangnya. Misalnya, menteri tidak dapat membezakan antara dasar dengan perbuatan harian. Sebab itu berlaku perbuatan pelik-pelik sehinggakan ada pentas siap mikrofonnya melancar sukarelawan banjir dan macam-macam fiilnya lagi.
Kadangkala seseorang itu diambil menjadi anggota Kabinet atas kedudukannya dalam parti politik. Sesetengahnya dapat jadi menteri tanpa melalui asuhan dari bawah.
Dia dilantik terus jadi menteri.
Pada era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Mei 2018, kita jarang mendengar kesilapan penjawat awam. Kenapa? Kerana pemimpin serta menterinya bersemangat pada pekerjaan mereka lebih daripada sekadar memanfaatkan aspek perhubungan awam. Apabila menteri mengambil minat mereka untuk belajar dan menunjukkan kepada penjawat awam semangat itu, ia menjadi kesan yang menular di mana turut membangkitkan keterujaan penjawat awam.
Malangnya, hari ini penjawat awam mula takut-takut dan cuak untuk melakukan kerja mereka kerana takut dilayan secara tidak adil. Seperti mana yang terjadi ke atas dua diplomat kanan kita di Dubai, tempoh hari.
Sejujurnya, ramai yang dukacita pentadbiran kerajaan kita telah turun ke tahap ini. Ia sekali gus mencetuskan persoalan pembentukan kerajaan campuran hari ini dan kualiti pemimpin. Ada yang kerana kita tiada pilihan, terpaksa melantik menteri tertentu.
Contohnya, Wisma Putra yang sangat jarang melakukan kesilapan selama ini. Bila kita meletakkan seseorang menteri yang tidak tahu ‘kepala atau ekor’ mengenai hubungan antarabangsa dan diplomasi, kita menerima banyak kesilapan.
Kalau Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen sendiri boleh keluarkan kenyataan media menegur secara terang-terang menteri luar kita Januari lalu, tentunya sudah ketahuan kualiti yang ada.
Dalam tindakan Kementerian Luar memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dalam isu kegagalan menguruskan lawatan Perdana Menteri, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut mempersoalkan tindakan menteri luar sebagai ‘tergesa-gesa.’
Anifah menyifatkan tindakan sedemikian ke atas diplomat kanan negara akan menimbulkan imej tidak baik terhadap Malaysia secara keseluruhannya. Tindak tanduk ‘berlebih-lebih dan terburu-buru’ daripada menangani punca masalah hanya merencatkan imej kerajaan. Pihak begini lebih suka mengalih perhatian dan berharap orang ramai lupa apabila isu baharu datang.
Sudah berlalu apabila kerajaan sebenarnya lebih berminat untuk menyelesaikan masalah dan mencari puncanya. Sekarang, pemberi maklumat yang mendapat pukulan paling sukar. Apabila semua pemberi maklumat beranggapan mereka cuba lakukan perkara yang betul, kini mereka teraniaya. Ini sekali gus menghantar mesej bahawa ‘tiada pemberi maklumat selamat walaupun mereka cuba melakukan perkara yang betul.’
SOP
Adakah Menteri Luar tidak dapat memahami kepentingan menjaga orang nombor satu kita iaitu Perdana Menteri? Dia sepatutnya melakukan prosedur operasi standard (SOP) berikut yang diperlukan. Dan apakah watak pemimpin yang menyalahkan orang bawahannya daripada mengambil tanggungjawab?
Terdapat banyak kes hari ini di mana pentadbiran lebih berminat kepada ‘siapa yang membocorkan apa’ daripada menangani punca masalah. Contoh lain adalah MARA dan kegagalan MARA Corp. Ataupun kes melibatkan seorang remaja orang kurang upaya (OKU) didera. Pada mulanya pentadbiran lebih berminat untuk menyerang pemberi maklumat daripada mengetahui berlaku penyalahgunaan dan bagaimana ia berlaku. Sehinggalah orang ramai menjadikannya isu dan ditularkan, barulah mereka memutuskan untuk menangani situasi itu.
Sekarang ini, adakah pegawai-pegawai tinggi kerajaan pun semua bimbang dengan cara mengurus kerja mereka kerana khuatir didiskriminasi? Isu di Wisma Putra hanya satu daripada berpuluh kes dikatakan ‘penganiayaan’ kepada penjawat awam. Cuma isu ini diketengahkan mungkin kerana beberapa sebab. Iaitu perasaan takut atau cuak penjawat awam berkait rapat dengan pelbagai peristiwa sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Merekalah yang menjadi mangsa. Ditukar, disejuk beku di Jabatan Perkhidmatan Awam, dimalukan dengan menjawat jawatan yang lebih rendah dari gred hakiki mereka dan tidak kurang disiasat oleh agensi penguat kuasa serta dituduh kroni pemimpin politik tertentu.
Dengan kedudukan kerajaan sekarang yang tidak stabil dan kukuh, bagaimana penjawat awam akan melaksanakan arahan atau polisi kerajaan semasa setulus hati berdasarkan peristiwa yang berlaku sebelum ini? Sekiranya selepas PRU15 kerajaan baharu yang memerintah berkemungkinan besar peristiwa sama berulang. Oleh itu ‘jalan selamat’ sahaja yang dipilih oleh penjawat awam ketika ini.
Di samping kerenah menteri tidak kompeten yang tidak tahu selok belok peraturan, akibatnya penjawat awam yang tanggung. Ia tindakan tidak bijak. Menteri tidak sepatutnya lepas tangan dan menyalahkan penjawat awam.
Apa guna pegawai-pegawai di pejabat menteri yang ramai tetapi masih mencari ‘kambing hitam’? Macam-macam lantikan dibuat, bukan setakat perjawatan yang diwartakan tetapi termasuk juga jawatan kontrak. Bila timbul isu, semua menuding jari kepada penjawat awam bagi menutup kelemahan pegawai di pejabat menteri.
Penjawat awam ketika ini dalam keadaan yang keliru. Buat salah, tak buat pun salah. Ini semua disebabkan salah pilih individu tertentu menjadi menteri. Pemilihan dibuat berdasarkan kedudukan dalam parti, bukan berasaskan kompetensi.
Tindak tanduk menteri yang tidak cekap dikusutkan lagi dengan kedudukan majoriti kerajaan yang menipis. Lantas barangkali mereka terpaksa mementingkan diri sendiri dan survival parti, ketika ura-ura PRU15 pun akan dipanggil bila-bila masa sahaja dari sekarang.
Perdana Menteri wajib memastikan tahap kompetensi semua menteri di bawah pentadbirannya. Perdana Menteri tidak boleh lepas tangan begitu sahaja. Rakyat sedang melihat dan menilai. – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.











