Bersatu kalah PRN Johor sebab boikot?

Bersatu kalah PRN Johor sebab boikot?

BENARKAH kekalahan Bersatu di PRN Johor disebabkan boikot oleh segelintir ahli-ahlinya? – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENARKAH Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang boikot kempen Bersatu Pusat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor? Jika benar, adakah ini antara faktor kekalahan Bersatu dalam PRN Johor?

Pendedahan terbaharu yang mengejutkan ini didakwa antara sebab kekalahan itu kerana Bersatu Pulau Pinang memboikot kempen PRN Johor walaupun Johor merupakan negeri Presiden Bersatu.

Saya mendengar sendiri perkara ini dari mulut Ketua Bersatu Bahagian Balik Pulau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim, kelmarin. Terdapat beberapa ketua bahagian Bersatu dari Pulau Pinang yang bermesyuarat dan membuat ketetapan untuk tidak turun dan membantu parti pada PRN Johor, 12 Mac lalu.

Zolkifly sendiri telah dijemput menyertai mesyuarat itu bersama ketua-ketua bahagian pada pertengahan Februari lalu, namun tidak dapat hadir disebabkan beberapa urusan lain. Menurutnya, ada juga ketua bahagian lain yang tidak dapat hadir. Namun, belliau difahamkan mesyuarat yang disertai beberapa ketua bahagian dari Pulau Pinang itu kemudian membuat keputusan dan ketetapan bahawa Bersatu Pulau Pinang tidak akan turun membantu kempen parti di PRN Johor.

“Keputusan mereka itu secara jelas menunjukkan mereka boikot PRN Johor. Ini adalah antara faktor kekalahan Bersatu dalam PRN Johor,” katanya.

PERDANA MENTERI

Pada awalnya Bersatu Pulau Pinang diberi tugasan dan tanggungjawab untuk berkempen dan menjaga dua kawasan di Johor, iaitu Kulai dan Tanjung Piai. Kedua-duanya dijadikan sebagai kawasan ‘angkat’ kepada Bersatu Pulau Pinang. Oleh kerana keputusan mereka tidak turun berkempen dan memboikot, tanggungjawab berkenaan diambil-alih oleh Bersatu Sarawak.

Zolkifly juga tidak menolak kemungkinan tindakan ketua-ketua bahagian dari Pulau Pinang itu kerana tidak berpuas hati dengan Bersatu Pusat atas beberapa perkara.

Kemungkinan juga disebabkan ada permintaan daripada mereka kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang gagal dipenuhi.

“Namun mereka patut sedar bahawa Muhyiddin bukan lagi menjadi Perdana Menteri. Bagaimana Muhyiddin hendak penuhi permintaan jika dia bukan lagi Perdana Menteri?” soal Zolkifly

Sehubungan pendedahan ini, Zolkifly tidak menolak kemungkinan beliau juga akan menjadi ‘mangsa’ boikot oleh pihak tertentu termasuk usaha menyingkirkannya dari parti. Justeru, beliau menggesa Presiden dan kepemimpinan tertinggi Bersatu agar mengambil tindakan tegas termasuk menstrukturkan semula jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Sewajarnya kepemimpinan tertinggi Bersatu perlu mengaktifkan semula pusat latihan parti supaya mereka benar-benar bersedia selain bagi memastikan setiap ahli dan ketua bahagian benar-benar komited dalam memperjuangkan agenda parti. – UTUSAN

PENULIS ialah bekas Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×