DAKWAAN bahawa bahasa Indonesia yang diakui berasal daripada bahasa Melayu, kini sistem bukan sahaja banyak mencapah daripada induknya tetapi sudah menjadi kelainan tersendiri yang tidak sama lagi dengan bahasa Melayu. Sejauh manakah ini benar?
Pada pengamatan umum, bahasa Indonesia kelihatan begitu berbeza kerana terdapat banyak perubahan berlaku pada bahasa Melayu yang diambil pada 1928 sebagai asasnya. Sehubungan ini, Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa di Indonesia menyatakan kosa kata bahasa Indonesia banyak dipinjam daripada serata bahasa.
Antaranya bahasa Belanda, Portugis, Inggeris, Jepun, Perancis, Turki dan Korea. Hal ini tidak berlaku pada bahasa Melayu khususnya dituturkan di republik itu yang bertaraf bahasa daerah dan etnik Melayu sahaja.
Dengan kata lain, bahasa Indonesia adalah kelainan campuran yang memiliki banyak pengaruh asing sehingga boleh dianggap tidak serupa lagi dengan induknya, antaranya kerana kekuasaan kata pinjaman padanya. Sehubungan ini, ada pihak yang mendakwa ia tiada hubungan genetik lagi dengan bahasa Melayu ekoran sifatnya yang begitu kosmopolitan. Dengan ini, bahasa Indonesia bukan bahasa Melayu lagi melainkan kelainan baharu atau bahasa lain yang pernah bersumberkan bahasa Melayu hanya pada zaman awalnya.
Akan tetapi pada sains bahasa yang dikenali sebagai linguistik, bahasa Indonesia walaupun dengan kadar peminjaman kosa kata yang begitu tinggi adalah tetap berupa bahasa Melayu. Hal ini dapat dibuktikan dengan mudah lagi cepat melalui keutuhan genetik dengan menggunakan kaedah perbandingan untuk melihat asal usulnya selain kekerabatan yang wujud.
Semua bahasa didapati meminjam kata asing ekoran berlakunya kontak antara pelbagai kelompok bahasa dalam pertumbuhan ketamadunan masing-masing. Dengan ini akan berlakulah perubahan sama ada sedikit atau banyak, selalunya pada kosa kata dan jarang pada strukturnya.
Bagaimanapun kosa kata asas, yakni mengenai bahagian badan seperti mata; alam sekitar seperti air; kegiatan dasar seperti makan dan bilangan kecil seperti angka satu sehingga 10, didapati tidak mudah ditakluki kata asing. Begitu juga dengan imbuhan pada sistem bahasa itu yang akan terus wujud dalam bentuk utuhnya. Ini kerana semua unsur asas ini sukar ditembusi bahasa lain. Inilah antara unsur bahasa Indonesia yang boleh diuji bagi memperlihat kekerabatannya dengan bahasa Melayu.
GENETIK
Ribuan kata pinjaman padanya sebetulnya adalah bukan kata asas yang dipinjam atas pelbagai alasan khususnya untuk tujuan peluasan kosa kata. Ia tidak boleh diambil kira dalam menentukan kekerabatan sesuatu bahasa itu dengan yang lain. Ia juga tidak akan diambil kira untuk menghubungkan bahasa Indonesia dengan mana-mana bahasa yang katanya dipinjam agar dapat dipisahkan daripada bahasa induknya, iaitu bahasa Melayu.
Pada tahap pertuturan atau parole, bahasa Indonesia boleh sahaja dianggap sebagai bentuk lain waima bahasa lain, yakni tidak sama dengan bahasa asalnya, apatah lagi bahasa Melayu itu sendiri. Ini kerana terdapat kuasa sosial kuat untuk mengatakan bahasa Indonesia itu tidak sama dengan bahasa Melayu sama ada yang dituturkan di Malaysia, Singapura atau Brunei. Dalam hal ini, kebanggaan sejarah bahasa Indonesia perlu difahami bersama-sama dengan sentimen bangsa Indonesia yang menuturnya dengan penuh kecintaan selain negara Indonesia yang setia mendukungnya.
Pada tahap sistem bahasa atau language pula yakni apabila faktor linguistik sahaja tanpa sebarang pengaruh sosial diambil kira, bahasa Indonesia disahkan mempunyai hubungan genetik dengan bahasa Melayu malah yang amat rapat pula. Dengan ini, bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu dan disahkan sebegitu dengan jitu melalui kaedah perbandingan yang merupakan alat diagnostik yang diyakini sepenuhnya untuk mengklasifikasi bahasa secara genetik.
Sehubungan ini, tidak ada mana-mana bahasa di dunia ini yang memiliki beberapa induk walau bagaimana bercampur sekali kosa katanya. Oleh itu, bahasa Indonesia tidak boleh dikaitkan dengan bahasa lain semata-mata dengan meminjam kosa katanya meskipun dengan amat banyak sekali. Sebetulnya bahasa Indonesia yang sudah berusia hampir 100 tahun bukan sahaja terus-terusan memiliki tetapi tetap utuh menggunakan semua ciri yang ada pada struktur bahasa Melayu, baik dari segi sebutan, sistem bunyi, pembentukan kata selain pembinaan ayatnya.
Dengan ini, sistem yang ada pada bahasa Indonesia walaupun dinyatakan banyak sekali menggunakan kata pinjaman daripada pelbagai bahasa di luar republik itu sebetulnya masih kuat mendukung sistem asas yang ada pada bahasa daerah dan etnik Melayu di Indonesia sendiri dan juga di luar Indonesia iaitu Malaysia, Singapura, Brunei, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan bahagian tertentu di beberapa negara di Asia Tenggara.
Sifat kepelbagaian kosa kata pada bahasa Indonesia sebetulnya tidak boleh sesekali digunakan sebagai hujah ia berbeza sehingga perlu dianggap tidak sama lagi dengan bahasa Melayu. Ia tetap sejajar dengan bahasa Melayu yang merupakan induknya dari segi strukturnya. Begitu juga dengan semua kelainan bahasa Melayu yang ada di rantau ini.
Sehubungan ini, bukan kehendak sosiolinguistik penutur sesuatu bahasa itu yang harus diambil kira, sebaliknya struktur bahasa berkenaan adalah pertimbangan paling wajar dalam menentukan keturunan sesuatu bahasa itu walaupun kelihatan berbeza sekali tetapi sesungguhnya masih tetap mempunyai warisan induknya. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










