PADA usia hampir 65 tahun, negara masih tercari-cari kestabilan sosioekonomi dan politik. Kita terus melakukan pencarian tanpa tahu bila dan di mana kesudahannya.
Kerajaan turut memperkenalkan dasar dan melakukan inisiatif bagi mewujudkan kestabilan tersebut. Namun, ia kurang berkesan kerana tiada kesungguhan politik yang total dan kejujuran pihak berkaitan. Negara menghabiskan terlalu banyak sumber – tenaga, masa, wang dan fokus untuk mencapai matlamat itu. Malangnya pula digagalkan dari semasa ke semasa.
Kini norma baharu merubah segenap bidang kehidupan kita. Norma baharu menuntut perubahan, penataan semula dan pembaharuan pada landskap politik serta tadbir urus negara.
Landskap baharu politik mesti dilakar dan dirintis. Mengambil kira analisis bahawa sebahagian besar rakyat proparti pembangkang, maka satu kaedah untuk bekerjasama mesti dicari bagi memberi ruang parti itu ‘berada’ dalam kerajaan. Penyertaan mereka sangat relevan dan signifikan dalam era politik baharu kini.
Jika kerjasama itu perlu akta, kedua-dua pihak mesti duduk semeja menggubal serta meluluskan undang-undang berkaitan di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN). Pembangkang mesti diiktiraf oleh kedua-dua institusi tertinggi itu. Mereka perlu dilindungi undang-undang kerana mereka mewakili sebahagian lagi rakyat. Jawatan mereka adalah rasmi dan mesti ada imbuhan sewajarnya. Pelantikannya perlu melalui proses yang telus dan adil.
Yakinlah, landskap dan fokus politik negara berubah jika ada kerjasama di antara kerajaan dan pembangkang. Penyatuan total dalam kalangan parti pembangkang pula adalah syarat untuk mencapai kerjasama tersebut. Barisan pembangkang yang kuat mendorong tadbir urus kerajaan menjadi lebih bersih, cekap, matang, stabil dan inklusif. Peranan utama pembangkang mesti dikembalikan iaitu mempersoalkan kerajaan dan mempertanggungjawabkan mereka.
Di Parlimen ada jawatan Ketua Pembangkang dan rakyat pasti lebih teruja jika pembangkang sepakat mewujudkan barisan Kabinet bayangan. Parti pembangkang mesti diberi lebih banyak peranan untuk sama-sama membangunkan negara, menstabilkan politik serta memakmurkan sosioekonomi rakyat seterusnya membawa negara melalui cabaran dan mencapai kejayaan dalam era digital ini. Pembangkang tidak lagi boleh membangkang melulu dan sewenangnya. Mereka mesti mewujudkan situasi semak dan imbang kerajaan secara lebih berkesan mesti berlaku sepanjang masa.
MENTERI BAYANGAN
Setiap menteri bayangan akan menjaga seorang menteri Kabinet dan mengikuti dengan dekat serta teliti portfolio mahupun tindak-tanduk menteri tersebut. Pendekatan ‘satu pembangkang jaga satu menteri’ boleh memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak. Menteri akan berperanan secara optimum dan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI). Menteri bayangan pula menerima pendedahan positif dari segi politik, tadbir urus serta menajamkan skil kepemimpinan mereka.
Kabinet bayangan berkewajipan memberi maklum balas atau input terhadap inisiatif mahupun dasar kerajaan sekali gus menawarkan pilihan kepada rakyat. Peranan pembangkang dalam landskap politik baharu negara semakin penting. Mereka perlu memantau Kabinet dan mendorong kerajaan menggubal dasar yang tepat serta membuat keputusan terancang, betul dan sesuai.
Ketika perbahasan Parlimen atau mengupas isu di luar Dewan, menteri bayangan ini perlu mewakili parti pembangkang. Cara ini pasti lebih berkesan untuk mengelakkan pertindihan komen, perbezaan fakta dan percanggahan pendirian dalam kalangan pembangkang. Ringkasnya, mengelakkan pembangkang bercakaran sesama sendiri kerana situasi ini akan mencetuskan ketidakstabilan politik dan melarat ke semua sektor.
Justeru, keberkesanan Parlimen dan kestabilan politik sebahagian besarnya bergantung kepada kekuatan serta keupayaan pembangkang. Jadi, pembangkang yang lemah akan menyumbang kepada ketidakstabilan politik kerana mendorong kerajaan membuat keputusan silap dan bertindak tanpa ada kebimbangan semak dan imbang.
Sebaliknya, penyertaan pembangkang dalam kerajaan mampu menghindarkan penyelewengan, kezaliman, kemungkaran mahupun kemusnahan.
Jadi, proses berkali-kali membina kestabilan untuk dimusnahkan dan kemudian membinanya semula untuk dimusnahkan lagi, tidak boleh diterima rakyat yang kini mempunyai kesedaran politik yang semakin tinggi.
PRU15
Buktinya, pencarian kestabilan yang terakhir dilakukan adalah pembubaran DUN Melaka dan DUN Johor. Parti memerintah membubarkan DUN atas alasan mencari kestabilan politik walaupun tidak berlaku ganggu-gugat terhadap kerajaan negeri terlibat. Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang perlu dipercepatkan seperti ura-ura dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 baru-baru ini pun atas alasan mencari kestabilan demi menjaga kepentingan rakyat.
Satu demi satu tindakan mencari kestabilan politik termasuk menerusi dua pilihan raya negeri (PRN) tersebut akhirnya menyebabkan ramai rakyat mengalami kelesuan dan kebosanan politik. Mereka kini menolak dan tidak ambil pusing soal politik. Sebahagian lain melakukkan protes dengan enggan menyertai proses demokrasi pada dua PRN tersebut.
Persoalannya, sampai bila rakyat hendak diheret dalam kancah politik mentah ini? Sampai bila pemimpin politik terus mencetuskan ketidakstabilan dan kemudian konon mencari kestabilan yang mereka rosakkan sendiri? Bila rakyat akan menemui titik permulaan bagi sebuah kestabilan sebenar dan mula menikmati kemakmuran hasil politik yang matang? Jawabnya, politik lapuk cara sekarang mesti ditamatkan dan memasuki era landskap baharu politik negara.
Ini bukan retorik tetapi dituduh omongan kosong oleh kalangan pemimpin yang ada agenda peribadi dan kepentingan kelompok. Untuk memastikannya, kita perlu ada satu set agenda bertulis mengenai politik baharu negara. Inisiatif ini mesti dilaksanakan oleh semua pemimpin parti politik. Ini bukan soal eksperimen atau inovasi tetapi melakukan reset politik yang sudah koyak dan luput zaman.
Anjakan paradigma politik mesti dilakukan supaya negara berada pada horizon politik abad ke-21, lebih matang dan menghasilkan impak optimum. Mengamalkan tata cara politik baharu mesti menjadi agenda nasional. Hasrat ini bukan mimpi tetapi dambaan setiap rakyat negara ini. – UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Presiden Parti Gerakan Malaysia.











